Kehamilan kembar atau multiple pregnancy adalah istilah yang digunakan bila seseorang wanita hamil itu menunggu kelahiran 2 atau lebih bayi pada masa yang sama. Ianya berlaku 1 dalam 80 kelahiran. Rawatan fertiliti meningkatkan peluang untuk mendapat kehamilan kembar.
Jenis-jenis kehamilan kembar
Pada pemeriksaan awal ultrasound akan memastikan sama ada ibu itu mengandung kembar 2 atau 3. Yang paling penting adalah untuk memastikan jenis kehamilan kembar itu – chorionicity, kerana penting untuk tahu sama ada bayi itu berkongsi satu uri atau tidak, kerana bayi yang berkongi satu uri ini mempunyai risiko mendapat komplikasi lebih tinggi.
Dichorionic diamniotic (DCDA) – jika 2 telur wanita disenyawakan atau satu telur yang telah disenyawakan membahagi kepada 2, setiap bayi mempunyai uri nya tersendiri dengan selaput luar membrane dipanggil ‘chorion’ dan kantung dipanggil amniotic sac
Monochorionic Diamniotic (MCDA) – jika telur yang disenyawakan membahagi sedikit lambat, bayi berkongsi uri dan chorion, tapi mereka mempunyai kantung sendiri. Bayi-bayi untuk jenis kembar ini adalah kembar seiras.
Monochorionic Monoamniotic (MCMA) – ada beberapa kes, tapi selalunya jarang ditemui, telur yang telah disenyawakan membahagi sedikit lambat, bayi berkongsi uri dan chorion dan berada pada kantung yang sama. Bayi-bayi untuk jenis kembar ini adalah seiras, dan jenis kehamilan ini berisiko.
Sama juga, jika kehamilan kembar 3 boleh jadi Trichorionic (setiap bayi ada uri dan kantung nya sendiri) , dichorionic (2 daripada 3 bayi berkongsi uri dan chorion yang sama, bayi ke 3 terasing) ataupun monochorionic (ketiga-tiga bayi berkongsi uri dan chorion yang sama).
Jika bayi berkongsi uri, mereka adalah seiras (monozygotic), manakala bayi yang tidak berkongsi uri adalah kembar tidak seiras (dizygotic). Walau bagaimanapun, boleh sahaja bayi yang tidak berkongsi uri menjadi kembar seiras. Ini disebabkan hampir 1/3 monozygotic atau kembar seiras mempunyai uri tersendiri, maka mereka mempunyai ciri-ciri yang sama pada pemeriksaan ultrasound scan seperti kembar DCDA (kembar tak seiras).
Risiko-Risiko berkaitan dengan kandungan kembar
- Masalah-masalah ringan yang berkaitan dengan awal mengandung seperti morning sickness, pedih ulu hati, kaki bengkak, urat timbul, sakit belakang – menjadi lebih biasa pada kehamilan kembar. Gejala-gejala ini akan berkurangan secara natural selepas bayi dilahirkan.
- Anemia (kekurangan sel darah merah) – disebabkan oleh kekurangan zat besi disebabkan tumbesaran bayi-bayi kembar menggunakan banyak zat besi
- Pre-eclampsia – keadaan tekanan darah ibu meningkat dan terdapat protein dalam air kencing
- Peluang tinggi untuk berdarah lebih dari biasa (tumpah darah) lepas bersalin akibat rahim tidak mengecut
- Kemungkinan besar kelahiran adalah secara caesarean atau kelahiran dibantu (forceps atau vacuum) untuk melahirkan bayi-bayi
- Kelahiran mungkin adalah pramatang – 60 dalam 100 kehamilan kembar 2 lahir sebelum 37 minggu. 75 dalam 100 kembar 3 lahir sebelum 35 minggu. Dalam perbandingan dengan wanita yang hanya ada 1 bayi , 10 dalam 100 yang lahir pramatang sebelum 37 minggu.
Bayi yang lahir pramatang ini, mempunyai risiko berkaitan dengan masalah pernafasan, permakanan dan jangkitan kuman. Lagi awal bayi dilahirkan, lagi kerap masalah ini berlaku. Bayi mungkin kena dimasukkan dalam wad ICU bayi, ibu digalakkan untuk menyusu badan walaupun bayi berada di wad ICU.
