Sedarkah anda, bahawa kita semua adalah “Perokok”? Apa perlu dilakukan?
Adakah anda merasakan jumlah perokok di dunia umumnya dan di Malaysia khususnya semakin berkurangan? Adakah anda yakin bahawa masyarakat dunia semakin sedar akan bahaya merokok? Anda yakin usaha mengekang gejala merokok sangat berkesan? Adakah anda rasa duduk di rumah masih selamat? Anda tidak perlu berasa bimbang?
Anda ternyata silap besar!
Statistik menunjukkan peratusan perokok tegar semakin meningkat biarpun penigkatan penyakit tidak berjangkit seperti serangan jantung dan kegagalan buah pinggang kini amat membimbangkan. Secara global, peningkatan perokok di dunia amat berleluasa terutama di kalangan remaja. Ini telah menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil langkah drastik pada 2013 dengan menyarankan pengharaman iklan merokok di media dan penghapusan segala bentuk tajaan berunsur rokok. Sehingga 2013, hampir lebih ribuan juta perokok terdapat di seluruh dunia. Ini seiring dengan data di Malaysia di mana peratusan perokok meningkat kepada hampir 25% dan merupakan angka yang tertinggi sejak Tinjauan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2006.
Selepas kegagalan program ‘Tak Nak’ pada 2004, penghebahan mengenai hukum dan fatwa pengharaman merokok di kalangan masarakat muslim di Malaysia kini nyata tidak memberi kesan biarpun fatwa itu telah dikeluarkan sejak 1995 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tidak hairanlah biarpun jumlah klinik berhenti merokok telah pun dilipat gandakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, namun jumlah perokok yang ingin berhenti merokok amat menduka-citakan. Apakah kita masih berasa selesa dengan keadaan ini? Ini bukan masalah kita kerana keluarga kita tidak merokok? Anda pasti? Anda pasti anda dan keluarga anda bukan perokok?
Percaya atau tidak, kita semua adalah perokok…”Perokok ketiga”. Justeru, sila ambil peduli. Perokok pertama adalah mereka yang aktif merokok dan menghidu asap rokoknya sendiri. Perokok kedua atau pasif pula adalah mereka yang menghidu asap rokok yang dibebaskan oleh perokok pertama. Manakala perokok ketiga adalah mereka yang terdedah pada saki baki bahan rokok yang tersisa selepas ditinggalkan oleh perokok pertama dan kedua. Sedar atau tidak, hampir semua penghuni dunia kini adalah perokok ketiga….
Ini kerana bahan-bahan dari asap rokok sangat halus, lebih halus dari sehelai rambut dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Bahan-bahan rokok ini mudah terlekat di bangku, sofa, lantai, langsir mahupun permaidani, biarpun selepas berjam-jam telah ditinggalkan oleh perokok pertama. Sebagai contoh, sekiranya kita duduk di kawasan yang telah dilalui oleh peredaran asap rokok, saki baki dari asap tersebut boleh melekat pada badan dan pakaian kita, maka terjadilah kita perokok ketiga. Bersalaman dan berkomunikasi dengan perokok pertama juga boleh memindahkan bahan-bahan rokok kepada kita. Anak-anak riang yang berpelukan dengan ayahnya yang baru pulang dari bekerja juga akan terdedah pada asap rokok yang sudah melekat pada baju ayahnya, biarpun ayahnya buka perokok pertama. Ya kita semua adalah perokok ketiga yang malang!!!!
Adakah ia merbahaya? Saki-baki asap rokok yang melekat pada kulit, anggota badan dan pakaian kita sangat sukar untuk dikesan. Namun, risikonya sama seperti yang bakal dialami oleh perokok pasif. Kajian meunjukkan saki-baki asap rokok ini mengandungi bahan-bahan yang sama seperti yang terdapat dalam rokok asal. Malah, apabila ianya bertidakbalas dengan udara, ia boleh membentuk bahan yang sangat berbahaya pada kesihatan. Ia boleh meningkatkan risiko mendapat masalah pernafasan seperti asthma, resdung dan kanser paru-paru, merosakkan kesihatan kanak-kanak dan merencat perkembanagn otak bayi.
Jadi apakah yang kita boleh lakukan sebagai perokok ketiga? Sesungguhnya, tidak ada cara yang lain melainkan cuba untuk membebaskan diri kita dari menjadi perokok ketiga. Kita tidak boleh memaksa orang lain berubah, tetapi kita boleh mengubah diri kita dan mencetuskan perubahan terhadap keadaan sekeliling.
