“Bahu pakcik ni dah lama dah sakit doktor. Nak angkat tangan pun sakit.” Encik Aiman yang berusia 56 tahun memegang bahu kanan beliau sambil cuba mengangkatnya tinggi. Mukanya berkerut menahan kesakitan.
“Encik Aiman pernah jatuh?” Doktor Shafika berkata lembut sambil melemparkan senyuman. “Tak pernah doktor. Tiba-tiba je sakit. Paling sakit kalau pakcik nak sikat rambut pakcik. Kalau badminton tu memang langsung pakcik dah berhenti main dah.” Dalam kepayahan dia masih cuba mengangkat tangan beliau namun tidak berjaya.
APAKAH ITU OTOT ROTATOR CUFF?
Otot rotator cuff adalah otot-otot yang berada pada bahagian bahu. Ia mempunyai dua fungsi utama. Fungsi pertama otot-otot ini, sebagaimana namanya ‘rotator’ ialah bagi memusingkan sendi bahu dan fungsi kedua ialah bagi menstabilkan sendi bahu. Selain daripada itu, ia juga berperanan dalam pergerakan mengangkat bahu.
Ia terdiri daripada EMPAT otot:
- Supraspinatus
- Infraspinatus
- Teres minor
- Subscapularis
Tiga otot yang pertama iaitu supraspinatus, infraspinatus dan teres minor berfungsi bagi memusingkan sendi bahu ke arah luar atau external rotation, manakala otot supscapularis pula berfungsi bagi memusingkan sendi bahu ke arah dalam atau internal rotation.
Kekoyakan otot-otot rotator cuff akan menyebabkan kesakitan dan kesukaran bagi seseorang pesakit memusingkan sendi bahu. Contohnya ketika beliau hendak memakai tali coli, menyikat rambut atau pergerakan di atas kepala seperti memukul smash bulu tangkis atau bola tenis.
KEKOYAKAN OTOT ROTATOR CUFF
Kekoyakan otot rotator cuff boleh disebabkan oleh dua punca utama iaitu proses penuaan (degenerative) dan juga akibat trauma atau kecederaan. Ia lebih kerap berlaku dikalangan atlet yang melakukan pergerakan overhead seperti pemain sukan badminton dan tenis. Pekerjaan yang melibatkan aktiviti mengangkat tangan seperti tukang cat juga berisiko mengalami kondisi ini. Ia juga boleh berlaku akibat kecederaan atau trauma seperti terjatuh atau kemalangan jalanraya. Otot supraspinatus ialah otot rotator cuff yang paling kerap koyak.
SIMPTOM
Ramai pesakit mula perasan masalah ini apabila mengalami kesakitan pada bahu semasa cuba mencapai objek di dalam almari atau rak yang tinggi (overhead movement). Namun begitu, kesakitan pada otot sendi bahu juga boleh berlaku walaupun ketika tangan tidak digerakkan (at rest). Kesakitan juga berlaku pada waktu malam atau apabila pesakit berbaring mengiring ke atas bahu tersebut. ketika mengangkat atau memusingkan sendi bahu beliau. Bahu pesakit juga akan terasa lemah dan hilang kekuatan apabila diangkat. Sekiranya dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan sendi pesakit menjadi kaku iaitu kondisi yang disebut sebagai ‘frozen shoulder.’
PEMERIKSAAN DAN DIAGNOSIS
Apabila anda berjumpa pakar Ortopedik, doktor akan melakukan pemeriksaan rapi pada bahagian bahu anda. Doktor akan memeriksa bahagian yang sakit apabila ditekan, memeriksa sama ada sendi bahu anda stabil atau tidak dan akhirnya melakukan beberapa pemeriksaan khas yang khusus bagi menentukan otot rotator mana yang koyak.
Seterusnya doktor akan melakukan x-ray bagi melihat sekiranya terdapat sebarang masalah kepada sendi dan tulang pada bahagian bahu yang boleh juga menyumbang kepada kesakitan pada sendi bahu seseorang. Bagi kondisi rotator cuff ini x-ray biasanya adalah normal kerana kekoyakan ini melibatkan otot. Namun ada juga keadaan di mana bentuk tulang akromium pesakit membengkok yang boleh menyebabkan kekoyakan kepada otot rotator cuff ini.
Bagi memastikan diagnosis kekoyakan otot bahu ini, pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) perlu dilakukan. MRI akan membolehkan lokasi dan saiz kekoyakan ditentukan dengan tepat.
TAHAP KEKOYAKAN
Kekoyakan otot rotator cuff boleh dibahagikan kepada dua tahap iaitu
- Kekoyakan separa (partial tear)
- Kekoyakan penuh (complete tear)
RAWATAN
Tujuan utama rawatan ialah bagi mengurangkan kesakitan dan mengembalikan fungsi sendi bahu pesakit. Ia bergantung kepada umur dan gaya hidup pesakit, serta saiz kekoyakkan tisu yang berlaku. Rawatan boleh dibahagikan seperti rawatan konservatif dan pembedahan.
Rawatan konservatif
- Rehat: Pesakit diminta mengelakkan aktiviti yang melibatkan sendi bahu tersebut dan dipakaikan anduh bagi merehatkannya
- Fisioterapi: Bertujuan bagi menguatkan otot bahu dan menambahkan pergerakan secara beransur-ansur
- Ubat anti-radang: Ubat ini bertujuan bagi mengurangkan kesakitan, kebengkakkan dan keradangan pada otot bahu
- Suntikan: Suntikan steroid dan ubat bius setempat (local anaesthetics) boleh diberikan kepada pesakit yang tertentu bagi mengurangkan keradangan, kebengkakan dan kesakitan pada sendi bahu pesakit
Pembedahan
Pembedahan hanya dilakukan ke atas pesakit tertentu selepas pemeriksaan pakar Ortopedik. Dalam kebanyakan kes, pesakit perlu menjalani ujian MRI terlebih dahulu bagi mengetahui saiz dan lokasi kekoyakan tersebut. Ia juga mungkin perlu dilakukan sekiranya pesakit tidak pulih setelah menjalani rawatan tanpa pembedahan sehingga menyebabkan bahu pesakit tersebut tidak berfungsi.
Sekiranya anda mengalami keadaan seperti di atas, dapatkan pemeriksaan doktor. Sekiranya perlu, anda akan dirujuk kepada Doktor Pakar Ortopedik bagi membolehkan rawatan terbaik yang diberikan.
RUJUKAN
- Stetson W.B. Partial rotator Cuff Tears: Treatment options. Operative Arthroscopy, 4th edition: Page 70-87
- Rotator cuff tears. OrthoBullets. Derived from Rotator Cuff Tears – Shoulder & Elbow – Orthobullets
- Rotator Cuff tears. Ortho info. Retrieved from https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/rotator-cuff-tears/
- Rotator cuff injury. John Hopkins Medicine. Retrieved from https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/rotator-cuff-injury
This article is written by one of Malaysian Medical Gazette columnist, Dr Mahyuddin, an Orthopaedic Surgeon who is currently serving in a hospital in Terengganu. Get to know him more in The Team’s page.