Program Imunisasi Kebangsaan telah diperkenalkan sejak tahun 1956 lagi. Sejak itu, program ini berjaya menurunkan kadar kejadian penyakit cegahan vaksin seperti difteria, batuk kering, polio dan batuk kokol.
Keberkesanan program imunisasi ini telah menyebabkan aktiviti pemberian vaksinasi cacar air dapat diberhentikan pada tahun 1980 berikutan pembasmian sedunia penyakit ini. Pada 29 Oktober 2000 pula, Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada penyakit Poliomyelitis.
Namun begitu, kes penolakan vaksin masih berlaku dan semakin bertambah dari tahun ke tahun. Penolakan vaksin ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan anak tersebut, malah akan menyebabkan imuniti berkelompok sesuatu komuniti itu akan terganggu.
Ada banyak andaian yang kurang tepat yang berlegar-legar dalam masyarakat tentang program imunisasi atau vaksinasi ini. Antara salah tanggapan ibu bapa terhadap program vaksinasi ini ialah:
- Anak mereka boleh mendapat autism jika divaksin
- Pemberian pelbagai vaksin boleh menyebabkan kecelaruan sistem imun dalam tubuh.
- Vaksin tidak diperlukan pada masakini kerana penyakit cegahan vaksin sudah tidak kedengaran dan dapat dibasmi.
- Status kehalalan vaksin
- Kekhuatiran terhadap kesan sampingan vaksin
- Amalan perubatan tradisional dan/atau homeopati sudah mencukupi untuk menghidari penyakit cegahan vaksin
Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan kemunculan penyakit berjangkit seperti difteria yang sudah lama tidak didengari di kalangan kanak-kanak, dan telah mengakibatkan kematian. Ini menimbulkan kegusaran ibu bapa terhadap anak-anak kecil mereka. Perlindungan imunisasi merupakan langkah terbaik untuk mencegah penyakit-penyakit ini. Di samping itu, adalah menjadi tanggungjawab sosial hidup bermasyarakat untuk kita melindungi golongan yang tidak sesuai untuk menerima vaksinasi seperti kanak-kanak yang menjalani rawatan kemoterapi.
Sekiranya anak anda keciciran imunisasi, segeralah ke klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan imunisasi semula. Para doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang terlatih sedia membantu anda agar anak mendapatkan imunisasi yang lengkap.
Siapakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak cicir imunisasi?
Mana-mana kanak-kanak yang tidak pernah menerima sebarang imunisasi atau yang menerima imunisasi primer yang tidak lengkap seperti yang ditetapkan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan adalah dikategorikan sebagai kanak-kanak cicir imunisasi.
Apa yang perlu saya jangkakan untuk Program Imunisasi Semula?
Ibu bapa perlu membawa sebarang dokumentasi rekod kesihatan anak ke klinik kesihatan. Seterusnya, jururawat akan melakukan semakan rekod kesihatan anak anda. Sekiranya terdapat imunisasi cicir, mereka akan menyemak jenis imunisasi cicir berdasarkan umur anak anda. Ini adalah kerana setiap vaksin hanya boleh diberikan pada umur tertentu untuk memastikan perlindungan optimum dicapai.
Seterusnya, selepas jenis imunisasi telah dipastikan berdasarkan umur anak, penerangan tentang jadual imunisasi semula akan diberikan. Sekiranya anak sudah mencapai 9 bulan, vaksin MMR untuk cegahan penyakit campak, beguk dan rubella akan diutamakan terlebih dahulu diikuti vaksin 5 serangkai; difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), Hemophilus influenza B dan polio. Ini adalah kerana penyakit-penyakit ini lebih mudah merebak dan berjangkit. Vaksin-vaksin ini akan diberikan sekaligus pada bahagian anggota badan yang berlainan seperti satu di lengan kanan, satu lengan kiri atau peha kanan dan kiri. Seterusnya, temujanji untuk melengkapkan vaksinasi yang lain akan diberi selang 4 minggu.
