Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada keratan akhbar The Star bertarikh 09 Disember 2014 yang melaporkan kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan di kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam Kedah. Laporan tersebut menyatakan kemungkinan kejadian tersebut adalah berkaitan dengan “Rumpai Miang Mexico (Parthenium hysterophorus)”.
Untuk makluman, “Rumpai Miang Mexico” adalah sejenis tumbuhan liar yang berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia, Afrika dan Australia. Rumpai ini dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan yang teruk kepada ekosistem semulajadi, sektor pertanian dan ternakan serta menyebabkan alahan kepada manusia.
Bahan kimia yang terdapat pada rumpai Miang Mexico (debunga, bahagian akar, daun dan batang) iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin dikenalpasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia. Golongan yang berisiko adalah mereka yang terdedah secara langsung dengan “Rumpai Miang Mexico” terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Namun begitu, tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala apabila pendedahan berterusan dan berulang kali. Gejala daripada tindakbalas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, dan allergic rhinitis serta gangguan pada sistem pernafasan seperti selsema dan asma.
Berdasarkan maklumat terkini, didapati tiada peningkatan tren pesakit dengan gejala alahan kulit dan pernafasan seperti asma dilaporkan dari fasiliti kesihatan di negeri-negeri yang terlibat seperti Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
Sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang awam supaya mengelakkan diri daripada terdedah atau tersentuh (contact) dengan “Rumpai Miang Mexico”. Adalah dinasihatkan juga, mereka yang mengalami gejala alahan atau masalah pernafasan akibat terdedah dengan rumpai ini, segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran dan memaklumkan kepada pengamal perubatan yang merawat berkaitan sejarah pendedahan terhadap rumpai tersebut.
KKM akan memantau situasi kejadian yang melibatkan “Rumpai Miang Mexico” ini dan meminta agar Kementerian atau agensi yang berkaitan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengawal atau memusnahkan rumpai atau tumbuhan tersebut yang boleh mengakibatkan kesan kesihatan kepada orang awam.
Sekian dan terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
10 Disember 2014