Kanser Di Dalam Mulut – Dr Husna Razak

Benjolan dan ulser yang berpanjanganKanser terjadi apabila struktur genetik (DNA) yang mengawal pertumbuhan sel-sel badan anda mengalami perubahan dan mutasi. Akibatnya, pertumbuhan sel-sel itu tidak lagi dapat dikawal oleh badan menyebabkan kemunculan sel-sel kanser. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan membesar dengan cepat untuk membentuk tumor.

Kanser mulut merupakan kanser yang ke-sebelas paling kerap dikesan di Malaysia, di mana dua kes baru kanser mulut dikesan setiap hari.  Di Malaysia, kanser mulut paling banyak dikesan di kalangan kaum India dan diikuti kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bagaimana kanser mulut boleh terjadi?

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut:

1. Merokok

Seperti yang diketahui umum, beberapa bahan dalam rokok adalah “carcinogen” iaitu ejen yang menyebabkan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hampir 60% daripada pesakit yang menghidap kanser mulut adalah perokok. Semakin banyak dan semakin lama anda merokok, maka semakin tinggilah risiko anda untuk mendapat kanser mulut.

2. Tembakau dan sirih

Amalan mengunyah sirih dan tembakau juga berkaitan dengan peningkatan risiko kanser mulut di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara. Pengambilan sirih dan kapur, gambir, buah pinang dan sebagainya juga mengandungi “carcinogen” yang boleh menyebabkan kanser.

3. Alkohol

Tabiat mengambil minuman beralkohol dengan kerap meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser mulut sehingga 2.5 kali ganda atau sebanyak 155%. Risiko mendapat kanser mulut akan meningkat sehingga 5 kali ganda sekiranya anda seorang peminum alkohol tegar.

Pengambilan alkohol dan tembakau (rokok atau kunyah)  yang diambil bersama-sama dengan kerap boleh meningkatkan risiko mendapat kanser mulut berkali-kali ganda lagi.

4. Human papilloma virus (HPV)

HPV adalah sejenis virus penyakit kelamin yang boleh tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan. Virus ini  terutamanya HPV 16 dan 18 boleh menjangkiti bahagian mulut kerana kulit di bahagian kelamin dan mulut tidak banyak bezanya dari segi struktur. Virus ini dikaitkan dengan kes-kes individu-individu yang menghidap kanser mulut tetapi tidak merokok dan mengamalkan pengambilan minuman beralkohol.

5. Radiasi

Radiasi dari sinar matahari, sinar X dan gamma juga boleh menyebabkan sel-sel mengalami mutasi sekiranya anda terdedah kepada sinaran-sinaran tersebut untuk jangka masa yang lama. Amalkan memakai ‘sunscreen’ pada kulit atau pelembap bibir yang mengandungi pelindung sinar UV [Sun Protection Factor (SPF)] jika anda selalu terdedah kepada sinar matahari untuk jangka masa yang lama.

6. Diet

Walaupun kaitan makanan dengan kanser mulut tidaklah sekukuh merokok dan alkohol, terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya yang mengandugi karotin (contohnya lobak merah, tomato dan buah oren) boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser mulut.

Malangnya, di Malaysia, ramai pesakit yang telah berada pada tahap teruk apabila dikesan menghidap kanser mulut. Hampir 70% kes yang dikesan di hospital-hospital di Malaysia telah berada pada  Tahap III dan IV yang menyebabkan kurang dari separuh daripada jumlah pesakit yang dikesan menghidap kanser mulut akan dapat hidup lebih dari 5 tahun selepas kanser dikesan.

