“Jom Petik & Makan!” – Dr Rizin Kusop

Sumber: http://siliconangle.com/

Sumber: http://siliconangle.com/

Menurut bahasa Informasi Teknologi (IT), terdapat istilah “Pasang dan Pakai” (Plug and Play). Istilah ini biasanya merujuk kepada alat-alat yang boleh dibeli dan digunakan tanpa konfigurasi yang sukar atau penglibatan langsung pengguna. Tidak hairanlah, bagi orang kebanyakan, mereka akan mencari dan membeli peranti yang bercirikan “Pasang dan Pakai”.

Berkenaan pemakanan sihat, ingin saya memperkenalkan satu konsep baru yang dikenali sebagai ‘Petik dan Makan’. Ia bertujuan untuk memudahkan dan meringkaskan  segala sesuatu yang berkaitan dengan pemakanan sihat ataupun penerangan tentang apakah erti pemakanan sihat itu.

Beberapa bulan yang lalu, seorang sahabat saya telah  mempaparkan gambar sup ​​jagung dalam tin beserta beberapa keping roti putih di laman Facebook dan mendakwa bahawa makanan tersebut adalah sarapan sihat beliau. Benarkah? Sejauh manakah makanan dalam tin dan roti putih itu  dianggap sebagai sihat? Soalan seperti ini boleh dijawab melalui pengertian konsep “Petik dan Makan”.

Konsep “Petik dan Makan” menerangkan tentang perlunya sesuatu makanan itu berada sedekat yang mungkin kepada keadaan semula jadinya. Semua makanan manusia seharusnya ditanam  dan tumbuh di tanah dan seharusnya boleh terus dimakan sejurus selepas dipetik. IBerdasarkan ini, semua makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan  yang dimakan terus dan tidak diproses adalah makanan yang dianggap sihat. Prinsip ini juga boleh digunapakai kepada binatang ternakan dan juga ikan.  Haiwan dan juga ikan yang menjadi makanan kita sepatutnya juga perlu mendapatkan makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan melalui konsep “Petik dan Makan”. Mereka tidak seharusnya diberi makan dengan bijirin yang diproses ataupun tumbuh-tumbuhan yang berasaskan kimia (dikilangkan).  Sepatutnya makanan kita dan makanan haiwan ternakan haruslah diperolehi daripada sumber tumbuh-tumbuhan yang dituai dan bukannya dihasilkan daripada bahan kimia (dikilangkan).

Tidak dinafikan bahawa kesihatan sesuatu makanan itu hanya boleh diterangkan dengan cara perbandingan. Apabila merujuk kepada makanan yang sihat, perbandingan diperlukan untuk menjelaskan kebenaran tentang betapa sihatnya sesuatu makanan itu. Sebagai contoh, jika nasi putih dianggap sebagai makanan yang sihat, kita harus persoalkan melalui perbandingan yang setara. Sekali lagi, konsep “Petik dan Makan” boleh digunapakai di sini. Nasi putih yang berada dia atas pinggan kita telah melalui beberapa proses seperti penuaian, pengisaran, pemutihan dan juga masakan. Dengan cara itu,  nasi putih sebenarnya bukanlah  makanan yang boleh diperolehi dengan secara segar dan boleh dimakan begitu sahaja dari pokoknya. Maka konsep “Petik dan Makan” telah gagal di sini. Sebagai perbandingan, buah pisang yang sudah ranum pula boleh dipetik dan dimakan begitu sahaja dari pokoknya. Ini menjadikan buah pisang tersebut lebih sihat berbanding dengan nasi putih tadi.

Begitu juga, apabila kita membandingkan nasi putih dengan mi, kita perlu segera menyedari bahawa nasi putih adalah lebih sihat jika dibandingkan dengan mi. Ini adalah kerana mi adalah  bahan yang yang telah diproses daripada gandum atau beras.

Dengan cara ini, kita boleh memahami mengapa beras perang tanpa pemutihan adalah pilihan lebih sihat berbanding beras putih. Ringkasnya, makanan itu adalah lebih sihat, jika ia semakin dekat dengan keadaan asal atau semulajadinya. Semakin kurang pemprosesan yang dilakukan terhadap makanan itu, semakin baik tahap khasiatnya.

Kembali kepada kisah sahabat saya di laman Facebook tentang sup dalam tin dan roti putih tadi, sekarang barulah kita mengetahui sama ada makanan tersebut adalah sihat ataupun sebaliknya. Apa jua makanan yang datangnya daripada tin atau pembungkusan plastik hanya boleh dianggap sebagai makanan yang kedua, ketiga ataupun mungkin kesepuluh dalam tangga perbandingan makanan sihat. Makanan yang terbaik adalah semestinya dari sumber semulajadi, di mana kita boleh “Petik dan Makan” terus.

Artikel ini telah ditulis oleh Kolumnis Tetap the Malaysian Medical Gazette, Dr. Rizin H Kusop , yang kini merupakan pemilik dan pegawai perubatan  yang bertanggungjawab ke atas sebuah francais amalan kumpulan di Sabah yang mempunyai kepentingan khas dalam Anti-penuaan, Penjanaan Semula dan perubatan Estetik. Kenali lebih lanjut mengenai beliau di ruangan The Team. Artikel ini telah diterjemah oleh Cik Raja Maizatul Azaria.

Terdahulu telah diterbitkan di New Sabah Times.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 Rujukan :

  • Bellavia, A et al. Fruit and vegetable consumption and all-cause mortality: a dose-response analysis. American Journal of Clinical Nutrition. 2013; 98 (2):454-459.
  • Nothlings, U et al. Intake of vegetables, legumes and fruit and risk for all-cause, cardiovascular, and cancer mortality in a European Diabetic Population. The Journal of  Nutrition. 2008; 138:775-781.
  • Lorgeril, MD et al. Mediterranean diet, traditional risk factors, and the rate of Cardiovascular complications after Myocardial infarction. Final report of the Lyon Diet Heart Study. Circulation. 1999; 99:779-785.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box