Kemahiran Bersosial Dalam Kalangan Kanak-kanak Autistik- Nur Nabillah Hamzah

Apa itu Autistik? Autistik atau autisma adalah masalah gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal. Menurut The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, 5th Edition (DSM-5) , Autisma dikategorikan sebagai satu penyakit psikiatri dan dikenali sebagai ‘Autism Spectrum Disorder’ (ASD). Kanak-kanak yang mengalami masalah ASD ini akan menghadapi kesukaran dari segi sosial, komunikasi lisan atau gerak tubuh dan juga masalah tingkahlaku. Masalah ASD ini boleh dikesan seawal umur 2 tahun. Penyakit ASD ini boleh dikesan melalui pemerhatian ibubapa dan juga penilaian daripada doktor ataupun individu yang berkaitan.

Masalah kemahiran bersosial dan berkomunikasi dalam kalangan ASD boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kemahiran sosial interaksi, kemahiran berkomunikasi dan juga kemahiran imaginasi sosial. Masalah kemahiran berinteraksi adalah kesukaran untuk mereka memulakan langkah untuk berkawan dan juga sukar untuk mereka memahami dan menjangka perasaan orang disekeliling. Kemahiran berkomunikasi pula adalah kesukaran mereka untuk berkomunikasi termasuklah pertuturan dan bahasa, intonasi, gerak isyarat, ekspresi wajah dan bahasa badan. Manakala masalah kemahiran berimaginasi sosial pula adalah kesukaran mereka untuk memaparkan perkembangan ‘role play’. Sebagai contoh, mereka menghadapi limitasi untuk berimaginasi tentang sesuatu aktiviti yang pernah mereka lihat atau pun alami. Selain itu, perbualan secara berseorangan, mengulangi percakapan yang sama, mengulangi perbuatan yang sama berulang kali, susah untuk menerima sebarang perubahan juga merupakan salah satu masalah dalam komunikasi dalam kalangan kanak-kanak ASD.

Kanak-kanak ASD tidak semestinya akan terus bermasalah dan ketinggalan dalam kemahiran berkomunikasi, tetapi mereka memerlukan bantuan dan rangsangan untuk membentuk kemahiran tersebut. Kebanyakan kanak-kanak biasa akan mempelajari kemahiran bersosial dengan sendirinya melalui pemerhatian daripada tingkah laku atau sikap ibubapa, keluarga, rakan-rakan disekolah dan juga komuniti di sekelilingnya. Namun bagi kanak-kanak ASD, ianya adalah sukar untuk mempelajarinya dengan hanya melihat kerana mereka mempunyai masalah untuk menyerap idea atau input secara terus. Kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi ini perlu diringkaskan, diterangkan, dan diberi latihan untuk mereka mempelajari dan menerima kemahiran tersebut.

Intervensi kemahiran bersosial selalunya dilakukan dalam bentuk berkumpulan dan dikendalikan oleh Jurupulih Carakerja. Satu Kajian oleh Barry,2003 mengatakan bahawa kanak-kanak yang menyertai kumpulan psychoeducational skill-based menunjukkan peningkatan dalam kemahiran bersosial. Kelas kemahiran bersosial tersebut perlulah mempunyai bilangan kanak-kanak yang bersesuaian dan mempunyai objektif yang tertentu untuk mencapai matlamat kemahiran bersosial yang bersesuaian.

Secara umumnya, kemahiran bersosial adalah peraturan, adab, sikap ataupun tingkahlaku yang perlu dijaga untuk memastikan proses komunikasi dan sosial itu berjaya dan seterusnya melahirkan rasa percaya, menerima, dan juga kasih sayang antara individu. Justeru itu, demi mejayakan sesebuah kumpulan kemahiran bersosial, ia memerlukan matlamat yang tepat dan ringkas untuk dicapai. Apabila matlamat sudah ditetapkan, mereka perlu diberi penerangan dan sebab kenapa tingkahlaku yang sesuai perlu di tunjukkan. Selepas itu, ia perlu di ikuti dengan menunjukkan tingkahlaku yang dikehendaki sebelum mereka melakonkan atau mainkan peranan di dalam kumpulan tersebut. Seterusnya memberikan tunjuk ajar dan galakkan mengenai tingkahlaku sebenar yang diperlukan secara semula jadi didalam dan juga diluar aktiviti berkumpulan tersebut.

Kajian oleh Campbell, Hansel, and Nangle 2010 menyatakan bahawa kemahiran bersosial dalam kalangan kanak-kanak sangat penting dalam pelbagai situasi. Apabila kanak-kanak tidak mempunyai kemahiran berinteraksi dan bersosial yang sewajarnya, mereka akan lebih cenderung kepada sikap lebih menyendiri, beremosi, dan juga masalah tingkahlaku. Kajian Klin et el., 2000, juga menyatakan bahawa mereka juga turut akan mengalami masalah dalam pembelajaran. Secara rumusannya, kemahiran berkomunikasi dan bersosial ini sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak yang berkeperluan khas.

 

NUR NABILLAH HAMZAH , OCCUPATIONAL THERAPIST, UMMC

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box