Jauhi Iklan Penuh Dusta – Anthony Soh

medication-safety“Makanan tambahan 100% semulajadi yang membantu melawan kanser, merawat penyakit darah tinggi dan kencing manis!”

 Penawar penyakit resdung, gatal kulit dan asma. Dijamin baik dalam 2 minggu! Terbaik!

“Penambah tenaga batin lelaki dengan herba yang asli, tiada sebarang kimia dan 100% herba.”

Saban hari, kita dilontarkan dengan pelbagai iklan produk kesihatan di media massa baik di media cetak (surat khabar, majalah, risalah), media elektronik (televisyen, radio) mahupun yang terkini dalam media baru contohnya Facebook, Whatsapp, Blogspot, Instagram ataupun laman sesawang. Kita seharusnya lebih bersikap rasional dan bijak untuk pertimbangkan serta menilai iklan-iklan tersebut kerana ada juga yang bersifat mengelirukan pengguna.

Apakah yang dimaksudkan dengan iklan?

Menurut Seksyen 2 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, “Iklan termasuklah sebarang notis, pekeliling, laporan, ulasan, risalah, label pembalut atau dokumen lain dan sebarang pengumuman yang dibuat secara lisan atau dengan sebarang cara bagi mewujudkan atau memancarkan cahaya dan bunyi”

Maka tanpa disedari, iklan-iklan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita kerana iklan berada di mana-mana sahaja dan dalam pelbagai jenis rupa atau bentuk. Kita akan membincangkan dengan lebih lanjut terutamanya iklan yang berkaitan dengan produk dan perkhidmatan kesihatan. Umum mengetahui kesihatan adalah aset paling berharga yang lebih tinggi nilainya daripada wang ringgit.

Terdapat banyak iklan di luar sana yang menaburkan janji manis berkaitan kesihatan yang kita semua idamkan, banyak iklan yang tiada kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan Lembaga Iklan Ubat (LIU)?

Lembaga Iklan Ubat (LIU) ditubuhkan menurut peruntukan di bawah Peraturan Lembaga Iklan Ubat 1976. Lembaga ini ditubuhkan dengan tujuan memberi kelulusan untuk permohonan iklan. Apabila keadaan memerlukan, lembaga juga boleh membatalkan atau menarik balik kelulusan yang telah diberikan. Lembaga ini juga menilai dan mengubah polisi serta garispanduan iklan mengikut keperluan.

Menurut Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, tiada seorang pun boleh mengambil bahagian dalam penyiaran iklan bagi ubat/ remedi atau iklan bagi kemahiran dan perkhidmatan (Skill and Services) dengan tujuan merawat, mencegah atau mendiagnos penyakit dan keadaan tubuh manusia melainkan iklan tersebut telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU).

Maka kita tahu betapa pentingnya peranan Lembaga Iklan Ubat (LIU) bagi memastikan pengiklanan dijalankan secara bertanggungjawab dan kandungan Iklan perubatan adalah tepat, sesuai, berinformasi, terkini dan tidak mengelirukan. Ini akan membolehkan para pengguna untuk membuat pilihan rasional untuk mendapatkan sesuatu produk atau perkhidmatan perubatan berdasarkan iklan yang tidak mengelirukan.

Apakah jenis iklan yang perlu mendapat kelulusan dari LIU?

Terdapat 2 jenis iklan yang memerlukan kelulusan LIU, iaitu iklan ubat/ remedi dan iklan bagi kemahiran dan perkhidmatan (Skill and Services). Contoh iklan ubat/ remedi ialah iklan produk farmaseutikal dan tradisional berdaftar manakala contoh iklan bagi kemahiran dan perkhidmatan ialah iklan dari hospital/klinik, makmal dan klinik radiologi yang dikendalikan oleh doktor yang berdaftar.

Adakah Iklan Kosmetik Dan Makanan Juga Dipantau?

Iklan kosmetik dan makanan tidak memerlukan kelulusan dari Lembaga Iklan Ubat. Namun begitu iklan kosmetik dan makanan sepatutnya tidak mengandungi sebarang tuntutan perubatan yang melampaui takrif kosmetik ataupun makanan.

Sekiranya berlaku aktiviti pengiklanan yang tidak bertanggungjawab, Agensi Regulatori Farmasi Negara (sebelum ini dikenali sebagai Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pengiklan yang terlibat.

Apakah iklan yang dibenarkan dan apakah pula yang dilarang?

Seksyen 3 : Melarang iklan yang mencegah / merawat / mendiagnosis 20 jenis penyakit yang saya akan terangkan nanti; melarang iklan mengamal kontrasepsi di kalangan manusia; melarang iklan memperbaiki keadaan atau perjalanan ginjal/jantung/fungsi seks/ prestasi seks manusia

20 penyakit yang tidak boleh diiklankan adalah seperti berikut:

  1. Penyakit atau kecacatan buah pinggang
  2. Penyakit atau kecacatan jantung
  3. Diabetes
  4. Epilepsi atau sawan
  5. Lumpuh
  6. Tuberkulosis
  7. Asma
  8. Kusta
  9. Kanser
  10. Pekak
  11. Ketagihan Dadah
  12. Hernia
  13. Penyakit Mata
  14. Hypertensi (darah tinggi)
  15. Sakit Mental
  16. Kemandulan
  17. Kaku (Frigidity)
  18. Lemah fungsi seks / impoten
  19. Penyakit venerus /penyakit kelamin
  20. Kelemahan urat saraf, atau aduan atau kelemahan lain, timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks

Seksyen 4   : Melarang iklan berkaitan pengguguran kandungan

Seksyen 4A : Melarang iklan yang merujuk kepada kemahiran & perkhidmatan

berkaitan dengan rawatan,pencegahan/diagnosis sebarang penyakit/keadaan tubuh badan tanpa kelulusan daripada LIU. Melibatkan Hospital swasta, Klinik swasta, Makmal perubatan/ radiologi swasta

Seksyen 4B: Melarang mengiklankan sebarang artikel sebagai ubat/alat penyembuh yang berkaitan dengan rawatan, pencegahan/diagnosis sebarang penyakit/keadaan tubuh badan tanpa kelulusan daripada LIU

Ada yang bertanya.. Kenapa KKM melarang pengiklanan produk yang benar-benar berkesan mengubati penyakit-penyakit tertentu? Sebenarnya undang-undang diwujudkan untuk melindungi para pengguna, supaya cepat mendapatkan rawatan daripada profesional perubatan dan tidak bergantung kepada produk/ perkhidmatan yang diiklankan semata-mata.

Diharap para pengguna di luar sana sentiasa berhati –hati dengan iklan yang dipaparkan. Jangan mudah terpengaruh dengan pujukan iklan produk/ perkhidamatan yang membuat tuntutan perubatan “too good to be true”.

Kajilah terlebih dahulu jika ingin membeli sesuatu produk dan pastikan produk serta iklan tersebut benar-benar diluluskan oleh KKM.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah layari laman web rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, iaitu www.pharmacy.gov.my ataupun talian 03-784 13200/1800 88 6722 .

Anthony Soh adalah seorang Pegawai Penguatkuasa Farmasi yang bekerja di negeri Melaka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box