Kencing manis Penyebab Kebutaan – Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah & Dr Nor Azimah Abdul Aziz

Kencing manis atau diabetis melitus adalah antara penyakit bukan berjangkit yang sangat banyak di negara kita. Pada tahun 2017, menurut statistik International Diabetes Federation, daripada 22 juta penduduk rakyat dewasa negara ini, 16.9% daripadanya iaitu seramai 3,492,600 orang rakyat Malaysia menghidap kencing manis. (1)

Antara komplikasi kencing manis adalah terjadinya masalah salur darah besar iaitu masalah makrovaskular seperti aliran darah yang tidak baik ke hujung kaki , yang boleh mengakibatkan kudis diabetes dan seterusnya amputasi, dan terjadinya masalah mikrovaskular iaitu masalah salur darah bersaiz kecil contohnya pada mata dan buah pinggang.

Masalah kencing manis pada saraf mata dikenali sebagai diabetik retinopati. Kajian mendapati   diabetik retinopati lebih mudah berlaku di kalangan pesakit kencing manis yang sudah lama menghidap kencing manis dan kandungan gula dalam darah tidak terkawal (2) .

Diabetik retinopati merupakan salah satu komplikasi penyakit diabetes mellitus, yang mana ia melibatkan kerosakan pada filem mata yang dipanggil retina.

Untuk lebih memahami masalah ini, kita boleh perhatikan struktur dalaman mata manusia (gambarajah mata).

 

 

Struktur utama mata terdiri daripada lapisan kornea yang jernih di bahagian permukaan mata, iris (yang mengawal bukaan anak mata), seterusnya kanta mata dan retina.

Retina adalah lapisan saraf filem mata yang bertindak seperti kamera. Ia merakam gambar/imej yang dilihat, seterusnya diproses kepada bentuk signal atau isyarat, sebelum dihantar ke otak.

Lapisan retina ini dilengkapi salur darah halus atau kapilari yang membekalkan nutrien dan oksigen kepada retina.

 

Bagaimanakah diabetik retinopati berlaku?

Kandungan gula yang tinggi secara berterusan dalam darah menyebabkan dinding salur darah halus atau kapilari menjadi lemah. Salur darah kapilari yang lemah ini mengakibatkan kebocoran protein dan lemak daripada darah, ke dalam filem mata dan seterusnya filem mata menjadi bengkak. Salur darah kapilari ini juga boleh tersumbat, menyebabkan kemerosotan aliran darah ke retina. Akibatnya, aliran oksigen dan nutrien ke lapisan retina turut terjejas.

Hal ini akan merangsang pertumbuhan saluran darah baru yang tidak sihat di dalam mata. Salur darah baru ini amat rapuh, ia mudah pecah dan boleh mengakibatkan pendarahan pada keseluruhan bahagian dalaman bola mata. Pendarahan yang berterusan ini boleh menyebabkan retina berparut (scarring), dan retina lekang (tractional retinal detachment).

Gejala diabetik retinopati adalah seperti berikut:

  1. Penglihatan Kabur
  2. Floaters’ atau bintik-bintik hitam yang kelihatan terapung-apung, yang berpunca daripada pendarahan dalam bola mata dan boleh juga terjadi sekiranya retina lekang.
  3. Diabetic retinopati boleh berlaku tanpa sebarang gejala!

Terdapat dua tahap diabetik retinopati yang utama, iaitu peringkat awal (non-proliferative) dan peringkat teruk, di mana salur darah tidak normal mula bercambah iaitu peringkat “proliferative

Peringkat awal atau peringkat non-proliferative adalah apabila salur darah kapilari tersumbat dan bocor tetapi masih dalam keadaan terkawal. Peringkat teruk atau peringkat proliferative pula adalah apabila tahap aliran darah ke retina terjejas teruk. Terdapat pertumbuhan salur darah baru yang rapuh. Adakalanya pendarahan memenuhi keseluruhan bahagian dalam bola mata (vitreous haemorrhage). Parut dan koyakan retina mungkin dapat dilihat.

Rawatan diabetik retinopati bergantung kepada tahap atau peringkat diabetik retinopati anda.

Pertama, rawatan diberikan kepada pesakit diabetik retinopati peringkat proliferatif (peringkat teruk); iaitu sekiranya terdapat pertumbuhan salur darah baru yang tidak sihat. Rawatan yang diberikan adalah rawatan laser. Rawatan ini adalah cepat, selamat dan terbukti mengawal diabetik retinopati daripada menjadi lebih parah.

