Ketagihan dadah (KD) adalah sejenis gejala kronik yang berulang melibatkan orang yang menyalahgunakan dadah akan terus mencari dadah walaupun keseronokan yang dirasai pada tahap asal penggunaan dadah semakin berkurang setelah pengambilan dadah untuk masa yang berpanjangan. KD menimbulkan beban sosial dan emosi yang ketara serta kos kewangan yang besar. KD sering dianggap disebabkan oleh kekurangan nilai moral. Kemajuan dalam penyelidikan otak menukar persepsi ini, dan memperkenalkan paradigma KD sebagai penyakit otak yang kronik.
Kini terdapat persefahaman bahawa KD adalah sejenis gangguan pembelajaran. Sesuatu sesi pembelajaran akan tidak lengkap tanpa mengingati apa yang sedang dipelajari. Begitu juga, KD adalah sejenis gangguan pembelajaran di mana “keseronokan” dan “perasaan positif” yang diberikan oleh sesuatu bahan dadah akan dipelajari oleh otak kita dan “keseronokan” tersebut dikaitkan dengan isyarat deria dan tingkahlaku (pengambilan dadah).
“Penggunaan dadah + keseronokan + perasaan positif” akan dijadikan sebagai satu pengalaman dan akan diingatkan setiap kali terdapat isyarat (deria) yang berkaitan dengan pengambilan dadah tersebut. Keseronokan dan perasaan positif yang dirasai setelah penggunaan dadah adalah disebabkan oleh berlebihan sejenis bahan kimia di otak yang dikenali sebagai dopamin. Dopamin yang berlebihan akan merangsang “sistem ganjaran otak (SGO)” dengan tinggi. SGO meneyebabkan seseorang merasai perasaan seronok seperti mendapat ganjaran yang hebat.
Fungsi SGO adalah amat penting untuk hidup dan lazimnya dalam aktiviti yang menimbulkan perasaan positif dan keseronokan seperti memakan, meminum dan menjalankan hubungan seks. Aktiviti-aktiviti ini akan diingati sebagai suatu ganjaran dan penting serta kerap akan terdapat keinginan untuk diulangi. Semasa penyalahgunaan dadah, tindakan pengambilan dadah akan diingati sebagai “ganjaran hebat” dan “amat penting” dimana tindakan pengambilan dadah akan diulangi oleh seseorang pada masa akan datang. “Kenangan pengambilan dadah” akan dikaitkan dengan isyarat otak seperti emosi (keseronokan) dan persekitaran (seperti di mana untuk memperolehi dadah) yang berkaitan dengan aktiviti pengambilan dadah.
Dr Jaya Kumar seorang pakar neurofisiologi dan pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia.
This is the personal opinion of the writer and does not necessarily represent the views of The Malaysian Medical Gazette.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]