Pemeriksaan sendiri kanser mulut

Sumber: http://stjamesdentalgroupcudahy.wordpress.com

Hal ini boleh dielakkan dengan pemeriksaan sendiri di rumah dan melakukan pemeriksaan berkala di klinik. Pemeriksaan mulut kita sendiri tidaklah sukar. Anda cuma perlukan cermin dan pencahayaan yang mencukupi, dan hanya perlu ikut langkah-langkah mudah seperti berikut:

  1. Berdiri di hadapan cermin. Keluarkan gigi palsu (jika ada). Bersihkan tangan anda dengan sabun dan air yang bersih.
  2. Angkat bibir atas anda dengan menggunakan jari. Perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam bibir dan gusi. Ulang langkah sama untuk bibir bawah. (Gambar A dan D)
  3.  Dengan ibu jari dan jari telunjuk, picit bibir anda perlahan-lahan. Pastikan tiada benjolan atau ulser. (Gambar B).
  4. Tarik pipi kanan anda, perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam pipi dan gusi belakang. Ulang langkah ini dengan pipi sebelah kiri. (Gambar C).
  5. Dongak kepala anda dan lihat lelangit anda. Gunakan ibu jari dan tekan lelangit perlahan-lahan untuk memeriksa sebarang keganjilan yang mungkin ada. (Gambar E).
  6. Tekan lidah anda menggunakan batang kayu aiskrim atau berus gigi. Perhatikan bahagian belakang lidah dan tekak anda. (Gambar F).
  7. Seterusnya, angkat lidah dan periksa bahagian bawah lidah dan gusi berdekatan dengan lidah. (Gambar G).
  8. Akhirnya, gerakkan lidah anda ke kiri dan periksa bahagian kanan lidah. Ulang langkah sama untuk sebelah kanan. (Gambar H).

Apakah yang patut anda cari ketika pemeriksaan mulut sendiri?

  • Tompok putih yang tidak hilang setelah disapu dengan kapas.
  • Tompok merah
  • Tompok merah dan putih yang bercampur
  • Ulser atau luka yang berpanjangan
  • Sebarang benjolan di dalam mulut dan leher
  • Kesukaran mengunyah dan menelan makanan.

Namun begitu, kehadiran mana-mana tanda yang disebut di atas tidak bermakna anda menghidap kanser mulut. Ia boleh juga disebabkan oleh keadaan lain yang mungkin tidak berkaitan dengan kanser. Doktor anda akan memeriksa dan menjalankan beberapa ujian lanjutan sebelum menentukan penyakit yang anda hidapi ketika temujanji.

Kesimpulannya, adalah penting untuk kanser mulut dikesan awal supaya rawatan boleh dijalankan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Adalah lebih baik lagi jika tabiat yang meningkatkan risiko kanser mulut  ini dihentikan sebagai langkah pencegahan.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • http://mouthcancermalaysia.um.edu.my/s tatistic.html
  • http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20192598
  • http://www.cancerresearchuk.org/cancer-info/cancerstats/types/oral/riskfactors/oral-cancer-risk-factors
  • http://www.aaoms.org/docs/media/oralcancerselfexam.pdf

16 comments for “Kanser Di Dalam Mulut – Dr Husna Razak

  1. Noor fadhilah binti dzulkifli
    April 11, 2014 at 9:57 pm

    Doktor,sy kerap mendapat ulser…ulser kerap berlaku di lidah & berulang…sekiranye sy tergigit lidah maka pasti ulser akan terjadi…adakah ini salah satu simpton kanser mulut..

    • Dr Husna Razak
      April 17, 2014 at 8:11 am

      Cik Noor Fadhilah,

      Bukan semua ulser membawa kanser. Sekiranya ulser berlaku hanya selepas anda tergigit lidah, kemungkinan besar ia hanyalah traumatic ulser, iaitu ulser yang disebabkan oleh kecederaan. Saya cadangkan anda melawat klinik pergigian terdekat untuk pemeriksaan gigi dan ulser tersebut untuk penerangan dan rawatan yang lebih lanjut.

  2. Mohd Hisham
    April 12, 2014 at 11:32 pm

    Artikel yang baik

    • Dr Husna Razak
      April 17, 2014 at 8:12 am

      Encik Hisham,

      Terima kasih, harap anda dan keluarga mendapat manfaat dari artikel ini.

  3. amy
    May 24, 2014 at 12:30 pm

    Hi doc..masalah saya sejak 2bulan ni saya mengalami kebas disekitar dalam bibir dan hujung lidah. saya merasai ketika memberus gigi dan makan terutama makan makanan pedas. Kadang ia akan jadi ulser tiba2.

