Komplikasi Alkohol Kepada Fisiologi Tubuh Badan Manusia – Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim

Apakah itu minuman beralkohol?

Minuman beralkohol adalah minuman yang mengandungi etanol dan wujud di pasaran dalam pelbagai bentuk dan nama seperti bir, wain, vodka, brandy, wiski, rum dan lain-lain bergantung kepada sumber asal alkohol (bijirin, sayur-sayuran atau buah-buahan) dan proses penapaian yang dilakukan untuk menghasilkan alkohol. Alkohol cenderung untuk diambil secara berlebihan kerana alkohol boleh menyebabkan tubuh badan bergantung kepadanya dan akhirnya menjurus kepada ketagihan. Di sebalik pelbagai usaha mempromosi minuman beralkohol oleh syarikat pengeluar melalui normalisasi iklan mahupun tajaan dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat, hakikat bahawa pengambilan alkohol mempunyai komplikasi negatif kepada fisiologi tubuh badan baik dalam jangka masa dekat mahupun panjang tidak boleh dipandang ringan.

 

Alkohol merosakkan fungsi hati.

Hati adalah organ penting yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk menghasilkan protein untuk pembekuan darah, menghasilkan hempedu untuk memproses lemak dan menapis darah dari saluran penghadaman sebelum masuk ke sistem peredaran darah utama ke seluruh badan. Hati juga berperanan memproses serta membuang bahan kimia untuk dikeluarkan dari sistem tubuh badan, termasuk alkohol. Proses metabolisme alkohol ini menyebabkan kecederaan kepada sel-sel hati, melalui peningkatan tekanan oksidatif dan penghasilan asetaldehid hasil dari tindak balas kimia alkohol. Penyakit hati berkaitan alkohol boleh wujud dalam pelbagai bentuk spektrum, bermula dari penyakit hati berlemak (steatosis), kepada sirosis; tisu hati normal diganti oleh tisu parut yang tidak berfungsi dan ke tahap yang lebih serius iaitu kanser. Kegagalan hati untuk berfungsi secara normal akan menyebabkan tanda penyakit seperti jaundis, pendarahan, kandungan cecair berlebihan di bahagian perut dan kaki kerana kandungan protein yang kurang dalam plasma darah.

 

Alkohol menjejaskan sistem pencernaan.

Alkohol yang diminum, akan diserap ke dalam sistem pencernaan kemudian masuk ke dalam saluran darah dan mengalami proses metabolisme di sel hati. Alkohol boleh menyebabkan radang pada sistem pencernaan khususnya di bahagian perut. Hal ini kerana alkohol menyebabkan lapisan mukosa yang melindungi sel perut dari cecair asid terhakis, seterusnya meningkatkan risiko luka pada bahagian sel yang terdedah kepada tindakan cecair asid di dalam perut. Dalam masa yang sama, alkohol juga adalah bahan perangsang untuk meningkatkan penghasilan asid di dalam perut. Penghasilan asid yang berlebihan dan kelemahan sistem pertahanan mukosa meningkatkan risiko gastritis dan ulser perut yang menganggu fungsi normal pencernaan. Pesakit akan mengalami simptom seperti
sakit perut, muntah, loya, tidak selera makan dan pendarahan ulser.

 

Alkohol menyebabkan gangguan sistem saraf

Pengambilan alkohol berlebihan boleh menyebabkan kerosakan  fungsi sistem saraf dan otak yang dapat dilihat dalam jangka masa dekat mahupun jangka masa panjang. Umum menyetahui, pengambilan alkohol boleh menyebabkan mabuk, yang mana seorang itu mengalami gangguan fungsi kognitif, pergerakan dan koordinasi. Hal ini mengurangkan kebolehan seseorang untuk berfikir, menganalisa dan mengawal tingkahlaku mereka. Situasi ini meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, aktiviti pergaduhan dan salah laku lain. Untuk jangka masa pnajang pula, alkohol menyebabkan keradangan sistem saraf, dan meningkatkan maklum balas sistem pertahanan badan, yang menyebabkan kematian sel saraf dan otak. Imbasan otak akan menunjukkan saiz otak yang mengecil (brain atrophy) kesan dari pengambilan alkohol secara berlebihan. Bergantung kepada bahagian saraf otak yang terjejas, tanda-tanda kerosakan saraf disebabkan alkohol akan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang, apabila seorang itu hilang keupayaan berfikir dan juta kemerosotan kemahiran yang melibatkan kawalan otot dan pergerakan.

 

Alkohol menyebabkan komplikasi sistem jantung dan tekanan darah tinggi

Pengambilan alkohol secara berlebihan meningkatkan risiko penyakit jantung khususnya kardiomiopati. Alkohol menyebabkan kematian sel otot jantung melalui mekanisme apoptosis, dan nekrosis otot jantung, dan proses untuk membaik pulih otot jantung berulang kali akhirnya menyebabkan saiz jantung membesar dan mengeras (fibsosis). Akibatnya, jantung tidak dapat mengepam darah secara berkesan ke seluruh tubuh badan. Alkohol juga menyebabkan tekanan darah meningkat kerana bahan ini akan mencederakan lapisan dinding salur darah, meningkatkan penghasilan tekanan aksidatif dan mengaktfikan tindak balas simpatetik yang menyebabkan salur darah menjadi lebih sempit. Kesannya, tekanan yang lebih tinggi diperlukan untuk mengalirkan darah ke seluruh badan.

 

Apa tindakan kita?

Tidak dapat dinafikan, kesan alkohol kepada tubuh badan manusia turut bergantung kepada jumlah pengambilan dan tempoh masa alkohol diambil. Risiko lebih tinggi kepada yang mengambil alkohol secara berlebihan, secara kerap dan dalam tempoh masa lebih lama. Kerana itu, usaha pencegahan banyak mensasarkan generasi muda, untuk mencegah mereka terhindar dari terlibat dengan alkohol pada usia yang masih muda. Justeru, tindakan sesetengah pihak yang cuba menormalisasikan penglibatan syarikat pengeluar minuman keras sebagai pihak yang memberi sumbangan dan tajaan kepada institusi pendidikan, merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab. Tindakan ini mendedahkan pelajar kepada promosi alkohol secara tidak langsung. Kesihatan dan masa hadapan generasi muda harus menjadi keutamaan, berbanding tawaran wang dan material.

Kesimpulannya, kesan buruk alkohol kepada fisiologi tubuh badan manusia merentas sempadan agama, bangsa dan geografi. Semua pihak harus tegas dalam memperkasakan polisi sedia ada dengan melarang sebarang bentuk pengiklanan secara langsung aktiviti melibatkan minuman alkohol, tambahan lagi di pusat-pusat institusi pendidikan negara di semua peringkat.

 

Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim seorang pensyarah fisiologi di Kulliyyah Perubatan, International Islamic University Malaysia dan aktivis I-Medik Pahang.

 

Rujukan

  1. Liu SY, Tsai IT, Hsu YC. Alcohol-related liver disease: basic mechanisms and clinical perspectives. International journal of molecular sciences. 2021 May 13;22(10):5170.
  2. Lees B, Meredith LR, Kirkland AE, Bryant BE, Squeglia LM. Effect of alcohol use on the adolescent brain and behavior. Pharmacology Biochemistry and Behavior. 2020 May 1;192:172906.
  3. Fernández-Solà J. The effects of ethanol on the heart: alcoholic cardiomyopathy. Nutrients. 2020 Feb 22;12(2):572.

(Penafian umum: Pendapat yang diberikan di dalam artikel adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat pihak MMG.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box