Keganasan Rumah Tangga: Sudut Pandang Psikologi Mengapa Ia Kurang Dilaporkan – Dr Ahmad Rostam Bin Md Zin

Domestic violenceBaru- baru ini dikongsi di media berkenaan insidens keganasan rumah tangga yang dilaporkan di seluruh Malaysia sehingga Oktober 2016. Jumlahnya kelihatan seperti kecil (4000 kes) namun ia sebenarnya tidaklah menggambarkan situasi sebenar kejadian ini. Bahkan ianya hanyalah 1/10 dari 40% keseluruhan kes yang diberitahu kepada orang di luar dari lingkungan keganasan tersebut. Jika dilihat laporan yang disediakan oleh PBB, majoriti keganasan terhadap wanita tidak dilaporkan bahkan didiamkan begitu sahaja. 

Jika statistik keganasan terhadap wanita pada tahun ini diunjurkan sebagai hanya keganasan rumah tangga, jumlah sebenar wanita Malaysia di luar sana yang pernah mengalami situasi tersebut atau sedang mengalaminya ialah menjangkau 100 ribu orang dan ianya bukanlah satu jumlah yang kecil. Harus diingat bahawa definisi keganasan rumah tangga adalah besar. Ia meliputi keganasan fizikal, seksual dan psikologikal (termasuk memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat atau menghina) dan kebanyakkan masanya, hanya yang benar-benar serius sahaja yang sampai ke pengetahuan umum. Selebihnya didiamkan kerana ianya dianggap sebagai masalah peribadi, krisis sementara, perkara biasa dalam rumahtangga, takut dan pelbagai lagi alasan lain yang sering digunakan.

Mengapa kurang dilaporkan?

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Australia mereka mendapati bahawa 14% dari mangsa takut pemangsa akan membalas dendam atau akan terus mendera mereka. 24% lagi berasa malu dengan apa yang berlaku dan merasakan apa yang berlaku hanyalah perkara kecil sahaja. 1 dari 10 dari mangsa mendakwa bahawa polis tidak membantu melindungi mereka apabila laporan dibuat manakala 8% lagi berfikir bahawa pihak berkuasa tidak akan berbuat apa-apa.

Bagi yang tidak melaporkan, mereka merasakan bahawa ini adalah tindakan yang paling selamat dan merasakan bahawa mereka boleh menyelesaikannya sendiri serta merasakan bahawa proses yang perlu lalui selepas membuat laporan adalah terlalu renyah dan menyusahkan.

Sudut pandang psikologi

Jika kes keganasan rumah tangga ini dibincangkan oleh umum, ramai yang menganggap bahawa wanita yang mengalaminya kurang bijak kerana sanggup didera secara fizikal, emosi dan mental tanpa melakukan apa-apa. Banyak kes yang tersiar di media, mangsa mendapat kecaman kerana lewat melakukan sesuatu dan pelbagai lagi cacian dan stigma terhadap mereka yang sebenarnya tidak wajar. Secara umumnya semua merasakan bahawa sebagai seorang yang waras, wanita-wanita ini tidak wajar mendiamkan diri sehinggakan ada yang merasakan bahawa mangsa memang wajar menjadi mangsa kerana tidak pandai mempertahankan diri.

Apakah kemungkinan yang berlaku terhadap mereka yang didera bertahun-tahun namun masih berdiam diri sehingga mereka menjadi terlalu naif sebegini?

Battered Wife Syndrome

Ini adalah masalah kesihatan mental yang serius yang terhasil dari penderaan pasangan yang kronik dan berterusan. Ia terbahagi kepada 3 peringkat. Pertama, pendera melakukan sesuatu yang mewujudkan keadaan tegang dalam perhubungan seperti sengaja mencari isu atas perkara kecil. Peringkat kedua, ketegangan bertukar menjadi penderaan dari segi fizikal, seksual, psikologi mahupun emosi. Peringkat ketiga, pendera cuba untuk membaiki keadaan, memohon maaf, mereka akhirnya dimaafkan dan kitaran tadi bermula semula berkali-kali.

