Kebaikan Susu Ibu – Mohd Fauzee bin Mohd Zaki

Kebaikan susu ibu, bagi bayi dan juga ibu, sudah dibuktikan melalui pelbagai kajian dan kini menjadi saranan utama buat para ibu yang baru melahirkan anak. Para ibu digalakkan untuk hanya memberi susu ibu kepada bayi bagi enam bulan pertama, dan menyambung penyusuan bersama makanan sampingan sehingga anak berumur dua tahun. Ini telah tertera dalam Polisi Penyusuan Bayi Malaysia (Malaysian Breastfeeding Policy).

Manfaat Susu Ibu

Terdapat banyak faedah buat ibu dan bayi jika mereka memilih untuk meneruskan penyusuan secara eksklusif. Seperti yang telah diwar-warkan, kadar penyakit kencing manis ketika kehamilan (gestational diabetes mellitus) kian meningkat. Dalam kes ini, penyususan bayi dapat membawa manfaat yang besar bagi ibu. Metabolisme glukosa dalam tubuh ibu akan meningkat jika mereka meneruskan penyusuan susu badan untuk tiga bulan pertama. Ini adalah kerana meningkatnya sensitiviti insulin (disebabkan oleh pengeluaran prolaktin yang tinggi dan paras estrodial yang rendah) serta pemulihan fungsi sel-β.

Ibu yang menyusukan bayi akan kehilangan berat badan dengan lebih pantas berbanding ibu yang tidak memberikan susu badan kepada bayi mereka. Menurut laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu/ United Nations (UN) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia/World Health Organisation (WHO), bayi yang diberikan susu badan secara eksklusif memerlukan 807g purata susu sehari dalam enam bulan pertama. Ini bermaksud ibu menggunakan 675 kalori tenaga sehari. Ibu yang menyusukan anak separuh masa hanya membakar 460 kalori tenaga sehari. Sebahagian daripada tenaga yang diperlukan untuk menghasilkan susu ibu datang daripada simpanan lemak ibu itu sendiri. Oleh itu, para ibu yang mempunyai pertambahan berat badan yang sewajarnya ketika mengandung cuma perlu mengambil 505 kalori tambahan sehari (rujuk Jadual 1). Pengurangan berat badan lebih kurang 0.5 kg seminggu adalah selamat dan tidak akan mengganggu penyusuan. Selain itu, penyusuan susu badan juga mengurangkan risiko kanser ovari dan payudara, penyakit kardiovaskular, kencing manis/ diabetes dan artritis rheumatoid.

Bayi yang disusukan dengan susu badan selalunya tidak gemuk. Ini adalah disebabkan oleh kandungan susu ibu yang dinamik. Bayi yang diberikan susu formula pula lebih cenderung untuk menghadapi masalah obesiti kerana mereka perlu menghasilkan lebih insulin lalu menyebabkan kadar insulin tinggi dalam darah (‘hyperinsulinaemia’). Keadaan ini menyebabkan proses pemecahan lemak (lopilisis) direncatkan dan kadar pemendapan lemak meningkat. Insiden penyakit kronik seperti kencing manis, obesiti dan kolestrol tinggi (hyperkolestrolemia) ketika dewasa juga adalah rendah dalam kalangan bayi yang menerima susu ibu.

Nutrisi Ketika Penyusuan

Ibu yang menyusukan bayi memerlukan bekalan tenaga, thiamin, riboflavin, niasin, folat, vitamin B12, C, A dan D, kalsium, fosforus, magnesium, zink, tembaga dan selenium yang lebih tinggi daripada biasa. Kapasiti menghasilkan susu selalunya melebihi jumlah penghasilan, dan peningkatan dalam permintaan susu oleh bayi akan dipenuhi dengan peningkatan dalam pengeluaran susu, tanpa mengira pengambilan nutrisi dan tenaga ibu.

Saranan pemakanan sihat dan seimbang (rujuk Jadual 2) boleh diamalkan oleh ibu yang menyusukan bayi. Para ibu dinasihatkan supaya mengambil sajian dalam jumlah yang kecil tetapi dengan kerap, minum banyak air, susu dan jus buah-buahan. Asid lemak politaktepu rantai panjang/ polyunsaturated fatty acids (LCP) yang terkandung dalam susu ibu memainkan peranan penting dalam perkembangan otak dan retina bayi. Untuk memastikan pengambilan LCP yang cukup, para ibu disyorkan supaya mengamalkan diet yang mengandungi ikan, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Minuman beralkohol dan kafein mudah disalurkan ke dalam susu badan dan elok dielakkan ketika menyusukan bayi.

Jadual 1

Nutrien Normal Kehamilan Penyusuan
Tenaga (Kcal) 2000 2000-2470 2500
Protein (g) 55 62.5 75
Kalsium (mg) 800 1000 1000
Vitamin A (mcg) 500 800 850
Vitamin C (mg) 70 80 95
Thiamin, B(mg 1.1 1.4 1.5
Riboflavin,B2 (mg) 1.1 1.4 1.6
Niasin,B6 (mg) 14 18 17
Folat (mcg) 400 600 500

Jadual 2

Kumpulan Makanan Fungsi Sumber Sajian/hari
Karbohidrat
Bijirin, sayuran berkanji – Sumber yang baik bagi karbohidrat kompleks
– Ia juga mengandungi vitamin,mineral, serat dan sesetengah protein
– Kurang lemak
Nasi, oat, barli, gandum 9-11
Buah-buahan – Sumber yang baik untuk vitamin dan mineral
– Sumber serat
Pisang, epal, limau, papaya, 2
Protein
Ikan, ayam, daging dan kekacang – Sumber yang baik untuk protein
– Kaya dengan vitamin B, zat besi dan zink
– Kekacang: kaya dengan vitamin B, magnesium dan serat
Daging lembu, kambing, ayam, ikan sardin, ikan tuna, ikan makerel 2-3
Susu dan hasil tenusu – Sumber kalsium
– Sumber yang penting bagi protein
– Sumber vitamin
Susu kurang lemak, keju, dadih 1-2
Sayur-sayuran – Sumber vitamin dan mineral
– Sumber serat
Sawi, kobis, brokoli, asparagus, kacang hijau 2-3
Lemak – Sumber tenaga
– Fokuskan pengambilan asid lemak tidak tepu dan kurangkan pengambilan asid lemak tepu
Minyak kelapa sawit, mentega, marjerin, mayonis 1-2
Asid lemak Omega 3 dan Omega 6
– Asid lemak politaktepu rantai panjang (long chain polyunsaturated fatty acid)
– Penting untuk otak, pertumbuhan dan perkembangan bayi
Ikan laut dalam seperti tuna, sardin, makerel dan salmon
Vitamin dan mineral – Diperlukan untuk fungsi seharian yang normal
– Boleh didapati daripada buahan, sayuran dan protein
Buah-buahan, sayuran, protein tanpa lemak

 

Encik Mohd Fauzee bin Mohd Zaki ialah seorang pakar diet yang kini bekerja di Temerloh, Pahang.

Rujukan:

  • Manual of Dietetic Practice (4th edition)
  • www.eatright.org

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box