Sepanjang minggu lalu sebanyak empat (4) kematian akibat denggi telah dilaporkan. Empat kematian tersebut melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dari Selangor, seorang lelaki berusia 22 tahun juga dari Selangor, seorang lelaki berusia 41 tahun dari Johor dan seorang wanita berusia 54 tahun berasal dari Johor. Kesemua kes telah diberikan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi Demam Denggi. Sehingga 21 Jun 2014, sebanyak 82 kematian telah dilaporkan di seluruh negara berbanding hanya 25 kematian bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 228% (57 kematian).
Sepanjang minggu ke-25 tahun 2014 antara tempoh 15 hingga 21 Jun 2014, sebanyak 2,021 kes Demam Denggi telah dilaporkan di seluruh negara, meningkat 12.5 % (224 kes) berbanding 1,797 kes yang dilaporkan pada minggu sebelumnya. Manakala jumlah terkumpul kes Denggi dari bulan Januari sehingga 21 Jun 2014, adalah sebanyak 42,229 kes, peningkatan sebanyak 248% berbanding 12,143 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun 2013.
Sejumlah 453 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh negara melibatkan 14 negeri. Daripada jumlah itu terdapat 75 lokaliti hotspots dilaporkan melibatkan 64 lokaliti di Selangor, tujuh (7) lokaliti di Negeri Sembilan, tiga (3) lokaliti di Kelantan dan satu (1) lokaliti di Sarawak.
Sempena bulan ramadhan yang akan tiba, KKM mengingatkan supaya semua individu, masyarakat setempat, ahli persatuan, agensi-agensi kerajaan dan swasta tidak lupa dalam melaksanakan aktiviti pencegahan denggi. Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian :
- Pastikan kawasan persekitaran masjid atau surau-surau untuk solat terawih bebas dari tempat pembiakan Aedes.
- Kawasan persekitaran tapak bazar ramadhan yang menjadi tumpuan orang awam juga bebas dari tempat pembiakan Aedes.
- Pengusaha dan pengunjung bazar ramadhan perlu pastikan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata terutama yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan Aedes.
- Menggunakan repelan atau pakaian yang menutup anggota badan ketika berada di kawasan terbuka bagi mengelak dari gigitan nyamuk terutama pada waktu pagi atau petang.
- Kebersihan di sekitaran kediaman terus dijaga agar bebas dari tempat pembiakan Aedes.
Pihak KKM sentiasa memohon agar semua ahli masyarakat agar berganding bahu, sama-sama menjaga kebersihan di persekitaran dan sentiasa peka dengan kejadian kes dan wabak denggi di kawasan masing- masing. Ingatlah ‘Denggi Membunuh’
YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
Putrajaya 25 Jun 2014