Kelesuan Pandemik COVID-19: adakah kita terasa penatnya? – Dr Mohd Radzniwan A.Rashid & Dr Nuruliza Roslan

Kelesuan Pandemik COVID-19 – adakah kita terasa penatnya?

Tiada lagi kenduri-kendara, salam-salaman dan tiada lagi kunjung mengunjung. Juga tiada lagi bercuti ke luar negara, kemeriahan di tempat kerja dan tiada lagi program yang selalu rancak dilakukan oleh pihak sekolah. Selamat datang norma baharu: memakai pelitup muka, sanitasi tangan, merekod ke dalam mySejahtera, mengimbas kod masuk dan bacaan suhu badan sebelum masuk ke restoran, kedai atau pusat membeli belah. Masih ingat lagi pada zaman awal COVID-19, kita rela mempraktiskan segala “standard operating procedure” (SOP) ini, rela tidak keluar, rela bekerja dari rumah.  Kita yakin bahawa semua tindakan yang dilakukan dapat menyahkan COVID-19 di bumi Malaysia ini. Sebelum September 2020, jumlah harian kes positif COVID-19 di Malaysia dilaporkan semakin menurun sehingga ke 1 angka dan ada hari Malaysia mencatat sifar kes. Ia diraikan sebagai satu kejayaan  dan rakyat diberikan kelonggaran terhadap SOP ketat. Namun kini, realitinya, kes saban hari semakin meningkat. Akibatnya, kerajaan Malaysia telah mengarahkan  PKPB dilancarkan semula di seluruh negara kecuali di beberapa buah negeri sehingga diberitahu kemudian berdasarkan kes.

Masih bertenagakah kita untuk terus mengamalkan SOP norma baharu yang dikatakan telah sedikit sebanyak memberi impak dalam kelancaran tugasan harian kita? Penatkah kita dengan rutin norma baru sekarang? Sekiranya mula rasa bosan, penat dan hal sedemikian menggangu emosi, tenaga dan tumpuan maka keadaan tersebut dinamakan kelesuan pandemik. Di negara barat, ia sering dibincangkan akhir-akhir ini dan di Malaysia, sejak meningkatnya kes COVID-19 secara mendadak beberapa bulan ini hal kelesuan pandemik mungkin menjadi nyata dan jelas.

Antara tanda-tanda kelesuan pandemik adalah kepenatan untuk mengamalkan norma baru, rasa kecewa, bimbang, dan paling teruk boleh mengakibatkan  kemurungan. Contohnya setiap hari di kaca TV ada sahaja saman dikenakan akibat tidak mematuhi SOP . Tidak memakai pelitup muka, berkumpul beramai-ramai, tidak merekod sebelum masuk ke premis merupakan kes kesalahan biasa yang dilakukan. Juga luahan orang ramai  seringkali disiarkan di media massa kerana  berdegil melanggar peraturan yang ditetapkan.  Yang menggerunkan, kesan buruk kelesuan tersebut mengakibatkan kes COVID-19 boleh terus naik dek kecuaian orang ramai menjaga segala SOP yang telah diarahkan.

Pandemik COVID-19 ini tidak akan lenyap dalam masa terdekat. Fakta ini kita harus terima dengan hati yang terbuka, sabar dan anggap ini sebahagian daripada cabaran dalam hidup sepertimana ayat Quran yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 155)

 

Antara pendekatan untuk diri yang kita boleh ambil bagi mengelakkan kelesuan pandemik adalah:

  1. Ingatlah bahawa apa jua tindakan yang kita ambil akan memberi kesan kepada lebih banyak orang
  2. Ketahuilah bahawa setiap interaksi boleh memberi risiko sebagai penyebab untuk menyebarkan virus.
  3. Hormatilah bahawa semua orang akan ‘kembali’ dalam pengurusan kehidupan seharian mereka mengikut kadar mereka sendiri.
  4. Pilih

 aktiviti / hobi yang akan buatkan kita untuk tidak berfikir tentang COVID-19 seperti berkebun, membaca, bermain dengan anak, belajar resipi baru.

  1. Kenali diri. Adalah tidak mengapa sekiranya ada hari kita rasa OK dan ada hari tidak OK.
  2. Dapatkan sokongan sekiranya anda merasa terbeban dan berkemungkinan mengalami kelesuan pandemik.

Selain daripada itu, para pemimpin hendaklah sentiasa mengambil kira pandangan dari setiap lapisan rakyat dan ambil maklum bahawa pandemik ini boleh  memberi kesan yang mendalam kepada rakyat. Pemimpin haruslah aktif mencari solusi yang boleh membantu kepada keperluan sosial rakyat seperti bekerjasama dengan industri media massa bagi memastikan kebajikan golongan tua didengari.

Allah S.WT telah berfirman di dalam sepotong ayat Al_quran yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al Insyirah: 6)

Indahnya Islam itu mengajar erti kesabaran dalam apa jua perkara. Dalam sabar menghadapi ujian pandemik COVID-19 dengan kepenatan untuk mengikut segala SOP norma baharu, kita panjatkan kesyukuran atas segala nikmat yang diberi olehNya. Hanya kita sendiri yang boleh mengawal dan ubah hidup kita. Kita boleh buang perkara negatif yang memberi kesan kepada kesihatan mental kita dan penuhkan dengan perkara yang positif. SOP norma baharu kehidupan hendaklah kita terima dengan hati yang terbuka.

Hasil tulisan bersama:

  1. Professor Madya Dr Mohd Radzniwan bin A.Rashid

Pengarah Perubatan Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai,  Negeri Sembilan

  1. Dr Nuruliza binti Roslan

Pengarah Institut Sains Islam Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai,  Negeri Sembilan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box