Klinik Kepatuhan Pengubatan Atau Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) – Noorazlinda Yacob

Sumber: www.globalgiving.org

Sumber: www.globalgiving.org

Kepatuhan pada ubat-ubatan adalah penting bagi memastikan pesakit mendapat kesan teraputik ubat yang optimum, mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan kualiti kesihatan bagi jangka masa panjang. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa lebih 50% pesakit diabetes yang dirawat di klinik-klinik kesihatan seluruh Malaysia tidak patuh pada pengambilan ubat-ubatan yang diberikan. Faktor lanjut usia, kurang pengetahuan mengenai ubat-ubatan dan menghidap pelbagai jenis penyakit lain merupakan pendorong utama pesakit tidak patuh pada ubat-ubatan.

Dalam usaha meningkatkan tahap kepatuhan pesakit pada ubat-ubatan, satu inisiatif telah dibuat oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dengan memperkenalkan Klinik Kepatuhan Pengubatan atau lebih dikenali sebagai Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC). Konsep asas MTAC adalah untuk menambah pengetahuan berkenaan terapi ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit. Faktor pembolehubah ini amat penting dalam menentukan sama ada pesakit patuh atau tidak pada ubat-ubatan mereka dalam jangka masa panjang. Jika pesakit lebih faham mengenai keperluan ubat yang diambil, keberangkalian untuk pesakit lebih patuh pada pengambilan ubat-ubatan mereka adalah lebih tinggi. Oleh itu, MTAC menekankan pengurusan ubat-ubatan yang lebih teratur bagi memperbaiki penjagaan pesakit dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan kos.

Melalui klinik ini, kolabrasi atau multidisiplinary approach antara pelbagai pengamal kesihatan terutamanya pegawai perubatan, pegawai farmasi dan jururawat diwujudkan. Lazimnya, pegawai perubatan akan merujuk pesakit yang bermasalah atau tidak patuh pada ubat-ubatan kepada pegawai farmasi yang bertugas di MTAC. Walau bagaimanapun, pegawai farmasi turut boleh mengenalpasti pesakit ini secara terus tanpa menunggu surat rujukan.

Pegawai farmasi akan mengkaji punca-punca pesakit tidak patuh pada ubat-ubatan yang diambil dengan membuat sesi temu bual khas bersama pesakit atau keluarga pesakit. Demografi, sejarah penyakit, sejarah pengubatan pesakit, teknik, cara pengambilan dan pengalaman pesakit semasa mengambil ubat akan dikaji sehingga punca masalah pesakit berkaitan dengan terapi ubat-ubatan ini dapat dikenalpasti. Setelah masalah ini dikenalpasti, satu rangka kaunseling yang spesifik kepada pesakit tersebut akan dirancang. Kaunseling dan pendidikan kepada pesakit akan dibuat secara terperinci dan sistematik mengikut keperluan.

Sesi rawatan atau kaunseling tidak hanya terhad kepada satu sesi. Ia lazimnya akan melibatkan beberapa sesi perjumpaan dengan pegawai farmasi bagi memastikan pesakit benar-benar faham berkenaan keperluan ubat yang diambil dan seterusnya menyakinkan pesakit untuk patuh pada tatacara pengambilan ubat-ubatan yang diambil dengan betul. Pada setiap sesi, tahap kepatuhan pesakit akan diukur bersama-sama dengan beberapa parameter klinikal yang penting. Pesakit juga bebas untuk melaporkan sebarang kesan sampingan ubat-ubatan jika ada. Jika terdapat ketidakserasian ubat, pegawai farmasi akan membuat cadangan pengubahsuaian regimen kepada pegawai perubatan.

Syor pengubahsuaian dos bagi ubat-ubat yang relevan akan diberikan kepada pegawai perubatan bagi memastikan pesakit mendapat kesan ubat-ubatan yang optimum selain mengurangkan kesan sampingan dan kekeliruan di kalangan pesakit. Syor pengubahsuaian ini adalah berdasarkan keadaan pesakit tersebut, keputusan farmakokinetik klinikal bagi ubat-ubatan tertentu dan pemantauan parameter klinikal yang dilakukan secara berterusan. Penglibatan pegawai farmasi dalam aspek ini membantu memastikan ubat-ubatan yang digunakan adalah selamat, berkesan dan kos-efektif. Di samping itu, kekeliruan pesakit mengenai kekerapan pengubahsuaian regimen atau kompleksnya regimen akan dapat dikurangkan.

Keberkesanan MTAC dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit telah berjaya dibuktikan dalam beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini. Antaranya ialah kajian daripada Hospital Pulau Pinang yang melibatkan pesakit diabetes yang telah dirawat di klinik MTAC sehingga lapan kali rawatan susulan. Peningkatan tahap kesihatan yang signifikan dibuktikan melalui beberapa parameter penting iaitu penurunan paras gula (HBA1c dan fasting blood glucose) dan paras kolesterol (LDL). Tahap kepatuhan pesakit yang diukur melalui Modified Morisky Adherence Scale (MMAS) juga telah menunjukkan peningkatan yang ketara dan signifikan. Ini menunjukkan pesakit lebih patuh pada pengambilan ubat-ubatan dan seterusnya meningkatkan tahap kesihatan pesakit dalam jangka masa panjang.

Sehingga kini, hampir kesemua hospital utama dan klinik kesihatan utama negeri di seluruh Malaysia telah menawarkan perkhidmatan MTAC. Jenis MTAC adalah seperti MTAC diabetes (DMTAC), MTAC darah tinggi, MTAC sistem pernafasan (RMTAC), MTAC bagi HIV dan hepatitis (MTAC HAART), MTAC psoriasis, MTAC buah pinggang, MTAC transplant dan MTAC antikoagulan. Kebanyakan perkhidmatan yang diwujudkan adalah bertujuan membantu pesakit-pesakit kronik yang mengambil pelbagai jenis ubat. Tiada bayaran dikenakan bagi pesakit yang dirujuk ke MTAC dan pesakit boleh datang secara sukarela (walk-in) jika berminat.

Jadi, tunggu apa lagi? Bertanyalah tentang perkhidmatan MTAC di fasiliti hospital dan klinik kesihatan kerajaan berdekataan dengan anda.

Noorazlinda bt Yacob adalah seorang pegawai farmasi yang bertugas di hospital kerajaan di Melaka.

Rujukan:

  • Nur Sufiza A.,Azuana R., Farida I., Thomas P. Medication Adherence in patients with type 2 diabetes mellitus treated at primary health clinic in Malaysia. Patient Preference and Adherence 2013:7 525-530.
  • Lim PC, Lim K. Evaluation of a pharmacist-managed diabetes medication therapy adherence clinic. Pharmacy Practice (Internet) 2010 Oct-Dec; 8 (4) 250-254.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box