“Kejap terang kejap kabur”: Masalah sistem akomodasi mata? – Diana Mohamed (Optometris)

Puan Aminah bimbang apabila Sarah seperti tidak berminat untuk membaca buku atau menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan oleh guru. Dia seringkali mengadu matanya kabur. Ujian penglihatan oleh pasukan kesihatan sekolah menunjukkan tahap penglihatan mata Sarah normal sahaja. Namun, Sarah asyik mengadu sakit kepala dan seringkali pulang kepenatan terutamanya pada hari persekolahan. Adakah Sarah hanya mengada-adakan cerita?

 

Sarah mungkin mengalami masalah stress penglihatan untuk memfokus atau lebih tepat masalah akomodasi penglihatan (accommodation dysfunction). Masalah ini berlaku kepada hampir 20 peratus kanak-kanak berusia 8 sehingga 16 tahun (Davis et al, 2016).  Malahan, sekitar 30 peratus kanak-kanak dengan masalah pembelajaran turut mengalami masalah ini (Musliha et al, 2012).

Lazimnya, masalah akomodasi penglihatan tidak dapat dikesan dengan sekadar menjalani ujian tahap penglihatan Carta Snellen. Sebaliknya, pemeriksaan status penglihatan binokular komprehensif perlu dijalani bagi mengenalpasti masalah yang dialami. Pengesanan awal amat penting memandangkan masalah ini boleh memberi kesan terhadap prestasi pembelajaran akademik mahupun prestasi kerja (Sterner et al, 2006).

Gambar 1: Struktur mata yang terlibat dalam proses akomodasi (sumber internet)

APA ITU SISTEM AKOMODASI PENGLIHATAN?

Sistem penglihatan manusia adalah seperti kamera di mana mata mempunyai kanta kristalin yang boleh berubah bentuk dan ketebalan untuk membolehkan cahaya terfokus pada fovea dan menghasilkan imej yang jelas. Kanta kristalin dipegang oleh jalinan ligamen zonular yang berhubung dengan otot siliari.

Apabila seseorang itu melihat pada objek dekat, objek akan kelihatan kabur pada permulaannya. Ini akan mengaktifkan sistem akomodasi di mana otot siliari akan mengecut dan ligamen zonular yang memegang kanta akan kendur. Kanta kristalin yang elastik itu akan menebal dan berbentuk cembung dan cahaya kembali terfokus pada fovea.

Semasa melihat objek jauh pula, otot siliari akan berada dalam keadaan rehat menyebabkan ligamen meregang dan kanta menjadi nipis. Perubahan bentuk kanta ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kuasa kanta kristalin agar cahaya yang masuk terfokus di fovea retina. Cahaya yang terfokus dengan tepat akan membentuk imej objek yang jelas sebelum ditafsirkan di peringkat otak. Proses perubahan kuasa kanta bagi mengubah titik fokus mata inilah yang dipanggil proses akomodasi.

SIMPTOM & TANDA MASALAH SISTEM AKOMODASI

  1. Sukar untuk memfokus pada jarak dekat dalam tempoh yang lama
  2. Pandangan mata kelihatan terang dan kabur berselangseli
  3. Sukar untuk memfokus dari jarak dekat ke jarak jauh
  4. Sakit kepala atau mengalami ketegangan di sekeliling mata
  5. Penglihatan berganda
  6. Mata berasa letih
  7. Mudah mengantuk ketika membaca
  8. Sukar fokus ketika belajar, kerap melakukan kesilapan ketika menyalin
  9. Tidak gemar atau mengelak untuk melakukan kerja dekat seperti membaca

 

JENIS-JENIS MASALAH AKOMODASI PENGLIHATAN

Terdapat 3 jenis masalah akomodasi yang seringkali ditemui iaitu Accommodation insufficiency, Accommodation infacility danAccommodation excess.

Accommodation insufficiency merupakan masalah kurang keupayaan untuk berakomodasi dengan tepat. Ini menyebabkan seseorang itu mudah mengalami keletihan memandangkan terpaksa memberikan tekanan kepada sistem akomodasi untuk mengekalkan penglihatan dekat yang jelas. Sekiranya bekerja pada tempoh yang lama, ia akan menyumbang kepada rasa sakit kepala dan rasa sengal di sekeliling mata. Masalah ini juga boleh berpunca daripada rabun dekat (hyperopia) yang tidak dibetulkan serta penggunaan gajet pada jangka masa yang lama (Hussaindeen,2020)

Accommodation infacility pula berlaku apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menukar jarak fokus dari jauh ke dekat atau sebaliknya. Keluhan pesakit yang sering didengari adalah penglihatan kabur sementara apabila melihat jam dinding apabila selesai membaca buku atau menggunakan komputer. Kajian terkini mendapati penggunaan gajet seperti telefon mobil selama 20 minit mengurangkan kebolehan untuk berakomodasi dan merehatkan akomodasi seseorang (Hussaindeen,2020).

