Kerjasama Komuniti Penting Untuk Mengawal Wabak Anjing Gila- Dr Helmy Hazmi

 Latarbelakang

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian wabak anjing gila atau Rabies yang berlaku di Serian, Sarawak. Berbanding dengan wabak Rabies di bahagian utara semenanjung yang hanya melibatkan jangkitan di kalangan anjing pada tahun 2015, kes di Serian ini melibatkan nyawa manusia.

Penyakit Rabies pernah dilaporkan di Malaysia pada 1884 lagi. Namun penyakit Rabies hanya dicatat secara rasminya pada tahun 1924. Pada waktu tersebut, kebanyakan kes terjadi di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand.

Wabak Rabies pernah dilaporkan di Province Wellesley di Perak (kini Seberang Perai di Pulau Pinang) seawal tahun 1945 dan di Selangor pada 1952. Kejadian wabak ni telah mencetuskan Program Kawalan Rabies Kebangsaan yang telah berjaya membebaskan tanah Semenanjung dari penyakit Rabies. Namun demikian beberapa kes terpencil masih berlaku dan kes terakhir Rabies di kalangan manusia dilaporkan pada tahun 1998 sehinggalah kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Pada 2012, Persatuan Sedunia untuk Kesihatan Haiwan (World Association for Animal Health) telah menarafkan Malaysia sebagai bebas Rabies apabila kes terakhir yang melibatkan anjing berlaku pada 1999. Taraf ini bertahan sehinggalah kejadian wabak Rabies di kalangan anjing pada tahun 2015.

Tanda-tanda Rabies pada anjing

Umum mengetahui bahawa anjing yang berpenyakit Rabies berkelakuan “gila” dan ganas. Ganas kerana anjing tersebut menggigit sesiapa dan apa saja tanpa sebarang provokasi (unprovoked bites). Anjing tersebut mungkin juga mengalami sawan, takut dengan air, berbuih di bahagian mulut kerana tidak dapat menelan air liur dan perubahan pada nada salakan. Semua tanda ini dikatakan Rabies jenis ganas (furious).

Namun, ada satu lagi yang jarang dikenali oleh umum, iaitu, Rabies jenis lembab (dumb). Tanda-tanda dumb Rabies ini sedikit lain kerana anjing tersebut nampak tidak aktif, lembab, tidak mahu makan, tidak agresif dan kelumpuhan.

Walaupun nampak lembab, anjing yang mengalami dumb Rabies ini masih boleh menggigit dan menyebabkan jangkitan virus kepada manusia.

Tanda Rabies pada manusia

Tanda-tanda Rabies pada manusia termasuk demam, sawan, takut dengan air, takut dengan udara, tidak dapat menelan kerana berlakunya kejang otot semasa menelan, kesakitan semasa menelan, hiperaktif, rasa kesemutan atau tiada rasa di bahagian gigitan anjing dan kelumpuhan.

Buat masa sekarang, kadar kematian adalah hampir 100% jika pesakit menunjukkan tanda Rabies.

Memandangkan tanda Rabies hampir sama dengan penyakit ensefalitis (radang otak) dan meningitis (radang selaput otak), sejarah lengkap termasuk sejarah gigitan anjing perlu diberitahu kepada doktor merawat.

Mengapa penyakit ini kembali dan menyebabkan wabak?

Terdapat beberapa faktor setempat yang menyumbang kepada berlakunya wabak Rabies ini.

Malaysia dikelilingi oleh negara-negara yang endemik untuk penyakit Rabies. Kita juga mempunyai populasi anjing yang besar dan ini sudah tentu memudahkan penularan penyakit Rabies di Malaysia.

Di sempadan Malaysia dengan Thailand dan Indonesia, anjing-anjing berkeliaran tanpa had sempadan. Anjing yang dijangkiti virus Rabies dari negara jiran bergaul dengan anjing tempatan dan menyebabkan merebaknya jangkitan tersebut. Virus tersebut boleh memasuki perumah baru melalui luka kecil termasuk calar dari pergaduhan sesama anjing.

Pola kejadian Rabies pada manusia dan haiwan di negara jiran boleh memberikan sedikit gambaran kepada kita tentang risiko kejadian Rabies di negara kita.

