Kenyataan Akhbar: Kejadian Wabak Influenza A H1N1 di India & Langkah-Langkah Pencegahan – KKM

Sumber: guardianlv.com

Sumber: guardianlv.com

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kejadian wabak‘ swine flu’ atau influenza A (H1N1) yang dilaporkan berlaku di India pada masa ini. Merujuk kepada kenyataan oleh pihak Kementerian Kesihatan India, kes-kes yang dilaporkan pada masa ini adalah disahkan Influenza A (H1N1) iaitu virus jenis yang sama dengan pandemik H1N1 yang berlaku pada tahun 2009.

Seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ogos 2010, dunia kini berada di dalam fasa pasca pandemik (post pandemic) H1N1 di mana pihak WHO tidak lagi memantau jangkitan virus influenza H1N1 secara khusus. Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan, risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat influenza A (H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain. Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah secara sebaran melalui cecair (droplet) batuk atau bersin mereka yang dijangkiti.

Sebagai langkah–langkah kesiapsiagaan, KKM melakukan pemantauan situasi influenza di negara ini bagi mengesan kejadian luar biasa melalui Malaysian Influenza Surveillance System (MISS) termasuk Influenza-like Illness (ILI), pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection(sARI) dan juga pesakit dengan jangkitan saluran pernafasan yang teruk yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau jenis virus influenza di Malaysia.Screenshot 2015-02-27 22.01.48

Screenshot 2015-02-27 22.01.23

Sehingga kini, WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara India. Namun begitu, orang awam yang ingin pergi ke India dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah pencegahan penularan jangkitan influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi iaitu amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser, memakai penutup mulut (mask) sekiranya berdekatan dengan orang yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti selsema dan batuk, mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan mengamalkan cara hidup sihat. Orang awam juga dinasihatkan agar elakkan daripada mengunjungi kawasan yang sesak dengan orang ramai.

Screenshot 2015-02-27 22.02.33Selain itu, pengunjung ke India terutamanya kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti penyakit kronik paru-paru dan jantung, penyakit buah pinggang dan pesakit yang mengalami immune-suppression adalah digalakkan bagi mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi influenza A (H1N1) yang berada dalam pasaran. Vaksin ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan swasta. Sekiranya terdapat gejala penyakit seperti demam, selsema, sakit tekak dan batuk adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

27 Februari 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box