Bilangan suntikan vaksinasi samada dua atau lebih adalah selamat diberikan pada masa yang sama. Namun, sekiranya ibu bapa tidak bersetuju anak mereka diberikan beberapa vaksin sekaligus semasa lawatan pertama, penjadualan semula atau alternatif boleh dirancang.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah dengan imunisasi terdahulu atau mempunyai kontraindikasi sementara seperti memakan ubat steroid untuk penyakit sindrom nefrotik (penyakit buah pinggang yang sering berlaku pada kanak-kanak), mempunyai masalah kekurangan zat makanan yang teruk dan menerima rawatan immunoglobulin, ibu bapa akan diminta untuk berbincang dengan Pakar Perubatan Keluarga bagi penjadualan semula vaksin. Kanak-kanak yang mempunyai sejarah alahan yang teruk digalakkan berbincang dengan doktor atau jururawat bagi memastikan kesesuaian vaksin yang diberi.
Sekiranya anak saya mengalami kesan sampingan akibat imunisasi (AEFI) apa yang perlu di lakukan?
Harus diingatkan bahawa kesan samping vaksin yang mungkin berlaku, seperti demam, kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan bersifat ringan dan sementara. Kesan sampingan yang lebih serius amat jarang sekali berlaku.
Sebelum memberi vaksin, para petugas kesihatan akan memaklumkan ibu bapa tentang kesan-kesan samping yang mungkin berlaku. Sekiranya anda mengesyaki bahawa anak anda mengalami kesan sampingan akibat imunisasi (AEFI), anda perlu membawa semula anak anda untuk diperiksa oleh doktor.
Doktor akan mengesahkan sama ada ia adalah kesan sampingan dan melaporkan kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan (NPRA) untuk kajian dan penilaian ‘causality’ (penentuan sama ada benar kesan samping adalah akibat vaksin). Pelaporan ini boleh dilakukan oleh doktor kerajaan mahupun swasta.
Maklumat ini seterusnya akan dimasukkan ke dalam pangkalan data Malaysia untuk pengindeksan dan pengekstrakan data oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Kesan Advers Ubat Kebangsaan (MADRAC). Maklumat ini juga akan dikongsi bersama dengan pangkalan data antarabangsa, WHO dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).Tindakan dan pelaksanaan polisi boleh dijalankan sekiranya dirasakan perlu.
Kini, orang awam juga berpeluang untuk melaporkan AEFI dengan melawat sesawang NPRA diwww.npra.gov.my. Mereka juga boleh memilih untuk memuat-turun borang di laman sesawang tersebut dan menghantarnya melalui faks atau mel biasa ke alamat dan nombor faks yang tertera di laman sesawang.
Kesimpulannya, penyakit cegahan vaksin boleh membawa maut kepada bayi serta kanak-kanak dan vaksin merupakan pencegahan yang berkesan. AEFI yang berlaku akibat vaksin selalunya adalah ringan dan akan sentiasa dipantau. Oleh itu, adalah disarankan agar ibu bapa melindungi anak mereka dengan pemberian vaksin mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan.
Oleh:
Dr Nurjasmine Aida Jamani
Pakar Perubatan Keluarga /Perunding Laktasi/Pensyarah Perubatan IIUM
Dr Izwan Effendy Ismail
Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong
Rujukan:
- Boom AJ. Healy CM. Standard childhood vaccines: Parental Hesitancy and Refusal. Available from https://www.uptodate.com/contents/standard-childhood-vaccines-parental-hesitancy-or-refusal. (Accessed on 26 February 2018)
- Garis Panduan Imunisasi Bagi Kanak-kanak Tercicir Imunisasi (Missed immunisation). Kementerian Kesihatan Malaysia.
- Panduan Program Imunisasi Kebangsaan Bayi dan Kanak-kanak. Kementerian Kesihatan Malaysia 2016.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]