Untuk Kalimantan yang bersempadanan dengan Sabah dan Sarawak, sebelum tahun 2014, 3 dari 4 provinsinya telah pun melaporkan kejadian Rabies di kalangan manusia dan haiwan. Provinsi Kalimantan Barat yang bersempadanan dengan negeri Sarawak merupakan provinsi yang terakhir yang bebas Rabies, sehinggalah pada tahun 2014 apabila beberapa kes Rabies telah dilaporkan di wilayah tersebut.

Kebanyakan anjing yang bertuan adalah anjing kampung yang tidak mempunyai rekod vaksinasi yang baik. Anjing-anjing ini akan terdedah kepada risiko Rabies apabila berinteraksi dengan anjing tidak bertuan (stray dogs) yang telah dijangkiti virus Rabies dari negara jiran. Interaksi ini biasanya berlaku pada waktu malam apabila ia dilepaskan ke luar rumah.

 

Selain kawasan sempadan, bolehkah Rabies menular ke kawasan bandar?

Sudah tentu Rabies boleh merebak ke kawasan bandar yang padat dengan penduduk. Anjing yang telah dijangkiti Rabies dikatakan boleh berjalan sejauh 1 sehingga 5 km sehari. Anjing sihat boleh melangkau lebih jauh dari itu. Dalam beberapa kajian pergerakan anjing secara geospatial, anjing dilaporkan boleh bergerak sejauh 120 km sehari.

Kemudahan jaringan pengangkutan awam turut boleh menyumbang kepada pergerakan anjing ini. Keretapi dan lori-lori kargo boleh menjadi kenderaan yang membawa anjing-anjing ini dari kawasan sempadan ke kawasan bandar atau ke tempat lain.

 

Cara manusia mendapat virus Rabies

Virus in boleh menjangkiti manusia melalui dua cara.

Pertama adalah melalui gigitan. Cara ini adalah yang paling biasa sekali. Luka yang terhasil dari gigitan tersebut akan terdedah kepada air liur anjing yang telah dicemari dengan virus Rabies.

Yang kedua adalah melalui pendedahan air liur anjing yang dijangkiti virus kepada permukaan mukosa manusia – seperti mata, hidung dan mulut. Cara ini boleh berlaku melalui jilatan anjing tersebut. Cara kedua secara teorinya boleh berlaku tetapi tidak kerap.

 

Waktu inkubasi yang panjang boleh mengelirukan

Jangka waktu inkubasi (incubation period) adalah tempoh masa dari pendedahan kepada virus kepada timbulnya tanda penyakit pada manusia atau haiwan.

Untuk anjing, tempoh inkubasi Rabies adalah dari 1 sehingga 3 bulan. Inkubasi yang paling pendek adalah 9 hari. Ini bermakna walaupun anjing telah dijangkiti virus melalui gigitan pada hari ini, tidak semestinya tanda Rabies akan muncul esok atau lusa. Ia mungkin kelihatan normal. Tanda gejala boleh muncul di antara 1 sehingga 3 bulan dari masa digigit tadi.

Tempoh inkubasi Rabies adalah sama bagi manusia. Seseorang yang digigit anjing yang dijangkiti Rabies mungkin mengalami tanda gejala 3 bulan selepas digigit. Luka kesan gigitan tersebut telah menjadi parut. Sejarah gigitan ini amat penting dan perlu diberitahu kepada doktor kerana tanda penyakit Rabies adalah hampir sama dengan jangkitan otak (ensefalitis) atau selaput otak (meningitis).

 

Tindakan pertama selepas digigit anjing

Selepas digigit anjing, tindakan pertama bukanlah pergi ke klinik berdekatan. Ini kerana masa perjalanan tersebut mungkin membahayakan pesakit tanpa kita sedari.

Selepas digigit anjing, pastikan luka dibasuh terlebih dahulu dengan kadar segera dengan air dan sabun yang banyak. Lakukan selama 15 minit. Tujuannya adalah untuk mengurangkan bilangan virus (viral load) pada luka tersebut dengan membasuh air liur anjing tadi. Ini membantu mengelak virus Rabies tadi dari memasuki sistem badan melalui saraf periferi.

Membasuh luka dengan segera amat penting, memandangkan kadar kematian pesakit yang menunjukkan tanda Rabies adalah hampir 100%.