Accommodation excess merupakan kondisi yang berlaku apabila otot siliari yang berfungsi untuk mengawal akomodasi bekerja secara berlebihan. Pada jangka masa lama, accommodation spasm  boleh berlaku akibat kekejangan otot siliari. Kekejangan ini mengakibatkan sistem rehat akomodasi menjadi statik, lalu menyebabkan masalah kekaburan pada jarak jauh dan dekat (pseudomyopia). Masalah ini kerap dialami oleh golongan pelajar pada musim peperiksaan serta mereka yang suka menggunakan gajet dalam tempoh terlalu lama.  Pemakaian cermin mata yang tidak tepat juga boleh mengakibatkan masalah ini berlaku.

Masalah akomodasi juga boleh berlaku akibat:

  1. penyakit mata (Adie’s tonic pupil, anterior uveitis atau kekoyakan iris sphincter)
  2. penyakit sistemik (anemia, mumps, measles)
  3. masalah neurologikal (syphilis, meningitis)
  4. kewujudan lesi yang mengganggu inervasi saraf parasimpatetik pada otot siliari.
  5. pengambilan alkohol
  6. kesan sampingan ubat-ubatan (antihistamine, antipsikotik dan digitalis)

 

KAEDAH MENGATASI MASALAH AKOMODASI PENGLIHATAN

PEMBETULAN RABUN SECARA OPTIKAL

Masalah rabun seperti rabun dekat (hyperopia), rabun jauh (myopia) dan rabun silau (astigmatisma), sekiranya tidak dibetulkan boleh mengganggu sistem akomodasi mata walaupun pada tahap yang rendah. Sebanyak 98% pelajar sekolah hilang gejala masalah akomodasi selepas 3 hingga 6 bulan memakai cermin mata(Abdi et al, 2005). Pemakaian cermin mata jenis bifocal disarankan bagi kes masalah akomodasi akibat masalah sistemik dan neurologikal yang bersifat kekal. Cermin mata added plus juga dipreskripsikan dalam kes masalah akomodasi yang teruk sebelum menjalani rawatan terapi visual

 

Terapi visual

TERAPI VISUAL

Terapi visual merupakan siri latihan mata yang dipreskripsikan oleh optometris untuk dilaksanakan sama ada di rumah atau klinik. Pesakit akan dipantau dalam beberapa siri lawatan sehingga pulih dari simptom. Terapi visual bertujuan untuk menguatkan kembali

sistem akomodasi melalui penggunaan kanta, prisma dan peralatan terapi visual khas. Jumlah lawatan diperlukan bergantung kepada umur dan motivasi pesakit dalam melaksanakan terapi visual.

 

Visual hygeine

MENGAMALKAN VISUAL HYGIENE

Pastikan meja kerja atau meja belajar bersifat ergonomikal agar jarak kerja dekat tersebut berada pada jarak tidak kurang dari 40cm. Elakkan perbuatan membaca sambal berbaring turut menyumbang kepada akomodasi yang berlebihan akibat jarak kerja yang pendek. Jangan lupa amalkan 20-20-20 iaitu setiap 20 minit kerja dekat, lihat objek pada jarak sejauh 20 kaki (6m) selama 20 saat untuk mengekalkan kesihatan sistem akomodasi anda.

 

Akhir kata, dengan cabaran norma baru pembelajaran atas talian dan bekerja dari rumah, sedikit sebanyak membebankan kepada sistem akomodasi seseorang. Ibu bapa disarankan untuk peka dengan keluhan anak yang melibatkan masalah penglihatan. Sekiranya masalah ini berlaku kepada anda, elakkan pembelian cermin mata secara online dan dapatkan pemeriksaan status penglihatan daripada optometris yang bertauliah.

 

RUJUKAN:

  1. Hussaindeen, J. R., & Murali, A. (2020). Accommodative Insufficiency: Prevalence, Impact and Treatment Options. Clinical optometry12, 135–149. https://doi.org/10.2147/OPTO.S224216
  2. Davis AL, Harvey EM, Twelker JD, Miller JM, Leonard-Green T, Campus I. Convergence insufficiency, accommodative insufficiency, visual symptoms, and astigmatism in Tohono O’odham students. J Ophthalmol. 2016;2016:6963976. doi:10.1155/2016/6963976
  3. Abdi S, Rydberg A. Asthenopia in schoolchildren, orthoptic and ophthalmological findings and treatment. Doc Ophthalmol. 2005;111(2):65–72. doi:10.1007/s10633-005-4722-4
  4. Muzaliha, M. N., Nurhamiza, B., Hussein, A., Norabibas, A. R., Mohd-Hisham-Basrun, J., Sarimah, A., Leo, S. W., & Shatriah, I. (2012). Visual acuity and visual skills in Malaysian children with learning disabilities. Clinical ophthalmology (Auckland, N.Z.)6, 1527–1533. https://doi.org/10.2147/OPTH.S33270
  5. Nunes, A. F., Monteiro, P., Ferreira, F., & Nunes, A. S. (2019). Convergence insufficiency and accommodative insufficiency in children. BMC ophthalmology19(1), 58. https://doi.org/10.1186/s12886-019-1061-x
  6. Scheiman M, Wick B. Clinical Management of Binocular Vision: Heterophoric, Accommodative, and Eye Movement Disorders. Lippincott Williams & Wilkins; 2008
  7. Bertil Sterner; Martin Gellerstedt; Anders Sjöström (2006). Accommodation and the relationship to subjective symptoms with near work for young school children. , 26(2), 148–155. doi:10.1111/j.1475-1313.2006.00364.x

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box