Kepentingan Mematuhi Terapi Ubatan – Khairul Naim Zainal Abidin

senior hand sorting through a handful of medicationsPengenalan

“Ubat kencing manis yang bulat besar tu tak payah lah cik. Dekat rumah makcik ada dua kotak besar belum buka lagi.”

Situasi di atas menggambarkan masalah ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan. Ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan menyebabkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit gagal dirawat. Di samping itu, pembaziran terhadap sumber ubat-ubatan turut berlaku.

Ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan menyebabkan peningkatan kematian dan hilang upaya yang melibatkan kerugian sehingga US$100 bilion setiap tahun1. Fakta ini menjelaskan sendiri betapa seriusnya kesan ketidakpatuhan terapi ubat-ubatan terhadap pesakit dan ekonomi negara.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kepatuhan Terhadap Terapi Ubat-Ubatan

Kefahaman pesakit terhadap ubat dan masalah kesihatan

Terdapat pesakit yang tidak mengetahui mengapa mereka perlu mengambil ubat tertentu dan manfaat yang diperoleh daripada pengambilan ubat tersebut. Masalah ini kerap dihadapi oleh pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi & kencing manis yang pada peringkat awal penyakit selalunya tidak menununjukkan gejala dan kesan secara langsung akibat penyakit tersebut. Oleh itu, mereka tidak merasa apa-apa perubahan fisiologi apabila mereka mengambil atau tidak mengambil ubat yang dipreskrib kepada mereka.

Keperluan untuk mengambil ubat pada kekerapan yang tinggi

Sesetengah ubat seperti antibiotik (contoh: amoxycillin, cloxacillin) atau antiviral seperti acyclovir perlu diambil pada kekerapan yang kerap. Sebagai contoh, amoxycillin perlu diambil sebanyak tiga kali sehari, cloxacillin perlu diambil empat kali sekali manakala acyclovir perlu diambil sebanyak lima kali sehari untuk sesetengah indikasi. Sesetengah pesakit sukar mendisplinkan diri untuk mematuhi kekerapan pengambilan ubat yang ditetapkan. Satu kajian yang dijalankan di Malaysia mendapati, tahap kepatuhan terhadap terapi ubat-ubatan berkurang sehingga 22% apabila kekerapan pengambilan ubat-ubatan bertambah2.

Jumlah ubat yang dipreskrib terhadap pesakit (beban pil)

Sesetengah pesakit mengalami beberapa masalah kesihatan secara serentak. Keadaan menjadi lebih kompleks sekiranya masalah-masalah kesihatan tersebut tidak dapat dikawal dengan penggunaan satu jenis ubat sahaja. Akibatnya,pesakit perlu mengambil sejumlah ubat yang banyak. Ini boleh merencatkan kepatuhan pesakit terhadap terapi rawatan.

Kesukaran untuk membiasakan diri dengan rutin pengambilan ubat

Sesetengah pesakit mempunyai masalah untuk mendisplinkan diri dengan rutin pengambilan ubat-ubatan, walaupun ubat tersebut hanya perlu diambil sekali sehari. Masalah ini mungkin disebabkan oleh faktor sikap pesakit itu sendiri, dan mungkin juga disebabkan oleh faktor luaran seperti rutin pekerjaan yang menyukarkan pesakit untuk patuh terhadap pengambilan ubat-ubatan

Kesan sampingan ubat-ubatan

Sesetengah ubat-ubatan boleh memberikan kesan yang tidak diingini  terhadap pesakit. Sebagai contoh, ubat-ubatan dalam kumpulan antihistamin generasi pertama seperti chlorpheniramine, dexchlorpheniramine, promethazine dan hydroxyzine boleh mengakibatkan mengantuk. Bagi pesakit yang perlu bekerja pada siang hari dan mengendalikan jentera berat, mereka akan mengelakkan diri daripada mengambil ubat-ubatan tersebut bagi mengelakkan mengantuk.

