“Kecemasan! Takkan Tengok Sahaja?” – Dr Lim Jac Fang

Gambar: Picture source: IB Times Singapore

Hampir semua kita pernah menyaksikan kemalangan sama ada di tempat kerja ataupun di luar. Ada juga yang pernah berada betul-betul di sebelah mangsa. Jadi, apa yang kita lakukan terhadap mangsa? Apakah tindakan anda? Adakah kita ‘bertindak’ atau pun ‘terpaku’? Cara kita bertindakbalas berkaitan dengan cara kita dilatih membantu orang yang memerlukan bantuan. Sekadar berdiri ‘terpaku’ di situ atau ‘tolong tengok’ tidaklah sebenarnya membantu mangsa. Kita sekadar menjadi ‘penyaksi’.

 

Di tempat kerja, keperluan dan garis panduan untuk memberi pertolongan cemas kepada yang tercedera ada termaktub dalam Akta Kilang dan Jentera 1967. Ini termasuklah:

  • Peraturan Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan 1970; Seksyen 56(1)
  • Peraturan Kilang dan Jentera (Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan 1970: Peraturan 38; Pertolongan Cemas
  • Akta Kilang dan Jentera Bahagian II; Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan Seksyen 25 Perbekalan kepada Kebajikan
  • Garispanduan Prasarana Pertolongan Cemas di Tempat Kerja (DOSH)

 

Kecederaan, kemalangan dan penyakit boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana di tempat kerja. Ia boleh jadi kecederaan kecil ataupun serius. Majikan, pemilik mahupun kontraktor, seharusnya menyediakan latihan pertolongan cemas yang diiktiraf kepada pekerja termasuk juga bahan-bahan pertolongan cemas yang mencukupi, yang sedia digunakan apa bila situasi cemas timbul. Bilangan pekerja yang perlu dilatih dan bekalan yang diperlukan bergantung kepada bilangan pekerja pada satu-satu masa, jarak ke pusat kesihatan yang terdekat dan kadar bahaya kerja yang dilakukan di tempat kerja. Natijah kualiti bantuan yang diberi kepada mangsa, secara cekap dan tepat dapat menentukan hidup mati, kepulihan yang segera atau terlantar lama di hospital, atau hilang upaya sementara atau kekal.

 

Gambar: The Indian Express

Profesor Anthony Redmond dari Universiti Manchester, dalam kajiannya menukil 178 kematian selepas kecederaan traumatik dan juga dua punca kematian paling kerap ialah kemalangan jalanraya dan jatuh, sekitar separuh (50%) kematian dapat dielakkan jika penyaksi datang membantu, berbanding 39% dalam kajian sebelumnya. Beliau juga menulis dalam 93% panggilan kecemasan 999; hanya sekitar separuh penyaksi di tempat kejadian bertindak memberi pertolongan cemas sementara menunggu pasukan kecemasan tiba.

Pemberi pertolongan cemas perlu memberi bantuan yang serta-merta dan sementara kepada orang yang tiba-tiba cedera atau sakit. Penolong itulah satu-satunya ‘doktor’ yang ada di tempat kerja dan siri tindakan yang pertama yang dimulakan olehnya menentukan hidup/sihat mangsa sementara menunggu ketibaan kakitangan hospital. Kejayaan natijah ini bergantung kepada siri tindakan awal yang diambil oleh penolong, terutamanya dalam kes sakit jantung/jantung terhenti dan ini dinamai rantai kemandirian iaitu tindakan yang diambil dengan segera dan tepat dapat meningkatkan kemandirian mangsa.

 

Di tempat kerja, memberi bantuan kepada mangsa yang cedera sangat penting, tetapi, penolong hendaklah waspada dengan bahaya yang ada di tempat kerja. Penolong hanya boleh menolong jika dia ada di posisi selamat dan tidak berlagak ‘hero’ dan membahayakan diri sendiri. Maka, keutamaan berikut hendaklah sentiasa diingati oleh penolong ketika kecemasan. Sila perhati:

  • Menilai situasi dengan cepat dan tenang
  • Lindungi diri dan mangsa daripada bahaya
  • Menilai keadaan semua mangsa
  • Menenangkan dan mendamaikan mangsa
  • Berurusan dengan keadaan yang mengancam nyawa
  • Dapatkan bantuan ubat jika perlu. Panggil ambulans jika anda syak kecederaan atau penyakit serius.
  • Berdamping dengan mangsa sehingga bantuan lain sampai
  • Melapor pemerhatian anda kepada pihak yang mengambil alih dan bantu jika perlu
  • Menghindar jangkitan-rentas antara anda dan mangsa sejauh-jauhnya

 

Kita tidak perlu kepada undang-undang semata-mata untuk bertindak dengan betul apabila terjadi kemalangan. Ia merupakan sumbangan moral, ekonomi dan hak kita kepada rakan pekerja dan senegara. Kemahiran pertolongan cemas ialah salah satu kemahiran hidup terpenting yang kita pelajari bukan sahaja untuk tempat kerja, malah di rumah dan dalam masyarakat. Ayuh kita sama-sama pelajarinya dan menyumbang kepada masyarakat. Jangan jadi saksi terpaku! Pertolongan cemas menyelamatkan nyawa.

Dr Lim Jac Fang seorang pakar kesihatan pekerjaan di Sabah dan salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team. Artikel ini diterjemahkan daripada artikel asal https://www.mmgazette.com/what-is-the-bystander-effect-dr-lim-jac-fang/ oleh Azizul Ismie Mohd. Puad.

Rujukan

  • First Aid Manual of the British Red Cross, St John Ambulance & St Andrew’s Ambulance Association
  • Health & Safety At Work of IIRSM
  • Factories Machineries Act 1967

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box