Jenis-jenis Rahim – Dr Muhammad Izzat Abdul Razak

Rahim yg normal adalah rahim berbentuk buah pear terletak dalam ruang pelvis. Berukuran dalam 7.5 cm panjang, 5cm lebar dan 2.5cm tebal. Di dalam rahim tu, ada ruang kosong tempat bayi membesar. Sekitar ruang kosong tu ada otot-otot yang boleh kembang dan kuncup. Sepertiga bahagian bawah rahim ni adalah cervix (pangkal rahim) yang duduknya pada hujung vagina. Bahagian atas rahim dipanggil fundus. Kat sebelah rahim ni ada 2 tiub kecil kiri dan kanan, dinamakan sebagai Tiub Fallopio. Pada hujung tiub fallopian kedua-dia belah ada macam jari jemari yang menangkap telur yang keluar dari ovari.

 

Sumber: Dr. Santa Martha

 

Di depan rahim ada pundi kencing. Posisi rahim yang berehat atas pundi kencing ni dinamakan sebagai ANTEVERTED UTERUS. Ada sesetengah orang perempuan, rahimnya berehat jauh dari pundi kencing, dan tak berada atas pundi kencing. Ni bukannya tak normal, kedudukan rahim saja yang lain. Bentuk nye sama saja macam orang lain.

1 dalam 6 wanita ada rahim terbalik – RETROVERTED UTERUS. Tahap kesuburan anda tak terganggu pun, dan peluang untuk mengandung macam biasa. Benih suami/ sperma ni ada ekor. Sperma boleh berenang-renang masuk ke dalam ruang rahim, kalau takda masalah dengan tiub fallopio, biarpun rahim berkedudukan terbalik sekalipun.

 

Dah tahu kan rahim yang normal yang bagaimana?

Segelintir wanita dilahirkan dengan keadaan rahimnya lain sedikit dari biasa. Kadang-kadang tak tahu pun sampailah dia jumpa doktor sebab tak mengandung-mengandung setelah lama berkahwin. Dalam wanita yang jumpa doktor sebab tak mengandung tu, 1 dalam 13 orang ada masalah rahim tak normal ni. Satu lagi, ada wanita yg keguguran bila bayi dalam kandungan dah besar – mungkin ada masalah rahim tak normal 1 dalam 3 wanita.

 

Sungguhpun ada masalah rahim tak normal ni, ada sahaja orang yang mengandung tanpa ada masalah.

 

Sumber gambar: Wearesurrogacy

Saya bahagikan masalah rahim tak normal ni kepada beberapa kategori :

Agenesis (rahim tak terbentuk)

SANGATLAH JARANG dijumpai. Kadar dia antara 1 dalam 4000 wanita hingga 1 dalam 10 000 wanita.  Ianya terjadi bila rahim tak terbentuk pun, atau ada rahim tapi rahimnya pendek dan kecil saiznya. Biasanya orang yg ada masalah ni, haid tak datang-datang walaupun dah lepas umur akil baligh.

Bila masanya tiba, melakukan hubungan seks akan jadi sangat tak selesa. Keadaan ini boleh dirawat dengan pembedahan dan kaunseling. Rasanya anda tahu la kan, kenapa tak boleh mengandung – sebab memang tiada rahim.

 

Uterus didelphys

Keadaan ini terjadi bila rahim ada 2 ruang. Setiap ruang ni hujungnya ada 2 cervix (pangkal rahim ). Ada yg mempunyai 2 vagina. Sangat jarang juga, 1 dalam 350 wanita. Mungkin boleh mengandung mcm biasa, tanpa masalah.

 

Unicornuate uterus ( rahim ada 1 tanduk )

Rahim jenis ini saiznya setengah dari saiz rahim yang normal. Tetapi mereka ada 1 saja tiub fallopio. Sebab bentuknya mcm tanduk, maka digelar rahim bertanduk 1. Sangat jarang juga – 1 dalam 1000 wanita. Ianya terjadi sebab pada peringkat awal pembentukkan rahim, sel sel tisu yang terlibat dalam pembentukan rahim tak berkembang dengan sempurna. Kalau anda ada unicornuate uterus, anda mungkin ada 2 ovari. Salah satu ovari ini akan berhubung dgn rahim. Asalkan ada ruang, tiub fallopio yang normal, peluang untuk mengandung tu ada. Walau bagaimanapun peluang untuk keguguran pun tinggi.

 

Bicornuate uterus (rahim ada 2 tanduk dan berbentuk hati)

Dari berbentuk pear, rahim jenis ini berbentuk love. Dipanggil rahim ada 2 tanduk sebab bentuknya mcm ada 2 tanduk. Kekerapan dijumpai – 1 dalam 200. Rahim jenis ini tidak menganggu peluang untuk mengandung, tapi risiko untuk keguguran tinggi.

Septate uterus

Rahim jenis ini ada pembahagian kat tengah-tengah rahim yang dipanggil septum. 1 dalam 45 wanita ada rahim jenis ini. Susah untuk mengandung kalau ada rahim jenis ini dan risiko untuk keguguran pun tinggi.

 

Arcuate uterus

Rahim jenis ini nampak mcm rahim yg normal, cuma kat bahagian atas ada sedikit ke dalam. Yang ni jenis biasa dijumpai, 1 dalam 25 wanita. Biasanya takda masalah untuk mengandung.

 

Ada pelbagai penyiasatan yang doktor lakukan bergantung kepada penilaian doktor ketika itu:

  • MRI
  • HSG – sejenis air yang mengandungi bahan yang mampu dilihat pada x-ray dimasukkan ke dalam rahim, lepas tu x-ray pada bahagian rahim akan dibuat
  • Laparoscopy – pembedahan melibatkan kemasukan kamera pada potongan kecil pada pusat. Kamera ni digunakan untuk lihat dengan lebih jelas apa yang berlaku pada ruang pelvis

BUKAN SEMUA jenis rahim tak normal perlukan rawatan. Ada yg boleh dirawat, ada yang tak. Contoh kalau rahim ada ruang pemisah kat bahagian tengah tu, boleh la doktor membuang bahagian pemisah tu menggunakan hysteroscope – sejenis alat kamera yang masuk ke dalam rahim melalui vagina dan cervix. Jenis rahim tak normal lain perlukan banyak perbincangan dengan doktor

Rujukan :

Mayer–Rokitansky–Kuster–Hauser syndrome: diagnosis and management. The Obstetrician & Gynaecologist 2012;14:93–98

Diagnosis of müllerian anomalies- StraOG E-learning by Royal College of Obstetricians & Gynaecologists UK

Artikel ini ditulis oleh Dr Muhammad Izzat bin Abdul Razak, registrar obstetrik & ginekologi yang bertugas di sebuah hospital di Selangor.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box