Elakkan dari meletak bahan asing seperti serbuk cili, kari, gamat, aloe vera, krim luka atau membalut. Ini tidak membantu langsung. Balutan akan menggalakkan percambahan virus tadi. Lebih banyak virus yang membiak, maka lebih banyak peluang virus tersebut untuk memasuki saraf pada manusia.

Rawatan seterusnya seperti dengan menggunakan povidone iodin dan alkohol boleh dilakukan di klinik.

 

Tindakan seterusnya selepas digigit anjing

Sebarang gigitan anjing perlu dinilai dan dirawat di klinik berdekatan. Pesakit bukan sahaja mendapat rawatan, malah akan membantu memberitahu doktor atau petugas kesihatan tentang keadaan anjing tersebut. Rawatan khusus akan diberikan sekiranya anjing tersebut disyaki mempunyai Rabies.

Pesakit perlu mengetahui juga bahawa, kes gigitan anjing adalah dipantau melalui proses pantauan yang dipanggil surveilans gigitan anjing. Doktor, sama ada dari klinik kerajaan atau swasta perlu memberitahu kejadian gigitan anjing kepada Pejabat Kesihatan yang berdekatan. Ini kerana pantauan ini akan memberi maklumat kepada ahli epidemiologi untuk berwaspada sekiranya terdapat perubahan kelakuan kepada populasi anjing tempatan.

Apa yang boleh dilakukan untuk membendung Rabies

Risiko mendapat Rabies adalah lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai hubungan yang rapat dengan anjing – sama ada anjing peliharaan atau anjing tidak bertuan.

Tuan punya anjing perlu memastikan supaya anjing mereka mendapat vaksinasi sekiranya belum dan patuhi jadual vaksinasi yang diberikan. Vaksinasi untuk anjing boleh didapati dari jabatan haiwan malah dari klinik haiwan.

Tujuannya adalah untuk memastikan anjing tersebut terlindung dari Rabies apabila digigit oleh anjing yang mempunyai Rabies.

Pastikan juga tangan dibasuh selepas mengendalikan anjing kerana kandungan virus Rabies adalah paling tinggi pada air liur anjing.

Rujuk anjing yang sakit kepada veterinar untuk mendapat nasihat tentang kesihatan haiwan.

Tuan punya anjing perlu menambat anjing mereka pada waktu malam untuk mengelakkan anjing mereka dari bercampur gaul dengan anjing tidak bertuan atau liar. Ini terutamanya bagi mereka yang membela anjing di kampung yang berdekatan sempadan.

Anak anjing sememangnya menarik untuk diberikan sebagai hadiah kepada orang lain. Namun, penerima haruslah bertanggungjawab atas kesihatan dan kesejahteraan haiwan tersebut. Ini termasuk memastikan proses vaksinasi anjing dan proses pelupusan anjing sekiranya tidak mahu membela anjing tersebut lagi.

Untuk orang awam, jangan rapati anjing yang berkelakuan aneh – anjing yang nampak ganas atau sakit. Sekiranya tidak pasti, elakkan saja bertembung dengan anjing tersebut.

Taman perumahan yang mempunyai populasi anjing yang tidak bertuan perlu mendapatkan bantuan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan aktiviti kawalan populasi anjing.

Kebersihan memainkan peranan dalam membendung Rabies. Komuniti kawasan perumahan perlu memastikan sampah dimasukkan ke dalam tong sampah dan tidak bersepah. Sampah yang tidak dibuang dengan sempurna hanya mengundang anjing gelandangan yang seterusnya menambah populasi anjing tersebut.

Sebarang gigitan anjing perlu mendapatkan rawatan klinik. Gigitan anjing sebenarnya perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan tempatan untuk tujuan surveilans.

Rumusan

Kerja sama komuniti amat diperlukan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit Rabies. Tuan punya anjing perlu memastikan supaya anjing mereka mempunyai tahap kesihatan yang baik. Kebersihan harus dijaga. Peka dengan tahap kesihatan haiwan di sekeliling kita turut membantu. Diharap dengan ini, status bebas rabies akan kembali ke pangkuan negara.

Perumah Rabies selain anjing diseluruh dunia.

 

Sejarah Rabies di Indonesia

 

 

Penularan Rabies di Wilayah Kalimantan di Borneo.

 

 

Malaysia bebas Rabies sehingga tahun 2015

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box