Jerebu & Kesudahannya – Dr Helmy Hazmi

haze-mapSaban tahun, rakyat Malaysia akan dihimpit dengan masalah jerebu. Ia sudah menjadi satu entiti yang tidak asing bagi kita. Malah, kita sudah tahu akan tindak tanduk yang perlu dilakukan dengan kehadiran jerebu – kurangkan aktiviti luar, lebihkan minum air dan pakai topeng muka ketika perlu menjalankan aktiviti luar.

Adakah permasalahan ini akan berakhir? Buat sementara ini, jalan penyelesaiannya agak samar samar.

Episod jerebu pada kali ini hampir menyamai krisis jerebu yang pernah mendapat perhatian meluas pada tahun 1997. Singapura, sebahagian Indonesia dan Malaysia sudah mengisytiharkan darurat di kawasan yang terjejas teruk. Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau ditunda akibat daripada kadar penglihatan yang buruk dan sekolah ditutup. Malah aktiviti sukan antarabangsa turut terjejas. Seramai 1600 orang askar telah dikerah untuk mengawal pembakaran api di beberapa wilayah Indonesia.

Pengesanan kawasan pembakaran di Indonesia melalui satelit nampaknya telah melebihi kadar pada tahun 2003. Dengan demikian, amat mudah untuk kita menunding jari dan mencari kesalahan orang lain untuk masalah jerebu ini. Namun, perlu kita ketahui bahawa beberapa faktor telah menyumbang kepada keadaan yang tidak diduga ini. Walaupun Indonesia merupakan kawasan yang paling basah, dengan purata hujan yang tinggi sepanjang tahun, fenomena El Nino telah mengubah corak aliran laut dan atmosfera di Lautan Pasifik. Ini mengurangkan kadar jatuhan hujan di gugusan kepulauan Indonesia dan mengakibatkan kekeringan yang nyata.

Selain fenomena alam, ramai petani kecilan melakukan kaedah paling mudah dan murah, yakni kaedah tebang dan bakar untuk menyediakan kawasan pertanian yang baru di Sumatra dan Kalimantan. Apa yang membimbangkan, tatkala kita menunding jari kepada syarikat konsesi yang besar sebagai penyebab jerebu di rantau ini, kajian menunjukkan sebaliknya. Di Sumatra, 60% daripada api kebakaran berpunca daripada petani kecilan ini. Api tersebut menghasilkan 62% daripada asap yang terhasil di seluruh Asia Tenggara. Manakala di Kalimantan, 73% daripada api kebakaran berpunca daripada petani kecilan yang menghasilkan 76% daripada asap yang terbentuk di seluruh Khatulistiwa.

Kaedah tebang dan bakar ini mudah dan cepat dan menjadi pilihan petani tempatan semata mata untuk memenuhi peningkatan permintaan tanaman hasil seperti permintaan minyak sawit yang tinggi. Penduduk tidak dapat disalahkan sepenuhnya kerana mereka tidak mempunyai sumber ekonomi yang lain untuk menjana pendapatan.

Pembakaran secara kecil kecilan akhirnya menjadi besar dan tidak terkawal. Apabila ia melibatkan tanah gambut yang mudah terbakar, proses ini amat sukar dikawal kerana pembakaran tersebut berlaku di bawah tanah dan terselindung dari curahan air atau bahan antibakar. Api yang marak menyukarkan anggota bomba yang berada di tanah untuk menembusi kebakaran tersebut. Alatan tambahan yang serba canggih diperlukan anggota untuk menangani haba tersebut.

Tambahan, pihak berkuasa tempatan mengalami kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menjadi dalang kebakaran tersebut apatah lagi jika kebakaran berlaku di kawasan hutan simpanan. Menurut NASA, di Provinsi Riau, separuh daripada kejadian kebakaran berlaku di kawasan hutan simpanan, di mana aktiviti penerokaan dan pembangunan adalah dilarang sama sekali.