Kedua, sekiranya berlaku bengkak filem retina. Rawatan yang diberikan adalah laser (dos rendah), atau suntikan ubatan. Rawatan ini bertujuan mengurangkan bengkakan filem mata dan mengembalikan penglihatan.

(gambar retina normal dan gambar mata dengan “proliferative diabetic retinopathy” atau “advanced diabetic eye disease”)

Gambar hak milik Jabatan Oftalmologi UiTM

Dalam sesetengah keadaan yang lebih serius, pembedahan mungkin diperlukan untuk membersihkan darah yang terkumpul di dalam bola mata dan membaiki retina yang rosak.

Pesakit diabetes yang berisiko tinggi menghidap diabetik retinopati ialah

  • mereka yang menghidap diabetes lebih daripada 5 tahun (2)
  • mempunyai paras gula yang tidak terkawal . Kajian di United Kingdom dan Jepun menunjukkan, lebih tinggi paras gula HbA1C (penanda kawalan gula selama 3 bulan), lebih tinggi risiko seseorang itu akan mendapat diabetik retinopati. (2, 3)
  • mempunyai paras tekanan darah tinggi dan kolesterol yang tidak terkawal
  • berat badan yang berlebihan atau obesiti
  • kehamilan (terutamanya jika sudah mengalami kencing manis SEBELUM hamil)
  • mempunyai tabiat merokok.

Hampir 40% penghidap diabetes di Malaysia dikesan mengalami masalah diabetik retinopati.

Walau bagaimanapun, masih ramai pesakit diabetis tidak mengetahui komplikasi mata yang boleh berlaku akibat diabetes.

Dan, sebilangan pesakit masih belum pernah menjalani pemeriksaan mata.

Oleh itu, kami ingin menyarankan agar semua pesakit kencing manis, untuk mendapatkan temujanji dengan pakar mata atau optometris bertauliah berhampiran anda.

Saranan pemeriksaan mata bagi pesakit kencing manis adalah :

  • Sekurang-kurangnya 1 kali/setahun
  • Pemeriksaan lebih kerap diperlukan sekiranya diabetik retinopati berada pada tahap yang serius
  • Jalani hidup yang sihat dengan bersenam 4 hingga 5 kali seminggu
  • Kekal cergas dan elakkan obesiti
  • Makan makanan yang sihat dengan mengamalkan cara “suku-suku-separuh”
  • Patuhi nasihat doktor
  • Makan ubat secara teratur, dan lakukan pemeriksaan komplikasi diabetis yang lain

Dari sudut kakitangan sektor kesihatan pula, satu kajian di negara Cina menunjukkan pesakit kencing manis lebih patuh kepada temujanji untuk bertemu doktor, sekiranya mereka mendapat pesanan ringkas melalui SMS pada seminggu dan tiga hari sebelum temujanji mereka. (4) Selain lebih ramai yang hadir ke hospital, pesakit juga lebih faham komplikasi diabetik retinopati dan mereka lebih berpuas hati dengan perkhidmatan kesihatan yang diberikan. Mungkin ini adalah salah satu cara yang kita boleh terapkan di peringkat klinik setempat, bagi membantu para pesakit di kawasan kita masing-masing.

Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

Pensyarah Perubatan & Pakar Mata UiTM,

Felo Oftalmologi Kanak-kanak dan Strabismus PPUM

Dr Nor Azimah Abdul Aziz

Pensyarah Perubatan & Pakar Mata UiTM.

Rujukan :

1)https://www.idf.org/our-network/regions-members/western-pacific/members/108-malaysia.html

2) Intensive blood-glucose control with sulphonylureas or insulin compared with conventional treatment and risk of complications in patients with type 2 diabetes (UKPDS 33). UK ProspectiveDiabetes Study (UKPDS) Group, Lancet. 1998 Sep 12;352(9131):837-53.

3) Predicting macro- and microvascular complications in type 2 diabetes: the Japan Diabetes Complications Study/the Japanese Elderly Diabetes Intervention Trial risk engine , Tanaka S1 et al ; Japan Diabetes Complications Study Group; Japanese Elderly Diabetes Intervention Trial Group, Diabetes Care. 2013 May;36(5):1193-9. doi: 10.2337/dc12-0958. Epub 2013 Feb 12.

4) A Mobile Phone Informational Reminder to Improve Eyecare Adherence among Diabetic Patient in Rural China: A Randomized Controlled Trial. Chen T1 et al , Am J Ophthalmol. 2018 Jul 24. pii: S0002-9394(18)30387-8. doi: 10.1016/j.ajo.2018.07.006. [Epub ahead of print]

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box