Kenyataan oleh IBCLC Malaysia
Tarikh: 10 Ogos 2015
Tajuk: Isu berkaitan kenyataan yang dikeluarkan oleh host rancangan Fiqh Wanita pada 7/8/2015
Bismillahirrahmanirrahim,
Objektif Kenyataan:
1. Untuk memperbetulkan kesilapan fakta dan mengelakkan salah faham berpanjangan dalam masyarakat
2. Melahirkan rasa empati terhadap mana-mana ibu yang telah berusaha untuk menyusu tetapi menghadapi pelbagai rintangan dan terpaksa memilih susu gantian
3. Menegur tindakan tidak menghormati intelektual pihak yang menegur dengan tidak memberi respon wajar terhadap teguran yang diberi
Pendahuluan:
Merujuk kepada polemik yang berlaku baru-baru ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh host rancangan Fiqh Wanita pada episod yang lalu iaitu pada 7/8/2015, pihak Perunding Laktasi Malaysia (International Board Certified Lactation Consultant, IBCLC) berkesempatan untuk menyaksikan rancangan tersebut secara keseluruhannya di Tonton dan mendapati ada beberapa fakta yang diutarakan oleh Ustazah Fatimah Syarha adalah kurang tepat dan bercanggah dengan ilmu perubatan/sains dan ilmu penyusuan susu ibu secara spesifiknya.
Fakta-fakta yang kurang tepat ini telahpun mendapat liputan meluas di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi negatif serta ditakuti akan menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan masyarakat yang mengambil fakta tersebut secara ‘face value’ tanpa melakukan kajian dan bacaan secara menyeluruh mengenai topik ini.
Antara fakta yang kami dapati kurang tepat dan bercanggah:
1. Kalau kita bagi susu lembu, maka DNA lembu akan masuk ke dalam badan bayi. Jadi ia akan mempengaruhi akhlak bayi. Mungkin bayi akan membesar menjadi orang yang pemarah sebab lembu ini cepat marah.
2. Tidak memberi minum susu ibu nanti anak tidak cukup antibodi, boleh jadi lumpuh.
3. Susu kanan dan kiri sebab hendak bagi nasi dan air.
4. Kalau menyusu rasa sakit atau macam kena gigit tandanya bayi nak bagi isyarat supaya mak cari makanan baik dan isyarat pada bapa supaya jaga ibunya baik-baik, jangan cari perempuan lain.
5. Kalau ibu mengadu tidak cukup susu sebenarnya tiada alasan lagi sebab sekarang zaman teknologi canggih semua orang boleh menyusu sebab ada peralatan utk menyusu.
6. Adalah boleh (OK) untuk memberikan susu formula kepada bayi selepas 6 bulan.
7. Penyusuan anak angkat memerlukan rangsangan tidak perlukan hormon atau ubatan lain, cukup dengan melihat bayi sebagai rangsangan.
Respon kami mengenai fakta-fakta di atas:
Tidak dinafikan semua ibu mahu memberikan yang terbaik untuk anak mereka, terutama sekali dalam memberikan susu ibu kepada anak mereka secara eksklusif selama 6 bulan pertama dan seterusnya diteruskan sehingga anak berusia 2 tahun dan ke atas.
Namun, tidak semua wanita mampu menghasilkan susu ibu. Terdapat 2-6% wanita di dunia tidak dapat menghasilkan susu ibu untuk bayi mereka secara total mahupun secara mencukupi disebabkan masalah kesihatan yang mereka hadapi. Namun, masyarakat tidak sepatutnya memandang rendah terhadap keupayaan ibu ini mahupun menghukum mereka kerana tidak memberikan susu ibu kepada bayi mereka apatah lagi melabel ibu atau bayi yang terlibat dan mengaitkan mereka atau sifat dan perilaku mereka dengan haiwan sumber susuan alternatif. Malah, golongan ibu ini perlu disokong dengan fakta yang tepat dan bantuan yang praktikal untuk memastikan mereka dapat menyusukan anak mereka sebaik mungkin.
Tidak dinafikan, memang yang terbaik selepas susu ibu adalah susu daripada ibu susuan atau pun susu daripada bank susu ibu sebelum membuat keputusan untuk memberikan susu formula kepada bayi mereka. Namun prosesnya tidaklah semudah yang disangkakan.
Sememangnya susu ibu memberikan antibodi dan imunisasi tambahan kepada bayi dan menyebabkan bayi tersebut kurang mendapat penyakit berjangkit, alahan dan sebagainya. Tetapi, tidak bermakna bayi yang tidak mendapat susu ibu tidak cukup antibodi dan berisiko menjadi lumpuh. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti penyakit berjangkit seperti polio akibat tidak mendapatkan suntikan vaksinasi polio, cerebral palsy akibat trauma kelahiran mahupun jangkitan kuman di dalam kandungan, serta jangkitan meningitis yang boleh menyebabkan kecederaan pada otak sekiranya tidak didiagnos dan dirawat dengan cepat. Ada di antara situasi ini, bayi tidak sempat diberikan susu ibu lagi namun masih lagi berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit dan sebagainya yang boleh mengakibatkan lumpuh.
Sering kita dengar penyataan atau nasihat tentang “susu kanan dan kiri hendak bagi nasi dan air”. Barangkali, itulah cara orang-orang tua meninggalkan pesan supaya menyusu dari kedua-dua belah payudara. Namun, kajian menunjukkan kedua-dua belah payudara ibu menghasilkan kandungan air, lemak, laktosa, protein dan mineral yang mencukupi untuk keperluan bayi mengikut usia. Ibu digalakkan untuk menyusukan bayi dengan kedua-dua belah payudara agar bayi mendapat khasiat dan keperluan secukupnya di samping menggalakkan lagi penghasilan susu ibu dan merangsang koordinasi mata dan pergerakan bayi kanan dan kiri apabila disusukan secara berselang seli kanan dan kiri.
