Jari Terkepit Pintu! (Kecederaan Hujung Jari) – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Ibu, jari Irfan berdarah!!!” Irfan meraung kesakitan. Puan Lili yang sedang memasak di dapur berlari ke ruang tamu mendapatkan anaknya yang berusia setahun itu. “Kenapa ni? Puan Lili memegang tangan kanan Irfan. Hujung jari telunjuk Irfan terkoyak dan berlumurah darah. Separuh daripada kukunya telah tiada.

Puan Lili segera membawa anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan kepastian. Adakah hujung jari anaknya boleh diselamatkan?

KECEDERAAN HUJUNG JARI (NAIL BED INJURY)

Kecederaan hujung jari ini adalah antara kecederaan tangan yang paling kerap berlaku. Jari yang paling kerap tercedera ialah jari tengah. Secara umumnya, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

  1. Kecederaan tanpa kehilangan tisu di hujung jari
  2. Kecederaan dengan kehilangan tisu di hujung jari

Sumber gambar: Healthline

Kecederaan tanpa kehilangan tisu di hujung jari.

Walaupun tisu di hujung jari masih ada, pesakit masih boleh mengalami beberapa masalah lain iaitu kuku tercabut (nail plate avulsion), luka pada tilam (alas) kuku (nail bed laceration) dan kepatahan tulang jari (distal phalanx tuft fracture) tersebut.

Luka pada tilam kuku (Nail bed laceration)

Sekiranya setelah jari anda terkepit dan anda lihat terdapat darah beku di bawah kuku anda, kebarangkalian tilam kuku anda koyak adalah tinggi. Lebih-lebih lagi sekiranya darah beku tersebut memenuhi lebih 50 peratus daripada keluasan kuku anda.

Tilam kuku yang luka atau koyak perlu dijahit semula. Setelah bius diberi pada jari anda, doktor akan mencabut kuku anda anda supaya tilam kuku anda boleh dijahit. Sekiranya ia tidak dijahit, ia boleh menyebabkan kuku anda tumbuh secara tidak normal dan menjadi terlebih sensitif dan sakit sekiranya terdedah kepada persekitaran yang dingin.

Kecederaan dengan kehilangan tisu di hujung jari

Sekiranya kecederaan itu menyebabkan tisu di hujung jari koyak dan hancur, rawatan menjadi lebih rumit. Berikut adalah prinsip rawatan yang akan cuba dipenuhi dengan sedaya upaya oleh kami. Doktor yang merawat akan sentiasa berusaha bagi memastikan:

  1. Jari yang cedera akan diselamatkan dengan panjang yang asal atau sepanjang mungkin
  2. Deria rasa dihujung jari kekal
  3. Jari tidak menjadi bengkok akibat parut (contracture)
  4. Jari berfungsi dan tidak sakit apabila ia sembuh

Rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada keadaan luka di jari anda iaitu samada kecederaan itu menyebabkan tulang jari tidak terdedah atau tidak.

Tulang jari tidak terdedah

Sekiranya tulang jari anda tidak terdedah di mana masih ada tisu yang melitupinya, maka dalam kebanyakan kes, panjang jari tersebut akan dapat dikekalkan seperti asal. Sekiranya luka adalah sebesar 1cm2 atau kurang, luka itu boleh dicuci setiap hari (dressing) sehingga ia sembuh. Cucian luka ini boleh dibuat di klinik awam atau swasta.

Sekiranya saiz luka di hujung jari adalah melebihi 1cm2, doktor perlu melakukan pembedahan kecil bagi menutup luka tersebut dengan mengambil sedikit kulit pesakit (skin graft)daripada kawasan lain samada ketebalan penuh (full thickness skin graft, FTSG)atau permukaan nipis (splitskin graft, SSG).

Tulang jari terdedah

Sekiranya tulang jari anda terdedah, rawatan yang akan dilakukan bergantung kepada bentuk luka pesakit samada lurus (transverse), senget ke atas (dorsal oblique) atau senget ke bawah (volar oblique). Doktor akan melakukan pembedahan kecil bagi membolehkan luka dan tulang itu ditutup kembali. Antara pembedahan yang boleh dilakukan termasuk cross-finger flap, thenar flap dan V-Y advancement flap. Doktor akan menjelaskan jenis pembedahan yang perlu dijalankan ini kepada anda.

Tujuan pembedahan ini dilakukan ialah agar tisu di sekelilingnya boleh digunakan bagi menutupi tulang tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan jangkitan kuman (osteomyelitis) dan kegagalan luka untuk sembuh kerana tulang yang terdedah berkemungkinan menjadi kering dan mati.

Ada masanya kecederaan tisu dan tulang yang terlampau teruk memerlukan hujung tulang yang terdedah itu dipendekkan sedikit ke tahap yang membolehkan ia ditutup. Prosedur ini dikenali sebagai refashioning.

 

Sumber gambar: Medical News Today

 

KOMPLIKASI

Antara komplikasi yang boleh terjadi termasuk:

  1. Hujung jari menjadi terlebih sensitif (hypersensitive) terhadap sentuhan dan persekitaran yang sejuk akibat pembentukan neuroma.
  2. Pertumbuhan dan pembentukan kuku jari baharu yang tidak normal akibat permukaan tilam kuku yang tidak sekata atau kepatahan tulang jari.
  3. Pergerakan sendi jari dan genggaman tangan menjadi tidak normal akibat parut luka yang terjadi

 

Dr Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

 

RUJUKAN

  1. Mark D. Miller. Review of Orthopaedics 5th Sauders Elsevier. Page 427-429

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box