Adakah anda berasa selamat ketika bersama dengan pesakit psikiatri? Adakah pesakit psikiatri sentiasa menakutkan anda? Bayangkan, anda di hospital dan ketika anda menunggu hendak membuat pendaftaran anda disapa oleh seorang lelaki. Anda terlihat beliau sedang memegang buku temujanji tertulis di atasnya “Klinik Psikiatri”. Secara jujurnya, apakah reaksi anda? Melalui pembacaan dan pengalaman anda, siapakah lebih cenderung untuk bersifat ganas, pesakit psikiatri atau pesakit lain, contohnya pesakit migrain atau pesakit gastrik? Artikel kecil ini cuba membahaskan isu keganasan yang sering dikaitkan dengan penyakit psikiatri berdasarkan kajian-kajian sosial dan sains.
Kejadian pembunuhan-pembunuhan yang pelik seperti yang melibatkan keluarga rapat dan kanak-kanak adalah sememangnya suatu tragedi dalam komuniti kita. Kita bingung memikirkan bagaimanakah perkara ini boleh terjadi. Kita membayangkan orang-orang terdekat kita yang mungkin boleh menjadi mangsa atau pelaku itu sendiri. Jalinan fikiran ini akan membuahkan hasil yang begitu beremosi dan pastinya naluri manusia kita cuba memberi penjelasan yang mudah difahami dan mudah ditangani. Sesetengah dari kita cuba mencari individu atau pihak yang boleh dipertanggungjawabkan. Tidak keterlaluan jika dikatakan, kita lebih mudah menerima kejadian seseorang ditikam hingga mati dalam rompakan berbanding ditikam oleh seorang pesakit psikiatri (“gila”). Maka manusia membuat kesimpulan bahawa penyakit psikiatri disamakan dengan tindakan ganas. Kesimpulan kasar yang diambil; “Pesakit psikiatri sudah tentu merbahaya”.
Media secara tidak langsung membantu memperkukuhkan pandangan ini. Berita tentang keganasan yang melibatkan pesakit psikiatri (sebagai pelakunya) sering diberi sensasi yang berlebihan tanpa mengambil kira fakta dan konteks sebenar. Media hiburan dan program fiksyen juga memberi pengaruh yang sama. Plot cerita yang mana lebih menarik untuk dijadikan intipati filem; perompak bersiri yang kejam dan kerap membunuh ketika merompak, atau pembunuh bersiri yang pernah dirawat di hospital sakit jiwa? Budaya dan persekitaran sudah tentu membentuk persepsi kita. Pemahaman anak-anak kecil dipengaruhi oleh ibu-bapa dan sesiapa jua individu yang berdekatan dengan mereka. Jika pandangan kita terhadap pesakit psikiatri cenderung kepada “takut-elak” berbanding dengan “kasihan-bantu”, anak-anak kita juga lambat-laun memiliki perspektif yang sama.
Kajian tentang “violence”, atau perilaku ganas dan agresif bukan suatu perkara mudah untuk dilakukan. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah memberi definisi yang tepat tentang apa itu keganasan. “The MacArthur Study of Mental Disorder and Violence” memberi definisi keganasan adalah apabila seorang individu meletakkan individu yang lain dalam keadaan bahaya atau seorang individu memutuskan untuk bertindak secara fizikal ke atas individu yang lain (Monahan 2001). Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan oleh penyakit psikiatri. Di dalam bidang psikiatri, diagnosis penyakit psikiatri terlalu banyak. Di dalam artikel ini, penyakit psikiatri merujuk kepada schizofrenia (schizophrenia), penyakit bipolar (bipolar mood disorder) dan kemurungan major (major depressive disorder) – penyakit-penyakit psikiatri serius yang paling lazim.
Benarkah kemajuan teknologi moden membolehkan kita menjangka risiko keganasan oleh pesakit-pesakit psikiatri? Doktor-doktor bidang psikiatri dan juga pakar-pakar psikologi klinikal saban hari dibebani dengan permasalahan ini. Banyak kajian yang dilakukan cuba memberi satu mekanisma yang jitu untuk pakar-pakar psikiatri memberi ramalan yang tepat siapakah pesakit yang akan bertindak ganas di masa depan. Di sini dikongsikan beberapa maklumat penting dari kajian-kajian tersebut yang kebanyakan masyarakat masih tidak sedar dan tidak tahu.