Kesan Ketidakpatuhan Terhadap Terapi Ubat-Ubatan

  1. Masalah kesihatan akan gagal dikawal. Akibatnya komplikasi kesihatan yang lain akan timbul. Contohnya, tekanan darah tinggi yang gagal dikawal boleh menyebabkan strok.
  2. Kesukaran untuk mengoptimumkan penjagaan kesihatan. Sebagai contoh, ada pesakit yang memaklumkan doktor mereka patuh terhadap terapi ubat yang diberikan, sedangkan mereka tidak patuh terhadap arahan pengambilan ubat tersebut. Walaupun doktor menambah jenis ubat untuk mengawal masalah tersebut, masalah kesihatan pesakit tetap tidak terkawal jika pesakit berterusan mengabaikan pengambilan ubat yang dipreskrib kepadanya.
  3. Pembaziran terhadap sumber. Bagi rakyat Malaysia yang mendapatkan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan kerajaan, kos ubat-ubatan ditanggung oleh peruntukan kerajaan. Peruntukan kerajaan datang dari hasil cukai dan keuntungan pelaburan negara. Bagi pesakit yang mendapatkan rawatan di premis kesihatan swasta, kos ubat-ubatan ditanggung oleh pesakit sendiri.

Walau dari mana pun sumber kos ubat-ubatan tersebut, baik dari peruntukan kerajaan mahu pun ditanggung pesakit sendiri, ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan tetap menyumbang kepada pembaziran. Pembaziran yang berlaku akan menafikan hak orang lain yang turut memerlukan sumber tersebut.

Langkah-Langkah Yang Diambil Untuk Memastikan Kepatuhan Terhadap Terapi Ubat-Ubatan

Terdapat pelbagai usaha telah dijalankan untuk menggalakkan kepatuhan ubat-ubatan di kalangan rakyat Malaysia seperti:

  1. Pelaksanaan polisi pembekalan ubat-ubatan untuk tempoh sebulan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia. Langkah ini diambil bagi membolehkan tahap pematuhan pesakit terhadap ubat yang dipreskrib dipantau dengan lebih berkesan.
  2. Perkhidmatan Klinik Kepatuhan Terapi Ubat (Medication Therapy Adherence Clinic – MTAC) di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.
  3. Khidmat kaunseling ubat-ubatan oleh ahli farmasi di semua fasiliti kerajaan dan swasta.
  4. Pengenalan formulasi yang menggabungkan dua jenis ubat ke dalam satu formulasi. Kombinasi dua jenis ubat dalam satu tablet boleh mengurangkan beban pil di kalangan pesakit.
  5. Pengenalan formulasi ubat modified release, extended release, slow release dan lain-lain. Formulasi sedemikian mengurangkan kekerapan pengambilan ubat-ubatan, seterusnya menyumbang ke arah kepatuhan terapi ubat.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Menghadapi Masalah Untuk Patuh Dengan Pelan Terapi Ubat-Ubatan?

Individu yang mengalami masalah dengan ubat yang dipreskrib kepada mereka, boleh berbincang dengan ahli farmasi atau doktor berkenaan masalah tersebut. Penyelesaian masalah dan terapi alternatif boleh dilaksanakan, bergantung kepada punca masalah tersebut. Perkara paling penting ialah, pesakit perlu jujur dengan memberitahu punca sebenar masalah tersebut supaya langkah penyelesaian yang terbaik boleh diambil.

Kesimpulan

Kepatuhan terhadap terapi ubat-ubatan sangat penting untuk memastikan masalah kesihatan pesakit dapat dikawal dan diatasi. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ketidakpatuhan terhadap terapi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, masalah tersebut boleh diatasi melalui perbincangan dan akomodasi di antara pesakit dengan ahli farmasi atau doktor.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Rujukan:

  • Osterberg L, Blaschke T (2005) Adherence to medication. N Engl J Med. 353(5):487-497
  • Ramli A, Ahmad NS, Paraidathatu T (2012) Medication adherence among hypertensive patients of primary health clinics in Malaysia. Patient Prefer Adherence. 6: 613–622.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box