Dikhabarkan terdapat satu utusan di media sosial semakin viral. Kandungannya adalah berkenaan kaedah menyelamatkan mangsa lemas dengan cara yang baru, iaitu berlari dengan menggantung mangsa terbalik di belakang.
Pada mulanya saya merancang untuk tidak menghiraukan sahaja perkara ini. Namun saya khuatir jika ada masyarakat awam yang terpedaya dan mempercayai kaedah ini. Ia mungkin boleh mengakibatkan ada nyawa yang melayang.
Izinkan saya berkongsi tentang apa yang berlaku ketika mangsa lemas. Ramai yang menganggap bahawa mangsa lemas akan menyedut air ke dalam paru-paru hingga mengalami kegagalan pernafasan (wet drowning). Tetapi majoriti mangsa sebenarnya akan menahan proses ini berlaku. Otak mereka akan mengarahkan larynx untuk menutup saluran pernafasan bagi menghindarkan mereka menyedut air ke dalam paru-paru. Mereka mengalami penutupan saluran pernafasan dikenali laryngospasm dan akan lemas (tidak sedarkan diri) kerana perkara ini (dry drowning). Paru-paru mereka kering sebenarnya sungguhpun mereka lemas di dalam air.
Untuk mangsa-mangsa lemas ini, akan berlaku gangguan bekalan oksigen ke otak. Hanya dengan tidak ada bekalan oksigen selama 4 minit ke otak, akan berlaku kerosakan otak kekal.
Matlamat utama rawatan adalah untuk memastikan kerosakan otak ini tidak berlaku atau dikurangkan. Ia dikenali sebagai cardio-neuro resuscitation. Adalah tidak bermakna jika pesakit diselamatkan tetapi otaknya telah mati dan keadaan mereka umpama mayat hidup.
Kaedah terbaik yang disokong oleh pembuktian saintifik bagi menyelamatkan mangsa-mangsa seperti ini adalah dengan melakukan rawatan CPR, iaitu dengan memberi bantuan pernafasan dan memberi tekanan eksternal pada dada bagi mengambil alih fungsi jantung yang terhenti untuk terus mengepam darah ke organ-organ kritikal seperti otak.
Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya mempelajari kaedah CPR yang betul ini kerana ia boleh membantu menyelamatkan nyawa. Membawa pesakit berlari selama beberapa belas minit dengan terbalik ini adalah bukan kaedah yang berkesan kerana jantung yang terhenti itu tidak akan mengepam darah ke otak dan oksigen tidak dibekalkan ke otak. (Ia hanya membantu orang yang berlari itu bersenam dan mengurangkan berat badan). Muntah air juga tidak semestinya berlaku kerana fenomena ‘dry drowning’ seperti yang saya sebut sebelum ini.
Kaedah rawatan CPR ini adalah mudah dipelajari. Di Jepun, pelajar-pelajar sekolah diajar teknik menyelamat ini. Di negeri saya Melaka, kerajaan negeri sedang merancang strategi bagi memastikan para guru-guru sekolah di seluruh negeri mempelajari kaedah ini. Ia bakal menjadi realiti tahun ini.
Note: Rekod mangsa lemas yang diselamatkan setelah lama lemas (40 minit) hanya bagi kes2 lemas di dalam air yg hampir pada tahap suhu beku. Ia hanya berlaku di negara2 yang mengalami musim sejuk. Suhu air kita adalah tidak sejuk.
Dr Abdul Rahman Abdul Kadir adalah seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma.
*Diambil dengan izin penulis
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]