Jika ibu yang menyusukan merasa sakit, ada beberapa faktor dan punca yang boleh menyebabkan kesakitan tersebut. Adakah ia disebabkan pelekapan mulut bayi yang tidak betul seperti bayi telah kekeliruan puting ataupun masalah bayi yang mempunyai ‘tongue tie’? Masalah tersebut boleh menyebabkan kelukaan dan jangkitan pada puting ibu. Mungkin juga pada mulut bayi terdapat jangkitan kulat candidiasis. Jangkitan di puting ibu yg luka dan jangkitan kulat ini boleh merebak ke payudara ibu. Walaupun mengalami jangkitan (mastitis), penyusuan ibu perlu diteruskan di payudara tersebut dan rujuk kepada pakar untuk rawatan lanjut. Pendeknya, sekiranya ibu tersebut terus merasa sakit ketika menyusu, beliau perlulah mendapatkan bantuan dengan segera daripada perunding laktasi atau kaunselor laktasi mahupun pengamal perubatan bertauliah untuk mencari punca kesakitan tersebut.
World Health Organization (WHO) dalam kenyataannya pada 17 Julai 2013 mengatakan pemberian susu formula sebagai follow-up formula adalah TIDAK perlu dan tidak sesuai dijadikan sebagai pengganti kepada susu ibu setelah bayi berusia 6 bulan ke atas. Apa yang disarankan oleh WHO adalah sumber nutrisi bayi sepatutnya diperolehi daripada sumber makanan yang seimbang yang dimulakan pada usia bayi 6 bulan dan seterusnya meneruskan penyusuan susu ibu sehingga berusia 2 tahun. Sekiranya penyusuan susu ibu tidak dapat diteruskan, sumber kalsium yang boleh didapati daripada pelbagai jenis makanan boleh diberikan kepada bayi.
Dalam kes penyusuan anak angkat, rangsangan amat diperlukan. Ia boleh didapati daripada sentuhan di payudara dan hisapan payudara daripada anak itu dan/atau pemerahan susu menggunakan tangan atau alat pemerah. Namun adakalanya proses cetusan penyusuan ini perlu dibantu oleh ubat-ubatan dan hormon bagi melancarkan dan mempercepatkan proses penghasilan susu. Kami menyarankan pasangan ibu bapa yang ingin menjalani proses cetusan penyusuan untuk menyusukan anak angkat agar berjumpa dan berbincang dengan pengamal perubatan yang bertauliah mahupun konsultan/kaunselor laktasi bagi mendapatkan nasihat dan gambaran menyeluruh bagi proses yang bakal dijalani. Selain daripada itu, sokongan dan nasihat daripada pasangan ibu bapa angkat yang telah berjaya menyusukan anak angkat mereka boleh dijadikan panduan untuk menjayakan proses ini.
Tindakan kami:
Pihak kami telah menghantar email rasmi mengemukakan kenyataan di atas kepada pihak penerbit pada hari Sabtu (8/8/2015) yang lalu, dan sehingga kini kami masih menunggu respon daripada pihak penerbit.
Harapan kami:
Kami amat berharap agar pihak penerbit sesebuah rancangan dapat meneliti fakta-fakta yang akan disampaikan oleh penceramah/penyampai sebelum rancangan tersebut ditayangkan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat apatah lagi jika sesebuah rancangan itu bersifat rakaman.
Pihak kami masih mengharapkan penjelasan wajar daripada pihak penerbit mengenai hal ini dan terbuka untuk sebarang perbincangan lanjut.
Kesimpulan:
Setiap ibu yang menyusukan mungkin berhadapan dengan pelbagai rintangan dan masalah bagi menjayakan penyusuan susu ibu. Maklumat yang tepat serta sokongan padu oleh pasangan, keluarga, rakan taulan serta pengamal perubatan adalah amat penting bagi memastikan kejayaan ini. Walaupun ibu tidak dapat memberikan susu ibu sepenuhnya dan terpaksa campur dengan susu formula, ia tetap satu kebaikan dan kejayaan oleh ibu tersebut kepada anak mereka.
Sempena minggu penyusuan ibu, marilah kita sama-sama mengambil momentum ini untuk melindungi penyusuan ibu daripada promosi tidak beretika bahan gantian penyusuan ibu DAN perkara-perkara yang dapat menimbulkan tanggapan atau persepsi negatif oleh masyarakat terhadap amalan penyusuan ibu.
Semoga masyarakat berlapang dada dalam hal ini dan mengambil iktibar dari kejadian yang telah berlaku.
Sekian, terima kasih.
Dr Ezura Madiana Md Monoto, IBCLC
Puan Nor Kamariah Mohamad Alwi, IBCLC
Puan Rita Rahayu Omar, IBCLC
Dr Ning Desiyanti Soehartojo, IBCLC
Dr Faridah Idris, IBCLC
Dr Zaharah Sulaiman, IBCLC
Puan Wong Hui Juan, IBCLC
Puan Lily Yeoh, IBCLC
Puan Julianna Lim Abdullah, IBCLC
Puan Suria Irdayu Ahmad Zaidi, IBCLC
Puan Norashida Abdul Rahman, IBCLC
Dr Hairin Anisa Bt Tajuddin, IBCLC
Puan Nurhayati Mohd Hashim, IBCLC
Huraian dan penjelasan yg ringkas tapi padat. Terima kasih.