Daripada pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tren kesdenggi di seluruh negara telah menunjukkan penurunan bermula pada pertengahan bulan Februari 2015. Pada minggu lepas iaitu minggu kelima belas (bagi tempoh 12 April sehingga 18 April 2015), sejumlah 1,370 kes denggi telah dilaporkan berbanding 1,557 kes pada minggu sebelumnya, menurun sebanyak 12% atau 187 kes. Jumlah kumulatif kes denggi dari bulan Januari sehingga 18 April 2015, adalah 37,071 kes, berbanding 27,562 kes bagi tempoh yang sama tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 5% (9,509 kes).
Sebanyak 4 kematian akibat denggi telah dilaporkan pada minggu lepas. Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian denggi dari Januari hingga 18 April 2015 adalah sebanyak 117 kematian, berbanding 64 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2014, meningkat sebanyak 53 kematian (82.8%).
Tren penurunan kes denggi untuk tempoh 9 minggu kebelakangan ini adalah merupakan hasil usaha bersepadu daripada semua pihak. Sehubungan itu, bagi mengekalkan tren penurunan ini, usaha-usaha untuk mencegah kejadian kes denggi perlu dilipat gandakan lagi.
Daripada pemantauan KKM, kemungkinan akan berlaku semula perubahan serotaip denggi pada bulan Mei dan Jun tahun ini sebagaimana yang berlaku pada tahun lepas. Sekiranya ini terjadi, adalah dijangkakan kes dan juga kematian denggi akan meningkat iaitu selepas empat bulan berlakunya perubahan serotaip tersebut. Ini disebabkan tahap imuniti masyarakat terhadap serotaip yang baru adalah rendah, dan seterusnya mereka akan mudah dijangkiti virus denggi serotaip baru tersebut.
Oleh yang demikian, sustainability aktiviti – aktiviti pencegahan perlu menjadi fokus utama. Dua bulan sebelum kes dijangka meningkat semula, aktiviti pencegahan akan ditingkatkan terutama menghapuskan tempat-tempat pembiakan Aedes yang melibatkan peranan komuniti, pelbagai Kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi kerajaan dan juga swasta.
Kempen Kebersihan Nasional juga perlu dilancarkan semula sama ada pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah dengan memfokuskan kepada mesej-mesej seperti “jangan membuang sampah merata-rata” dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes. Melalui kempen kebersihan ini, bukan sahaja masalah denggi dapat diatasi, malah semua penyakit yang berkaitan dengan kebersihan seperti leptospirosis dan juga keracunan makanan.
Sehubungan itu, semua Kementerian dan agensi-agensi yang lain diminta merangka pelan strategik Kementerian dan agensi masing-masing bagi menjayakan Kempen Kebersihan Nasional ini serta membentangkannya semasa Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Denggi yang akan datang.
Selain itu, aktiviti pencegahan kejadian kes denggi yang berkesan memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua anggota masyarakat. Oleh itu, penglibatan masyarakat ini perlu dipertingkatkan melalui penubuhan lebih banyak pasukan COMBI sama ada di bawah Kementerian Kesihatan atau Kementerian Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan terutama di lokaliti-lokaliti hotspot.