Pertama, untuk mengekang pertambahan perokok ketiga, kita perlu mengelakkan diri daripada menjadi perokok kedua. Dengan secara tidak langsung, kita tidak membawa pulang saki baki asap rokok ke rumah dan tidak menyebabkan keluarga kita menjadi perokok ketiga. Elakkan daripada melalui kawasan yang penuh dengan asap-asap rokok. Dengan kata lain, jangan duduk berdekatan dengan perokok pertama. Sekadar menutup hidung tidak mencukupi kerana biarpun kita mencuba untuk mengelakkan asap daraipada memasuki udara pernafasan kita, asap rokok tersebut masih boleh melekat ke atas baju kita. Misalnya, sekiranya anda berada di stesen bas, dan tiba-tiba seorang perokok sedang menghisap rokok di sebelah anda, teruslah beredar dari situ. Lebih elok jika kita beredar pada saat ketika perokok belum lagi menyalakan rokok.
Kedua, pilihlah premis atau kedai yang mengamalkan dan mengistiharkan premisnya sebagai kawasan larangan merokok. Dengan ini, anda akan 100% yakin bahawa kawasan yang akan anda duduki itu bebas daripada saki-baki asap rokok. Elakkan makan di restoran yang membenarkan aktiviti merokok mahupun di luar premis. Apatah lagi elakkan daripada membeli makanan atau bahan mentah daripada penjual yang sedang merokok. Pernahkah anda melihat penjual pasar tani mahupun pemotong ayam di pasar awam sibuk bekerja sambil menghisap rokok? Ya, elakkan daripada membeli di situ kerana kita tidak mahu membawa pulang bahan rokok ke dapur dan masakan kita .
Langkah ketiga pula termasuk menjaga kebersihan tangan dan badan. Galakkan pembersihan diri dan tangan selepas tiba di rumah. Kita tidak pasti sekiranya kita ada tersentuh atau sudah berada di kawasan yang pernah dilalui perokok. Jadi, cara terbaik adalah membasuh tangan sejurus pulang di rumah dan menyalin pakaian terlebih dahulu, sebelum menyentuh anak-anak kita atau membuat kerja-kerja yang lain di rumah. Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan saki-baki asap dan bahan rokok yang telah melekat pada badan dan pakaian kita. Sekaligus dapat mengurangkan pendedahan bahan rokok kepada ahli keluarga dan mengurangkan jumlah perokok ketiga setelah tiba di rumah.
Keempat, nyatakan hak-hak kita sebagai insan bukan perokok dengan tegas. Sekiranya kita sedang makan di kawasan awam, dan tiba-tiba ada orang yang sedang duduk berdekatan dengan kita dan ingin merokok, teruslah memberitahu perokok tersebut untuk tidak merokok di situ. Nyatakan dengan nada yang baik tetapi tegas. Saya yakin, perokok tersebut akan menghormati permintaan kita. Apatah lagi jika perokok tersebut merokok di kawasan larangan merokok. Berdiam diri bermaksud kita membenarkan keadaan tersebut menjadi berleluasa. Jadi beranikanlah diri kita untuk menyatakan hak kita. Gunakanlah alasan yang wajar seperti kerana anda hendak menjamu selera atau ada membawa anak-anak bersama.
Kelima, berikan nasihat yang betul dan berterusan. Mulai hari ini, jangan lagi menasihatkan para ayah untuk merokok di luar rumah sahaja. Ini adalah salah dan seolah-olah menghalalkan pengharaman merokok. Tetapi nasihatkanlah para ayah untuk berusaha berhenti merokok. Namun, sementara menunggu proses pemberhentian itu berlaku, perlulah para ayah merokok di luar rumah. Ini kerana seperti yang kita tahu, asap rokok akan melekat pada badan ayah dan akan dibawa ke dalam rumah dan akhirnya sampai kepada anak-anak. Halaman rumah juga akan ada terdapat saki-baki asap rokok tersebut dimana satu hari nanti anak-anak kita pasti akan bermain di halaman tersebut. Justeru, merokok di luar rumah sahaja bukanlah langkah pencegahan, tetapi langkah sementara, dan jalan penyelesaian sebenar adalah berhenti merokok. Dengan memahami konsep ini, secara tidak langsung perokok akhirnya akan terdorong untuk berhenti merokok. Kajian meunjukkan antara faktor yang menyebabkan seseorang itu berupaya berhenti merokok adalah kerana dorongan keluarga. Justeru, memahami konsep perokok ketiga mampu memberi inspirasi kepada ibubapa untuk segera berhenti merokok.