Oleh yang demikian, menyedari kesan daripada masalah jerebu ini, Indonesia telah menandatangi Perjanjian Pencemaran Jerebu Lintas Sempadan ASEAN (ASEAN Agreement on Trans Boundary Haze Pollution) pada September yang lalu dengan tekanan daripada pelbagai pihak. Perjanjian ini mengkehendaki negara anggota mengelak, memantau dan mengurangkan pencemaran akibat jerebu ini. Namun, seperti yang kita lihat hari ini, kerajaan tempatan masih lagi terkial kial mencari solusi jangka pendek dan panjang yang berkesan.

Puncanya kompleks. Interaksi di antara kuasa politik yang terhad untuk mengheret pengusaha dan pemilik tanah kecilan ke muka pengadilan, kurang upaya untuk melindungi kawasan hutan lindungan, kerjasama yang longgar di antara kerajaan pusat dan tempatan serta masalah rasuah di kalangan anggota kerajaan menghambat usaha pengawalan pembakaran ini. Sungguhpun undang undang yang melarang pembakaran untuk pertanian dan pemburuan sudah sedia ada di hampir semua daerah, namun ia tidak diendahkan dan tidak diberi perhatian penuh.

Situasi pada hari ini seolah olah memberikan lebih banyak persoalan untuk dijawab bukan sahaja negara Indonesia, malah negara ASEAN secara amnya. Adakah negara Indonesia masih mampu untuk bertoleransi dengan amalan pertanian tersebut dengan kawalan jerebu yang masih ditakuk lama?

Tindakan Singapura yang mewartakan Rang Undang Undang Akta Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan 2014 merupakan contoh yang berani dan perlu. Akta ini mengizinkan Singapura untuk mengambil tindakan undang undang terhadap rakyat negara itu yang menyebabkan jerebu, walaupun punca jerebu tersebut berlaku di luar tanah Singapura. Ini sudah tentu akan mengurangkan beban pelaksanaan dari pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil tindakan undang undang terhadap peneroka yang tidak bertanggungjawab ini.

Kaedah pengawalan kebakaran di Indonesia memerlukan usaha yang lebih selain daripada alatan yang serba canggih. Dalam keadaan gawat seperti sekarang, bantuan daripada negara jiran amat diperlukan. Menepuk-nepuk semak api dengan menggunakan daun ketapang tidak akan memadamkan bara api di bawah tanah gambut. Yang diperlukan adalah helikopter melawan api dan usaha pembenihan awan yang meluas.

Ini merupakan tindakan jangka pendek.

Bagi tindakan jangka panjang, lebih perhatian perlu diletakkan kepada usaha untuk mengelakkan kebakaran dan bukannya usaha melawan kebakaran. Penguatkuasaan undang undang amat perlu, bahkan penggunaan anggota tentera untuk mengheret dalang pembakaran ke muka pengadilan perlu dilaksanakan. Kaedah pertanian yang lebih mampan yang boleh menghasilkan pulangan berganda setahun perlu direncanakan. Ini melibatkan sistem perparitan maju, kaedah membaja yang sesuai dan sistem pengurusan tanah pertanian yang tidak merosakkan tanah. Malaysia sudah tentu bersedia untuk jadi pemudahcara dalam aktiviti perpindahan teknoloji ini. Malah didikan perlu dilakukan untuk menerangkan kepentingan untuk tidak membakar sesuka hati.

Impak jerebu telah dan bekal menelan berbilion bilion ringgit bukan sahaja kesan terhadap kesihatan penduduk, tetapi juga kerosakan hutan, tanah pertanian yang rosak dan tidak mampan yang akhirnya merugikan ekonomi rantau ini. Tahap sosioekonomi yang rendah turut boleh mempengaruhi tahap kesihatan seseorang. Yang menyedihkan lagi apabila seseorang boleh terbunuh akibat daripada jerebu ini yang sepatutnya boleh dielakkan dengan mudah.

Dr. Helmy Hazmi ialah pakar perubatan komuniti dengan major dalam Epidemiologi dan Biostatistik. Beliau kini bekerja di kampung halamannya, Kuching, sebagai pensyarah perubatan. Untuk maklumat lanjut, lawat laman ‘The Team’.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box