Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau penyakit berkaitan jerebu melalui klinik “sentinel” dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) seluruh negara.
Pada 14 Mac 2014 jam 3 petang Indeks Pencemar Udara (IPU) di Pelabuhan Klang, Selangor telah mencatat bacaan IPU 318 iaitu berada pada tahap “berbahaya” manakala tiga belas (13) stesen lain telah mencatatkan tahap “tidak sihat”.
Sehubungan itu KKM telah meningkatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu (URTI, Asthma dan Sakit Mata) di klinik-klinik “sentinel” di negeri-negeri yang dilanda jerebu.
Kumpulan yang berisiko semasa jerebu termasuklah bayi dan kanak-kanak, orang-orang tua, pesakit jantung dan paru-paru, perokok serta pekerja yang terdedah kepada udara luar. Pada bacaan IPU melebihi 150, kumpulan berisiko termasuklah pelajar sekolah adalah dinasihatkan supaya berada di dalam rumah dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.
Justeru itu Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, termasuklah mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan (being indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakanlah penutup hidung dan mulut (mask) yang sesuai.
Selain itu, sila pastikan udara di dalam rumah/bangunan sentiasa bersih dengan mengurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok. Minumlah air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Basuhlah tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan/menghadiri aktiviti luar.
Bagi mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata atau jangkitan paru-paru yang kronik, datanglah ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk. Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dari laman web KKM: http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/Jerebu.php dan http://www.moh.gov.my/index.php/ pages/view/183
Orang ramai disarankan supaya sentiasa memperolehi maklumat berkaitan dengan keadaan jerebu dan juga nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar melalui media massa.
Sekian dan terima kasih.