Apabila pesakit-pesakit psikiatri dibandingkan dengan penduduk lain (yang tiada penyakit psikiatri) di dalam satu komuniti yang sama, kadar kelakuan jenayah keganasan tidak banyak beza di antara dua kumpulan ini. Setelah dilihat dengan lebih mendalam di kalangan individu yang bertindak ganas, penyalahgunaan alkohol dan dadah-dadah adalah faktor utama yang dikaitkan; tidak kira samada mereka menghidap penyakit mental atau tidak (Swanson 1998). Faktor alkohol dan penyalahgunaan dadah seperti amphetamine, kokain dan ganja seringkali timbul di dalam kajian-kajian lain tentang risiko keganasan di kalangan pesakit mental. (Swanson 2002, Fazel 2009, Elbogen 2009). Kajian oleh Swanson et al mendapati sejarah silam sebagai pelaku ganas juga menjadi faktor kuat sebagai potensi untuk menjadi pelaku ganas semula (Swanson 2002). Oleh itu, menjadi pesakit psikiatri sendiri tidak bermakna mereka cenderung untuk bersikap ganas tetapi lebih utama dan perlu ditekankan bahawa penyalahgunaan dadah dan alkohol serta sejarah pernah bertindak ganas adalah antara faktor utama mereka cenderung bersikap agresif. Perlu diingatkan, provokasi yang dikaitkan dengan tindakan ganas tidak kurang bezanya dengan individu-individu yang tiada penyakit psikiatri. Selain daripada alkohol dan penyalahgunaan dadah, faktor persekitaran lain seperti hubungan sosial dan masalah ekonomi boleh menjadi pencetus untuk sesiapa sahaja. Faktor-faktor ini sebenarnya menyumbang kepada tindakan ganas di kalangan individu yang tidak berpenyakit psikiatrijuga. Dalam ertikata lain, jikalau saya dan anda atau sesiapa sahaja sering menggunakan dadah terlarang atau pernah bertindak ganas di samping hidup dalam keadaan terdesak, kita juga akan cenderung untuk bertindak agresif di masa akan datang.
Selain daripada itu, pesakit-pesakit psikiatri juga berisiko tinggi untuk bertindak agresif jikalau mereka tidak menurut kehendak rawatan dan temujanji bersama doktor; “non-compliant to treatment” (Elbogen 2009, Swanson 2002). Tidak dinafikan penyakit psikiatri itu sendiri berpotensi memacu individu untuk bertindak luar jangkaan dan agresif. Gejala psikosis dan delusi berpotensi mendorong penghidap bertindak di luar jangkaan. Walaubagaimanapun, secara statistik, keganasan dan jenayah merbahaya yang benar-benar disebabkan oleh simtom psikosis adalah sangat kecil (tanpa melibatkan penyalahgunaan dadah dan alkohol). Situasi ini berlaku jika mereka tidak menerima rawatan yang sempurna atau mereka tidak meneruskan rawatan sebagaimana yang dinasihatkan oleh doktor dan pakar psikologi. Penyakit-penyakit psikiatri adalah penyakit kronik. Sepertimana penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, mereka memerlukan rawatan berterusan. Apabila mereka berhenti mendapatkan rawatan tanpa diketahui oleh doktor atau pakar terapi, “relapse” berlaku; atau sakit itu kembali. Gejala-gejala psikosis atau murung yang mereka alami sebelum ini datang menyerang semula. Ketika inilah, kemungkinan untuk bertindak agresif itu lebih tinggi.
Sebagaimana yang disebut tadi, faktor sosial dan ekonomi juga penting. Kebanyakan pesakit-pesakit psikiatri hidup di dalam situasi yang dhaif dan tidak kurang juga yang tinggal di dalam kejiranan yang bahaya dan dirudum kemiskinan. Sistem sokongan sosial (social support system) mereka sangat rapuh. Lebih menyedihkan lagi, pada hakikatnya mereka adalah golongan paling tinggi risiko menjadi mangsa keganasan dalam masyarakat (Stuart 2003). Fakta ini sangat penting apabila kita mengambil kira satu penemuan daripada kajian sains yang mendedahkan pesakit psikiatri yang berisiko untuk bertindak ganas adalah mereka yang pernah menjadi mangsa keganasan (Swanson 2002). Pengalaman pahit mereka pernah dikasari dan dibuli menyebabkan mereka mudah bertindak agresif walaupun dengan provokasi yang kecil. Bagaimanakah ahli-ahli keluarga berkomunikasi dengan pesakit? Bersikap terlalu kritikal atau kerap memberi sindiran adalah contoh provokasi yang boleh dielakkan. Kelakuan ganas terhadap ahli keluarga oleh pesakit psikiatri terutamanya skizofrenia berlaku sekiranya hubungan pesakit dan keluarga dibelenggu sifat permusuhan, saling ancam-mengancam dan keadaan ekonomi yang tidak stabil (Estroff 1998).