- Kehamilan kembar mempunyai risiko uri tidak berfungsi dengan bagus dan memberikan kesan kepada tumbesaran bayi
Twin-to-twin Transfusion syndrome ( TTTS)
Kembar yang berkongsi uri (monochorionic pregnancies) turut berkongsi peredaran darah yang sama. 15 dalam 100 kembar yang berkongsi uri ini, peredaran darahnya mungkin menjadi tidak seimbang, keadaan ini dinamakan twin-to-twin transfusion syndrome (TTTS), salah satu bayi menjadi ‘penderma’ – menerima bekalan darah yang terlalu sikit, dan mempunyai tekanan darah yang rendah, manakala bayi yang satu lagi menjadi ‘penerima’ yang menerima banyak darah, dan mempunyai tekanan darah yang tinggi. Ibu yang mempunyai kehamilan kembar seperti ini akan dipantau dengan teliti dengan pemeriksaan scan yang kerap untuk mengenalpasti tanda-tanda TTTS ini. Kadangkala TTTS ini adalah jenis ringan dan tidak memerlukan sebarang rawatan, ataupun ianya menjadi sangat serius, dimana ibu akan dirujuk ke hospital yang mempunyai kepakaran Fetomaternal untuk rawatan selanjutnya.
Apakah langkah-langkah tambahan yang saya perlukan ketika hamil kembar?
Sesungguhnya semua kehamilan kembar adalah high risk dan perlu dipantau oleh Pakar/Pakar Perunding.
Untuk kehamilan kembar yang mana bayi mempunyai uri sendiri dan tidak berkongsi – ultrasound scan perlu setiap 4 minggu.
Jika kehamilan kembar yang berkongsi uri, ultrasound scan perlu setiap 2 minggu apabila kandungan 16 minggu dan ke atas.
Anda dinasihatkan untuk mengambil pil zat besi dan asid folik sepanjang kehamilan kembar.
Kehamilan kembar dan mempunyai risiko-risiko lain untuk mendapat pre-eclampsia, anda dinasihatkan untuk ambil aspirin dos rendah sejak kehamilan berusia 12 minggu untuk mengurangkan risiko mendapat pre-eclampsia.
Bila sepatutnya bayi-bayi saya dilahirkan ?
Bergantung kepada individu itu sendiri, jika kehamilan kembar tiada masalah, dinasihatkan untuk bersalin
37 minggu – jika kembar DCDA (bayi tidak berkongsi uri)
36 minggu – jika kembar MCDA (Bayi berkongsi uri)
35 minggu – jika kembar 3
Cara kelahiran sama ada secara normal atau pembedahan caesarean, bergantung kepada keadaan anda ketika itu selepas perbincangan dengan pakar obstetrik dan ginekologi – bagaimana bayi itu membesar, jenis uri, ataupun pernah ada pembedahan caesarean sebelum ini
Jika bayi yang paling dekat dengan serviks (presenting twin) adalah kepalanya di bawah, dan anda tidak ada masalah-masalah lain sepanjang kehamilan, maka ibu boleh cuba untuk bersalin biasa. Kedudukan atau posisi bayi ke 2 boleh berubah selepas bayi pertama dilahirkan dan tidak sepatutnya memeningkan kepala anda untuk memilih bagaimana hendak bersalin.
JIka bayi yang paling dekat dengan serviks (presenting twin adalah kepalanya di atas ( breech ) pada penghujung kehamilan – selalunya dinasihatkan untuk bersalin secara caesarean
Kedua-dua cara kelahiran – normal dan caeser mempunyai kelebihan dan kekurangan, paling untuk berbincang dengan doktor anda sebelum membuat keputusan.
Kehamilan kembar lebih dari 2 – selalunya dilahirkan secara pembedahan caesarean melainkan kehamilan sangat pramatang atau ibu melahirkan bayi pertama dengan cepatnya.
Artikel ini ditulis oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Registrar Obstetrik & Ginekologi yang berkhidmat di sebuah hospital di Selangor.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]
Rujukan :
Multiple pregnancy: having more than one baby – Information for you by Royal College of Obstetricians & Gynaecologist United Kingdom. Published in November 2016 ( next review date : 2019 )