  4. shazwani
    June 24, 2014 at 9:44 am

    artikel yang berinformatif.senang difahami dan dipraktikkan

  5. Sarah
    August 17, 2014 at 6:09 pm

    Doctor, pd bibir bwh kiri saya terdapat benjolan. Asalny bermula dr ulser tp slps ulser hilang ia bertukar mnjd benjolan dan berlarutan lbh sbulan. Dan benjolan itu tidak sakit tp membuatkan sy tidak selesa. Ape pndpt doctor?

    • Dr Husna
      August 18, 2014 at 11:00 am

      Hi Sarah, ada beberapa kemungkinan tetapi kebanyakannya tidak berbahaya. Saya sarankan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan ujian lanjut.

  6. Zeatie
    October 9, 2014 at 11:35 pm

    Assalam doktor..saya ingin bertanya mengenai benjolan yang terjadi pada bahagian lelangit dan lantai mulut saya. Tapi benjolan ini tidak sakit dan mengganggu percakapan dan pemakanan seharian saya.Terdapat 1 benjolan agak besar pada lelangit mulut saya dan dua biji benjolan sederhana besar pada sebelah bahagian kiri dan kanan gigi bawah saya iaitu pada lantai mulut saya.Benjolan ini keras dan saya merasakan terdapat tulang yg keras di dalamnya…Saya tidak sedar bilakah ianya berlaku….Apa pendapat doktor?Terima kasih

    • dya
      January 14, 2015 at 4:16 pm

      Sy juga mengalami masalah yg sama..Terdapat 4benjolan seperti tulang di lantai mulut. Dan sy sendiri tidak tahu sejak bila ianya wujud. Setakat ini , sy tidak mengalami sebarang masalah di bahagian mulut.

  7. masri
    October 14, 2014 at 3:04 am

    amy
    May 24, 2014 at 12:30 pm
    Hi doc..masalah saya sejak 2bulan ni saya mengalami kebas disekitar dalam bibir dan hujung lidah. saya merasai ketika memberus gigi dan makan terutama makan makanan pedas. Kadang ia akan jadi ulser tiba2

    (Masalah Ini Juga berlaku pada saya) adakah Ini tanda awal kanser atau lain penyakit

  8. Syamsinar
    December 8, 2014 at 3:38 pm

    Hai Doctor,saya ada buat pemeriksaan..dan saya dapati ada benjolan kecil di bahagian lelangit seperti pada gambar E,adakah itu tanda-tanda cancer mulut? Adakah saya perlu menjalani pembedahan untuk benjolan itu?

  9. faiz
    December 14, 2014 at 10:49 am

    As salam doktor…sy mula mendapat bengkak di bahagian tepi mulut gigi bongsu saya iaitu di bahagian paling belakang gigi belah kiri….ia berlanjutan selama 2 minggu kemudian surut….tetapi baru baru ini ia bengkak semula dan lebih teruk muncul tanda hitam seperti nekrosis tisu …. saya mengalami gejala sakit ketika mengunyah….dan setiap malam ia berdenyut….apakah ia kanser??

  10. hajar
    March 4, 2015 at 9:06 am

    salam dokt0r,,adakah ulser ade kaitan dengan urat?,,saya kerap kena ulser mulut dan ia buat kn sy sakit kepala ..adkh ia berkaitan?

  11. Zalika
    March 26, 2015 at 9:50 pm

    Salam dr, baru2 ni terdapat satu biji kecil berwarna putih di bahagian soft palate. Sy xrasakan kesakitan, cuma terdapat ketidakselesaan di dlm mulut akibat biji ini. Apakah punca perkara ini dr? Terima kasih.

  12. ana
    May 11, 2015 at 12:48 pm

    salam Dr.. lidah sy selalu kebas2 mcm melecur lepas makan makanan pedas walhal sy xmakan makanan panas pon dan terdapat tompok2 hitam di bwah bibir saya dan sekitar dinding mulut lepas sy guna mouthwash. kenapa ya?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box