Kawalan Normal Tekanan Darah dan Pengkelasan Ubat Darah Tinggi – Dr Syed Alhafiz Syed Hashim

Menurut statistik tahun 2019 Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, dianggarkan terdapat kira-kira 1.13 bilion individu yang menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi. Malangnya, kurang daripada 20% pesakit berjaya mencapai tekanan darah pada paras yang diingini. Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 pula mendapati 3 daripada 10 rakyat Malaysia mempunyai tekanan darah melebihi 140/90 mmHg. Namun, hanya 45% pesakit yang mencapai tahap tekanan darah sasaran. Dalam artikel ini, saya memfokuskan kepada 2 perkara iaitu bagaimana tubuh mengawalatur tekanan darah seseorang dalam keadaan normal dan juga asas tindakan ubat darah tinggi untuk membantu dalam pengawalan tekanan darah pesakit. Semoga ini akan meningkatkan kesedaran dan kefahaman anda terhadap sebab mengapa ubat ini diberi.

Kawalan normal tekanan darah

Secara umumnya tekanan darah dikawal melalui 2 kaedah. Pertama. baroreseptor dan sistem saraf simpatetik. Kedua, sistem renin-angiotensin-aldosteron (RAAS). Saya akan cuba untuk memberi penjelasan seringkas yang mungkin.

 

  • Baroreseptor dan sistem saraf simpatetik

Apa itu baroreseptor? Secara bahasa, “baro” merujuk kepada tekanan, manakala “reseptor” pula membawa erti penerima. Jika digabungkan, baroreseptor merupakan gugusan sel yang menerima signal sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tekanan darah. Baroreseptor diransang apabila dindingnya menjadi tegang. Rangsangan baroreseptor akan menghalang sistem saraf simpatetik (SSS) dari diaktifkan.

Apa pula SSS? Ia adalah sistem saraf yang bertanggunjawab untuk mengaktifkan tindak balas “lawan atau lari”. Untuk mengetahui apa yang terjadi ketika tindak balas “lawan atau lari”, anda hanya perlu bayangkan keadaan ketika anda sedang berlari dikejar oleh seekor harimau. Apa yang berlaku? Mata anda akan terbuka luas, air liur kering, jantung berdegup kencang, salur darah mengecut menjadikan tekanan darah meningkat, salur pernafasan mengembang dan anda tidak sempat untuk ke tandas (sembelit dan air kencing kurang). Ini semua adalah kesan apabila sistem saraf simpatetik diaktifkan. Sebaliknya, anda akan merasai kesan yang berlawanan sekiranya sistem ini dihalang. Apakah kaitan antara baroreseptor, sistem saraf simpatetik dan kawalan tekanan darah?

Seperti yang saya nyatakan, baroreseptor mengesan sebarang perubahan tekanan darah. Ia lebih sensitif terhadap perubahan tekanan darah yang bersifat sementara seperti perubahan posisi badan. Sebagai contoh, sekiranya anda sedang baring dan bangun secara mengejut, tekanan darah akan jatuh dan anda akan rasa pening dan berpinar-pinar. Tekanan darah yang rendah, menyebabkan baroreseptor menjadi kurang tegang, akibatnya ia tidak lagi menghalang sistem saraf simpatetik. Kesannya, degupan jantung semakin laju dan salur darah mengecut menjadikan tekanan darah kembali normal.

 

  • Sistem renin-angiotensin-aldosteron (RAAS) 

Berbeza dengan baroreceptor, sistem ini memberikan kawalan tekanan darah untuk       jangka masa panjang. Bagi memahami RAAS, kita haruslah terlebih dahulu mengetahui bahawa tekanan darah bergantung kepada 2 faktor iaitu kadar degupan jantung dalam masa 1 minit (heart rate) dan juga isipadu darah yang dipam keluar oleh jantung ventrikel kiri dalam masa 1 minit (cardiac output).

 

RAAS diaktifkan apabila tekanan darah menjadi rendah. Pengaktifan RAAS menghasilkan protein yang dipanggil Angiotensin 2 (AT2). Tindakan AT2 menyebabkan salur darah mengecut dan meninggikan semula tekanan darah. Selain itu, pengaktifan RAAS turut meningkatkan isipadu darah dengan cara mengurangkan pengkumuhan garam sodium dan meningkatkan penyerapan semula air dari buah pinggang ke dalam salur darah. Pertambahan isipadu darah turut menyumbang kepada peningkatan tekanan darah.

 

Asas sasaran ubat darah tinggi

Setelah anda memahami secara ringkas bagaimana tekanan darah dikawal oleh tubuh, sekarang mari kita lihat pula sasaran ubat darah tinggi untuk mengurangkan tekanan darah. Ubat darah tinggi diklasifikasikan mengikut mekanisma ubat itu bertindak. Ia dapat dibahagikan kepada 4 kumpulan besar.

  1. Diuretic (ubat lawas kencing) – ubat ini mengurangkan isipadu darah, lalu merendahkan tekanan darah. Contoh ubat dalam kumpulan ini adalah Hydrochlorothiazide.

  1. Angiotensin antagonist – Kelas ini boleh dibahagikan lagi kepada 3 iaitu ubat yang menghalang enzim ACE (ACE inhibitor) seperti perindopril, ubat yang menghalang reseptor angiotensin (Angiotensin receptor blocker) seperti losartan dan ubat yang menghalang protein renin seperti aliskiren. Kesemua ubat ini secara umumnya, merencatkan sistem RAAS dan menyebabkan kesan seperti dinyatakan sebelum ini.

 

  1. Sympatholytic agent – Ubat dalam kelas ini menghalang sistem saraf simpatetik dari diaktifkan. Contoh ubat dalam kelas ini adalah prazosin dan propranolol.

 

  1. Vasodilator – Antara ubat dalam kelas ini adalah calcium channel blocker seperti amlodipine. Ubat ini menghalang kemasukan kalsium ke dalam sel jantung dan salur darah lalu. Jumlah kalsium yang rendah dalam sel menyebabkan salur darah mengembang dan degupan jantung menjadi perlahan. Ini akhirnya menyebabkan tekanan darah berkurang.

 

 

Setiap ubat darah tinggi yang diberi oleh doktor adalah bersifat khusus kepada pesakit yang dirawat. Ini bergantung kepada keadaan kesihatan pesakit.  Ada ubat yang tidak sesuai diberi dalam situasi tertentu. Justeru itu, setiap ubat darah tinggi hanyalah boleh diambil dengan preskripsi doktor setelah menilai keadaan anda secara keseluruhan.

Dr. Syed Alhafiz Syed Hashim

Pensyarah Perubatan

Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan

Universiti Kebangsaan Malaysia

Rujukan

  1. Katzung BG, ed. Basic and clinical pharmacology. 12th ed. New York: McGraw-Hill Education; 2012.
  2. Katzung, B. G., Kruidering-Hall, M., & Trevor, A. J. Katzung & Trevor’s pharmacology: Examination & board review 11th New York: McGraw-Hill Education;2015
  3. Whalen, K., Finkel, R., & Panavelil, T. A. Lippincott illustrated reviews: Pharmacology 6th ed. Philadelphia, PA: Wolters Kluwer; 2015
  4. Malaysia CPG Management of Hypertension 4th ;2013
  5. World Health Organization (https://www.who.int/) Hypertension Fact Sheet, 13 September 2019
  6. Institute for Public Health 2020. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2019: Non communicable diseases, health care demand and health literacy – Key Findings.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box