Ketagihan Internet di Kalangan Kanak-kanak: Suatu Cabaran atau Masalah? – Dr Shaiful Ehsan

Photo by Tim Gouw on Unsplash

“Mak, nak main handphone!!! “  Ini sering kita dengar apabila anak-anak kita merasa bosan di rumah dan ingin bermain internet mahupun menonton video secara online. Penggunaan internet bukan sahaja terhad kepada golongan remaja dan dewasa, malahan kanak-kanak biarpun mereka belum memasuki alam persekolahan, sama ada dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan penjaga dan ibu bapa. Pada tahun 2013, Dailymail melaporkan hampir satu pertiga kanak-kanak menggunakan internet dan peralatan gajet seawal usia setahun. Apa yang memeranjatkan 70% daripada mereka berupaya menguasai penggunaan gajet ini sepenuhnya ketika di bangku sekolah rendah. Tidak mengejutkan kanak-kanak yang baru lahir juga kini boleh memiliki akaun media sosial mereka sendiri akibat galakan daripada ibu bapa. Adakah ini wajar? Sama ada ianya salah atau tidak, bergantung kepada tahap penggunaan dan tujuan ia digunakan. Pemantauan amatlah penting untuk mengelakkan ketagihan daripada berlaku.

Bagaimana statistik penggunaan internet di Malaysia?

Menurut kajian aseanup.com, hampir 21 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan internet setiap hari di mana 18 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial dan hampir lebih 41 juta merupakan pengguna aktif telefon pintar. Ini menunjukkan lebih daripada satu telefon dimiliki oleh kebanyakan pengguna.

Photo by rawpixel.com from Pexels

Bagaimana kanak-kanak boleh terjebak?

Tidak dinafikan kanak-kanak akan mengikut tingkah laku orang yang ada di sekeliling mereka. Orang yang rapat dengan mereka semestinya adalah ibu bapa mereka. Justeru, apa jua yang dilakukan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan kanak-kanak ini. Umum mengetahui statistik menunjukkan masyarakat umum sekarang sibuk dengan gajet dan penggunaan internet. Ini secara tidak langsung akan menjadi teladan oleh anak-anak.

 

Golongan kanak-kanak yang berisiko?

Setiap kanak-kanak sebernarnya berisiko untuk mengalami masalah ketagihan – terutamanya yang tidak mendapat perhatian ibu bapa. Ini kerana golongan ini cenderung untuk mendapatkan hiburan di alam maya kerana kurangnya keseronokan bersama keluarga. Ketagihan juga mudah terjadi pada kanak-kanak yang cenderung menggunakan internet tanpa henti lebih daripada 2 jam secara berterusan setiap hari.

Ketagihan atau penggunaan?

Definisi ketagihan adalah kegiatan yang berterusan terhadap internet yang perlu dilakukan di mana ianya mengganggu kehidupan seharian – menyebabkan tekanan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Justeru jika kanak-kanak tersebut asyik melibatkan diri pada kegiatan gajet dan internet sahaja sehingga mengabaikan tanggungjawab dan rutin harian yang lain – mereka termasuk dalam gejala ketagihan.

 

Photo by Artem Kim on Unsplash

Mengapa ketagihan berbahaya?

Kajian oleh Center for Disease Control and Prevention di Amerika Syarikatmenunjukkan penggunaan internet dan gajet secara melampau boleh menyumbang kepada penyakit autism spectrum disorderdan ‘Keadaan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan’ (Attention Deficit Hyperactive Disorder). Sejak dua tahun yang lalu, kedua-dua penyakit ini telah meningkat sebanyak 10%. Ini berikutan kurangnya interaksi dengan pertuturan dan pergaulan sosial menyebabkan mereka kurang rangsangan ke atas minda dan pemikiran mereka.

Ciri-ciri bahaya yang lain akibat ketagihan internet termasuklah tidak jujur dalam penggunaan internet, mula menipu ibu bapa mahupun penjaga agar dapat menggunakan internet, merasa marah atau cemas apabila dihalang dan akhirnya terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral atau berisiko tinggi.

Dari segi kesihatan sosial, ketagihan internet akan menyebabkan wujud rasa kesunyian dan tertekan di kalangan kanak-kanak, mudah rasa malu dan cemas apabila berada di khayalak ramai kerana kurang kebolehan untuk berkomunikasi dengan baik, cepat rasa penat dan letih kerana kurang tidur yang berkualiti dan akhirnya menyebabkan prestasi mereka merosot. Dari segi fizikal, mereka juga tergolong dalam golongan yang kurang aktif dan akhirnya menyebabkan masalah obesiti. Kanak-kanak ini juga mudah terjebak kepada aktiviti kenalan rambang, pornografi dan seks bebas.

Apakah langkah pencegahan daripada menjadi ketagihan?

Ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam mencegah masalah ini daripada terus berleluasa.  Langkah pencegahan bermula di rumah dengan meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak, senantiasa berinteraksi dengan anak-anak dan banyakkan aktiviti-aktiviti riadah bersama. Pastikan setiap aktiviti yang dilakukan menggembirakan dan menyebabkan anak merasa dihargai dan gembira. Galakkan juga anak-anak menyertai aktiviti sukan, pasukan berpakaian seragam (ber-uniform) dan kerja-kerja sosial untuk membolehkan anak-anak menyibukkan diri dengan aktiviti luar di samping meningkatkan jatidiri dan rasa tanggungjawab pada masyarakat.

Elakkan pemberian gajet pada peringkat umur yang awal, biarpun sekadar untuk bermain atau menonton video. Tontonan video hanya boleh diperkenalkan selepas usia tiga tahun dan hanya dengan tontonan bersama-sama ibu bapa atau penjaga, bukan bersendiri. Program yang ditonton juga hendaklah bermutu dan bercorak pembelajaran. Namun, hadkan masa menonton kepada satu jam sahaja. Banyakkan permainan membina minda seperti lego dan kiub susunan pada usia dua tahun.

Ibu bapa juga perlu melakukan pemantauan penggunaan komputer di rumah dengan menetapkan penggunaan masa tertentu yang dipersetujui antara pihak anak dan ibu bapa. Letakkan ruangan penggunaan komputer di ruang tamu atau di ruang yang boleh dilihat oleh pihak ibu bapa. Jangan meletakkannya di ruang bilik. Ibu bapa juga boleh menghadkan penggunaan internet dengan mengunakan pakej saiz modem yang lebih kecil seperti berbentuk harian atau mingguan untuk mengelakkan anak-anak daripada menggunakan internet untuk tujuan yang lain. Untuk mengekang anak-anak daripada melayari laman web yang melalaikan, pihak ibu bapa juga boleh memuatnaik program yang dapat menapis laman sesawang agar lebih selamat dan sesuai untuk pembelajaran anak-anak.

Sememangnya agak sukar untuk mendisiplinkan anak-anak agar mengikut undang-undang apabila  menggunakan gajet. Namun pihak ibu bapa dan penjaga boleh menggunakan kaedah “reward system” di mana memberikan penghargaan dalam bentuk skor atau bintang sekiranya anak-anak berkelakuan baik dan mengikut arahan apabila menggunakan gajet. Melalui kaedah ini, carta dipaparkan di ruang bilik anak-anak agar anak-anak dapat melihat jumlah skor yang telah diperolehi untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dan rasa teruja untuk kekal disiplin. Setelah mencapai jumlah skor yang telah dipersetujui bersama anak-anak, hadiah yang besar perlu diberikan samada dalam bentuk aktiviti perkelahan atau beriadah di luar bersama-sama.

Langkah bersama dengan pihak sekolah juga amatlah penting untuk mengekang ketagihan internet. Ini termasuklah mempraktikkan teknik pengajaran dan pembelajaran yang seimbang dengan kaedah perbincangan dan kerja amali berbanding penggunaan gajet dan internet semata-mata. Pihak sekolah juga boleh menjadi pemantau kedua keadaan pelajar di mana melaporkan dengan kadar segera kepada pihak ibu bapa jika adanya keadaan pelajar yang mencurigakan dan menghadkan penggunaan gajet atau komputer pada masa yang tertentu sahaja.

Apa boleh dilakukan jika kanak-kanak meronta untuk mendapatkan gajet?

Sekiranya ibu bapa berterusan mengikut kehendak anak-anak dengan memberikan gajet bila dipinta – ini tidak akan mengekang kitaran gajet dan ketagihan yang bakal berlaku. Justeru, ibu bapa harus bertindak. Langkah bijak adalah dengan membiarkan mereka sebentar dan memberikan ruang kepada anak-anak untuk meronta, mengalihkan perhatian anak-anak tersebut kepada aktiviti yang lain seperti membawa mereka keluar sebentar, berbincang atau bercakap dengan mereka dengan nada yang tenang atau membuat aktiviti baru. Akhirnya, memeluk mereka dan memuji mereka apabila mereka berhenti meronta. Wujudkan aktiviti rutin harian yang menghiburkan sebagai perisai supaya anak-anak tidak lagi gemar menggunakan gajet berlebihan apabila merasa bosan.

Justeru, ini jelas menunjukkan penggunaan internet di kalangan kanak-kanak bukanlah suatu masalah, tetapi cabaran yang mampu dikawal agar memberi manfaat kepada kanak-kanak itu sendiri. Marilah kita bersama-sama menggunakan internet dan gajet dengan bijak.

Dr. Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

 

Rujukan:

1) Greenfield D.N. Treatment Considerations in Internet and Video Game Addiction: A Qualitative Discussion. Child Adolescent Psychiatric Clinic of North America. 2018. 27(2):327-344.

2) Salicetia F. Internet Addiction Disorder. Procedia – Social and Behavioral Sciences. 2015. 191(2): 1372-1376.

3) Cash H., Rae C.D., Steel A.H., Winkler A. Internet Addiction: A Brief Summary of Research and Practice. Current Psychiatry Review. 2012. 8(4): 292–298.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box