Kitaran yang berterusan ini mengakibatkan mangsa berfikir bahawa semuanya salah mereka sendiri dan ‘redha’ dengan perlakuan dera yang dilakukan ke atasnya.

Wanita yang mengalami masalah ini amat mudah dikenalpasti berdasarkan 6 kriteria yang mungkin ada

  1. Mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan sukar untuk menyalahkan pendera
  2. Mereka risaukan keselamatan diri mereka
  3. Mereka merasakan pendera terlalu berkuasa dan mengapa-apakan mereka jika laporan dibuat
  4. Sering murung
  5. Tidak mampu berseronok dengan aktiviti yang biasa dilakukan
  6. Mungkin menyalahgunakan dadah atau alkohol

Learned Helplessness

Juga dipanggil sebagai kelumpuhan psikologi. Berlaku apabila mangsa menjadi terlalu murung, tewas dan pasif sehinggakan mereka percaya bahawa mereka tidak akan mampu keluar dari situasi penderaan tersebut. Ketakutan ini terlalu kuat sehingga melumpuhkan mereka untuk berfikir untuk keluar. Kadang-kadang mereka masih mengharap bahawa pendera akan berubah dan menjadi bergantung kepada pendera walaupun mereka terus didera.

Stockholm’s Syndrome

Ialah satu fenomena psikologi di mana wujudnya perasaan simpati dan ingin memahami dalam diri mangsa terhadap pendera. Mereka mula melahirkan perasaan-perasaan positif terhadap pemangsa sehinggakan sampai tahap sanggup untuk mempertahankan pemangsa jika merasakan pemangsa dalam bahaya. Walaupun kelihatannya tidak rasional untuk seseorang mangsa dera mengalami perasaan ini, namun itulah yang berlaku kepada mereka secara luar sedar. Sehinggakan mereka merasakan bahawa hari-hari yang mereka tidak didera sebagai perbuatan baik dan ihsan oleh pendera.

Ia adalah satu bentuk keterhubungan traumatik yang terbentuk akibat situasi penderaan. Ia adalah satu bentuk pertahanan psikologi luar sedar oleh mangsa untuk mengurangkan penderitaan yang mereka alami

Undang-undang Malaysia

Enakmen Akta Keganasan Domestik 1996 adalah salah satu akta yang terkait secara langsung dengan permasalahan ini. Segala kesalahan yang merangkumi mendatangkan kecederaan fizikal atau meletakkan perasaan ketakutan bahawa mangsa akan dicederakan, memaksa mangsa secara fizikal atau ugutan untuk melakukan sesuatu, kemusnahan harta benda serta menahan mangsa bertentangan dengan kehendaknya boleh didakwa di mahkamah.

Apa yang perlu dilakukan?

Lakukan laporan polis. Tanpa laporan, bagaimana tindakan mahu dilakukan

  1. Jika risaukan keselamatan diri atau ahli keluarga yang lain, maklumkan kepada pihak polis yang anda ingin memohon Arahan Perlindungan Sementara (Interim Protection Order) yang membolehkan anda dilindungi dari didekati pemangsa. Pihak polis boleh membantu anda untuk menguatkuasakan perkara ini dan prosedur yang terlibat
  2. Dapatkan rawatan/pemeriksaan di semua hospital besar kerajaan di bawah OSCC (One Stop Crisis Centre)
  3. Mohon perlindungan di rumah/tempat perlindungan lain
  4. Cari jalan keluar jika perlu
  5. Dapatkan bantuan dari NGO wanita yang berdekatan anda

Kesimpulan

Isu ini besar namun jarang mendapat perhatian kerana banyak faktor. Namun begitu kerajaan dan badan bukan kerajaan ada menyediakan anda alternatif untuk perkara sebegini dari terus berlaku. 

Dr. Ahmad Rostam adalah seorang pakar psikiatri yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan presiden Early Career Psychiatrist Chapter.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box