Kaki membengkak adalah fenomena biasa bagi ibu yang mengandung. Dengan perubahan hormon yang mendadak ketika mengandung, kebanyakan ibu merasakan bengkak pada kaki ini kadang kala menyukarkan aktiviti harian mereka. Kebiasaannya, bengkak ini akan bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha. Sekiranya bengkak ini berlarutan, seluruh bahagian tubuh badan boleh terlibat. Perkara ini perlu di ambil perhatian kerana ianya boleh disebabkan oleh penyakit.
Sebelum itu, mari kita cuba fahami bagaimana kaki boleh membengkak semasa mengandung. Situasi ini kebiasaannya terjadi selepas usia kandungan mencecah 20 minggu. Waktu ini, janin sudahpun membesar akan menekan salur ‘inferior vena cava’ (salur darah untuk membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung). Ini menyebabkan perjalanan darah kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki. Perkara ini juga mengakibatkan perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan. Oleh itu, kedua-dua belah kaki akan mula membengkak dan selalunya ianya tidak menyebabkan kesakitan. Semakin banyak air tertapis keluar dari saluran darah, semakin besarlah bengkak pada kaki.
Tips untuk mengurangkan bengkak pada kedua-dua belah kaki.
- Minum air yang mencukupi. Kebanyakan pesakit takut untuk meminum air kerana beranggapan bahawa minum air yang banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Seperti apa diterangkan di atas, badan kita akan mengalami dehidrasi yang teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar dari salur darah. Dehidrasi dalam saluran darah akan menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan pembekuan darah senang terjadi. Hal ini akan mengundang kepada masalah lain seperti deep vein thrombosis. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut pada perenggan bawah nanti.
- Meninggikan kaki semasa baring. Letakkanlah bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras jantung. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki. Amalkan pada waktu malam.
- Baring mengiring di sebelah kiri badan. Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.
- Aktif bergerak. Anggapan bahawa kaki akan lebih membengkak jika banyak bergerak adalah tidak benar. Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk anda kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan pembentukan darah beku pada salur darah kaki.
- Compression stockings. Setokin ini tidak sama seperti setokin harian yang biasa kita guna. Setokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ianya mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian setokin ini mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring.
- Kasut yang selesa. Sila gunakan kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.
- Merendam kaki. Setakat ini, tidak banyak bukti menyokong bahawa amalan merendam kaki boleh mengurangkan bengkak pada kaki. Namun begitu, kebanyakan pesakit berasa lebih selesa apabila kaki mereka direndam di dalam air sejuk. Amalan ini juga boleh mengurangkan lenguh pada tapak kaki.
Adakah bengkak kaki ini boleh disebabkan oleh penyakit?
Ya. Sekiranya bengkak ini semakin teruk sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin, ini mungkin sesuatu yang abnormal. Hal ini perlu dipantau dengan lebih serius.
Apa yang membimbangkan, perkara ini boleh disebabkan oleh penyakit ‘pre-eclampsia’ atau tekanan darah tinggi semasa mengandung yang menyebabkan protein dikumuh keluar melalui air kencing. Hal ini perlu diperiksa dengan teliti oleh klinik-klinik kesihatan untuk memastikan tekanan darah anda normal. Sekiranya simptom seperti sakit kepala, pedih di hulu hati, mata kabur dan muntah yang teruk berlaku, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera. Pre-eclampsia boleh menyebabkan banyak komplikasi kepada ibu mengandung dan bayi dalam kandungan seperti kerosakan buah pinggang, gangguan fungsi hati, strok dan sawan.
Selain daripada itu, salah satu contoh penyakit yang boleh menyebabkan kedua-dua belah kaki bengkak semasa mengandung ada Sindrom Nephrotic. Penyakit ini berpunca daripada masalah penapisan pada ginjal atau buah pinggang yang menyebabkan protein dan air dikumuhkan keluar daripada salur darah badan kita. Masalah ini memerlukan perhatian daripada doktor pakar buah pinggang kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang secara kekal jika dibiarkan tanpa rawatan.
Bagaimana pula jika bengkak kaki ini berlaku pada sebelah kaki sahaja?
Bengkak yang melibatkan hanya sebelah kaki juga perlu dipantau dengan teliti. Sekiranya bengkak sebelah kaki ini diiringi dengas rasa sakit pada betis, lenguh dan sukar untuk berjalan seperti biasa, sila berjumpa doktor dengan segera. Deep vein thrombosis atau darah beku yang tersumbat pada saluran darah kaki ini sangat merbahaya. Penyakit ini sangat biasa berlaku pada waktu mengandung kerana darah akan menjadi lebih pekat daripada biasa. Ditambah pula sekiranya wanita itu kurang berjalan dan mengalami dehidrasi, pembentukan darah beku ini lebih senang berlaku. Kadang kala, ia juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit darah yang tidak pernah kita ketahui seperti antiphospholipid syndrome, thrombophilia atau bentuk salur darah yang tidak normal. Sekiranya tidak dikesan dengan lebih awal, darah beku pada kaki ini boleh pecah pada bila-bila masa. Ketulan darah beku yang lebih kecil ini akan menyusur ke arah jantung dan paru-paru. Hal ini boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba. Oleh itu, amatlah penting untuk mengesan penyakit deep vein thrombosis ini lebih awal supaya rawatan dapat diberikan dengan segera.
Jangkitan kuman atau kesan alergi boleh menyebabkan sebelah kaki membengkak. Kebiasaannya, situasi ini disertai oleh demam, sakit, kegatalan dan kulit yang kemerahan pada kaki yang terlibat. Hal ini berpunca daripadagigitan serangga atau kaki yang luka. Kuman akan menjangkiti luka itu menyebabkan cellulitis atau infeksi pada kulit kaki. Penyakit ini boleh sembuh dengan bantuan antibiotik.
Bengkak pada kaki adalah proses biasa semasa mengandung. Bengkak pada kaki ini akan pulih selepas bersalin. Amalkan minum air yang banyak dan aktiviti harian yang aktif untuk mengelakkan sebarang komplikasi semasa mengandung. Seandainya anda mengalami bengkak kaki yang sangat teruk selain daripada apa yang telah diterangkan di atas, sila berjumpa dengan doktor anda untuk mendapat pemeriksaan lebih lanjut.
Dr. Mardiana Kipli M.D (UNIMAS) merupakan seorang pakar Obsterik dan Ginekologi yang bertugas di Kuching.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]