Seterusnya, elakkan kata-kata cacian dan pandangan negatif kepada perokok pertama. Perokok ketiga perlu memberikan galakan yang jitu pada ahli keluarga yang merokok untuk berhenti merokok. Kajian menunjukkan ucapan dan dorongan yang berterusan mampu menaikkan inisiatif dalaman perokok untuk akhirnya berhenti merokok. Galakkan mereka memilih tarikh yang sesuai seperti bulan puasa (Ramadhan) atau ulangtahun perkahwinan mahupun hari jadi sebagai sasaran mereka untuk berjaya. Sesungguhnya, ketagihan merokok adalah sejenis penyakit yang mana memerlukan ubat. Nasihat semata-mata mungkin tidak mencukupi untuk mengubati penyakit ini. Kajian menunjukkan nasihat berserta ubat mampu menggalakkan keberkesanan berhenti merokok. Kini terdapat rawatan ubat yang disediakan oleh pihak klinik berhenti merokok dan juga klinik paru-paru di hospital kerajaan di mana perokok tegar boleh mendapatkannya dengan percuma. Oleh itu, perokok boleh mengambil ubat tersebut sebelum tiba tarikh yang telah ditetapkan untuk mula berhenti merokok. Teruskan memberi pujian kepada para perokok yang berjaya mengurangkan jumlah rokok yang digunakan dalam sehari, biarpun jika hanya berjaya mengurangkan sebatang rokok. Ini kerana kajian menunjukkan pujian yang berterusan mampu menaikkan semangat dan keyakinan diri seseorang untuk berubah kearah kebaikan. Cubalah memahami keadaan perokok pertama yang sedang berada dalam proses berhenti merokok. Perokok ketiga haruslah arif tentang gejala-gejala yang bakal ditunjukkan oleh perokok pertama akibat ketiadaan nikotin dan juga perubahan fisiologi badan seperti cepat berasa marah, panas, tidur yang terganggu mahupun pertambahan selera makan.
Seterusnya, buatlah pilihan yang bijak dalam memilih kawan. Kerana kita bukan sahaja akan menjadi perokok kedua, bahkan akan terjebak dengan gejala merokok jika kita berkawan dengan para perokok pertama. Sekiranya ada antara ahli keluarga kirta yang ingin berhenti merokok, mintalah ahli keluarga kita itu menyatakan hasratnya itu kepada rakan-rakannya juga. Dan jika perlu, berhijrahlah dan mencari kawan yang baru yang boleh membantu dalam proses berhenti merokok dan mengekalkan hidup tanpa asap rokok. Ibu bapa juga perlulah mengambil berat akan perihal tingkah laku anak-anak dan mengambil tahu akan siapakah kawan-kawan anak mereka.
Kesimpulannya, usaha merealisasikan impian untuk mewujudkan dunia bebas dari asap rokok perlu bermula dari diri sendiri. Biarpun tenaga dan peranan dari semua pihak perlu digembeling bersama, namun semuanya bermula dari sikap individu. Janganlah kita lupa untuk berdoa kepada tuhan dan bertafakkur setiap hari, semoga kita dan keluarga kita diberi kesihatan yang baik dan terhindar daripada bahaya asap rokok. Akhir kata, jangan sesekali mencuba merokok!
Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.
Dr Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Artikel ini ditulis sempena Hari Bebas Tembakau Sedunia yang akan berlangsung pada 31 Mei 2015.
Rujukan:
- CDC, C. f. D. C. a. P. (2015). “Smoking and Tobacco Use.” Centers for Disease Control and Prevention Retrieved 15 February, 2015, from cdc.gov/tobacco/.
- NHMS (2011). National Health Morbidity Survey Fact Sheet 2011, Institute of Public Health.
- UpToDate (2015). “UpToDate Control of Secondhand Smoke Exposure” Retrieved from http://www.uptodate.com/contents/control-of-secondhand-smoke-exposure
- University of California (2014). “Third-hand Smoke Just as Deadly as First-hand Smoke, Study Finds.” Science News Retrieved from http://www.sciencedaily.com/
- WHO, W. H. O. “Prevalence of Tobacco Use.” Global Health Observatory Data Retrieved 15 February, 2015, from http://www.who.int/gho/tobacco/use/en/.
- WHO, W. H. O. (2013). “WHO Report on the Global Tobacco Epidemic, 2013 – Enforcing Bans on Tobacco Advertising, Promotion and Sponsorship “.
- WHO, W. H. O. (2014, May 2014). “Tobacco Fact Sheet.” Media Fact Sheets Retrieved 15 February, 2015.
- World Health Organization, W. (2001). “Encouraging People to Stop Smoking.” Behavioural Science Learning Modules.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]