Isu stigma adalah satu perkara berat yang menyumbang ke arah keganasan di kalangan pesakit-pesakit mental. Pemikiran kita telah dibentuk oleh sejarah lampau di mana perkataan ‘gila’ dikait rapatkan dengan sesuatu yang ganas dan tidak dijangka. Perkara ini terus ditanam dan diteguhkan di dalam pemahaman kita oleh persekitaran kita dan media sejak zaman-berzaman. Boleh dikatakan mitos “setiap pesakit mental adalah bahaya” adalah satu sikap stigma (stigmatizing attitude) yang paling keras dan merosakkan (Corrigan 2002). Mitos ini menyebabkan masyarakat secara umum takut dengan individu berpenyakit mental. Ketakutan ini melahirkan sikap-sikap lain seperti menjauhkan diri daripada mereka, mengelak daripada menjalinkan hubungan sosial dengan mereka, menafikan hak-hak mereka untuk hidup seperti manusia biasa dan kecenderungan untuk berlaku kasar terhadap mereka. Interaksi sebegini memberi natijah yang lebih buruk. Pesakit-pesakit psikiatri mengalami rasa kehormatan diri yang rendah. Mereka keberatan untuk meneruskan rawatan kerana pandangan serong masyarakat. Mereka yang mengalami tanda-tanda awal penyakit psikiatri (tidak pernah didiagnos) seperti kemurungan, gejala psikotik dan sebagainya tidak mahu ke klinik psikiatri untuk mendapatkan penilaian segera dan rawatan awal. Mereka malu dan lebih parah mereka dalam penafian mengalami simtom-simtom tersebut. Ini akan mewujudkan satu lingkaran atau putaran ganas (vicious cycle). Pesakit-pesakit akan terus merana dan semakin teruk. Akhirnya ada yang bertindak ganas dan orang-orang tidak berdosa menjadi mangsa. Lingkaran ganas ini merugikan semua pihak. Kerap kali kita mendengar berita di mana individu bertindak ganas tetapi tidak pernah menerima rawatan atau didiagnos penyakit psikiatri. Mungkinkah kejadian sebegini boleh dielakkan jika kita sebagai ahli masyarakat lebih peka dan menggalakkan individu tersebut mendapat rawatan lebih awal? Mungkinkah mereka sendiri secara sukarela pergi mendapatkan rawatan segera jika komuniti tidak memandang serong terhadap penyakit psikiatri?
Tanggungjawab kita sebagai ahli komuniti untuk bersama-sama menghapuskan stigma terhadap mereka dan tidak membeza-bezakan atau mendiskriminasi mereka yang mendapatkan rawatan psikiatri. Tanggungjawab kita juga untuk memastikan faktor-faktor lain seperti kawalan penyalahgunaan dadah dan alkohol, persekitaran sosial yang murni dan pembentukan sistem sokongan sosial yang teguh. Jikalau ada kenalan yang berkelakuan ganas atau dijangka akan bertindak agresif (impending violence), pihak berkuasa tempatan perlu dilapor. Pihak berkuasa akan terus membawa ke hospital untuk penilaian dan rawatan jikalau tiada dakwaan jenayah. Di dalam situasi tertentu, ahli-ahli keluarga lain boleh dipanggil untuk memberi bantuan untuk memindahkan individu yang disyaki berpenyakit psikiatri ke hospital. Apabila keganasan sudah sampai ke tahap dakwaan jenayah, pihak perundangan dan mahkamah di bawah akta-akta tertentu akan mengarahkan pesalah untuk dinilai (dan dirawat) di institusi psikiatri.
Penyakit psikiatri tidak wajar diambil sebagai satu-satunya penjelasan atau penyebab individu yang menghidapnya bertindak ganas. Penyalahgunaan dadah dan alkohol, sejarah pernah bertindak ganas dan tidak menurut arahan rawatan adalah faktor-faktor utama insan yang tidak bernasib baik ini berpotensi menjadi ganas. Ditambahkan pula dengan stigma dan kekurangan sokongan sosial, ia yang menjadi suatu lingkaran ganas di dalam kehidupan pesakit psikiatri.
Dr. Zul Azlin adalah seorang pakar psikiatri dan pensyarah di Universiti Sains Islam Malysia.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan:
- Corrigan PW, Rowan D, et al. Challenging two mental illness stigma: Personal responsibility and dangerousness. Schizophrenia Bulletin 2002; 28(2): 293-309.
- Elbogen EB, Johnson SC. The intricate link between violence and mental disorder. Arch Gen Psychiatry 2009; 66(2): 152-161.
- Estroff SE, Swanson JW, Lachicotte WS, et al. Risk considered: Targets of violence in the social networks of people with serious psychiatric disorders. Soc Psychiatry Epidemiol 1998; 33: S95-S101.
- Fazel S, Gulati G, Linsell L, Geddes JR, Grann M. Schizophrenia and violence: Systematic review and meta-analysis. PLoS Med. 2009; 6(8): e1000120.
- Monahan J, Steadman HJ, Silver E, et al: Rethinking Risk Assessment: The MacArthur Study of Mental Disorder and Violence. New York, Oxford University Press, 2001.
- Stuart H. Violence and mental illness: An overview. Mental health policy paper 2003.
- Steadman HJ, Mulvey EP, Monahan J, et al. Violence by people discharged from acute psychiatric inpatient facilities and by others in the same neighborhoods. Arch Gen Psychiatry 1998; 55: 393-401.
- Swanson HJ, Mulvey EP, Monahan J, et al. Violence by people discharged from acute psychiatric inpatient facilities and by others in the same neighbourhoods. Arch Gen Psychiatry 1998; 55: 393-401.
- Swanson JW, Swartz MS, Essock SM, et al. The social-environmental context of violent behavior in persons treated for severe mental illness. Am J Public Health 2002; 92: 1523-1531.
salam Dr,
Saya ada beberapa perkara nak tanya berkenaan dengan gejala psikiatrik.Macam mana nak tahu gejala awal psikiatrik?
Adakah ubat-ubatan seperti ubat darah dan ubat diabetes boleh menyumbang kepada masalah kemurungan?