Kudis Buta dan Masyarakat yang Tidak Buta – Nur Nabiila Masfuzah

child-foot-scabiesBalik ke kampung tempoh hari, ibu saudara saya datang menemui saya dan suami. Menunjukkan keadaan anaknya yang mana masing-masing kelihatan menggaru-garu sana sini.

Apabila diteliti, kelihatan ruam-ruam kecil malahan ada yang sudah kelihatan berkeruping. Biasalah budak-budak, bila gatal, digarulah. Apa lagi mahu? Ibu saudara memberitahu saya bahawa kesemua 7 anaknya mengalami simptom yang sama lebih-lebih lagi selepas berpeluh.

Selepas diteliti, kami mendapati sepupu-sepupu kami dijangkiti scabies ataupun dikenali sebagai kudis buta.

Jika di kampung, masa zaman kanak-kanak dulu, selalu saya tengok orang terutamanya kanak-kanak yang terkena kudis buta. Saya salah seorang daripadanya. Mana tidaknya, main lumpur pun itu saya, memancing pun itu saya, malahan memanjat pokok rambutan itu pun saya.

Walau bagaimanapun, kudis yang saya alami tidak seteruk mana kerana ibu saya amat mementingkan kebersihan pada diri kami adik-beradik. Puas juga kami disental dengan dengan berus sabut bila sakan main lumpur di kebun arwah datuk dulu.

Bagi yang jenis geli, tentu tak tahan dan tak sanggup tengok pengidap kudis buta. Mana tidaknya, ia bukan sahaja kelihatan merah, berlubang di sana sini, malahan ada yang menggaru dengan asyik hingga tidak sedar telah melukakan kulit mereka hingga menyebabkan perdarahan dan adakalanya ada yang sampai bernanah.

Secondary infection atau jangkitan susulan boleh berlaku berpunca daripada kesan menggaru pada kulit yang terkena peyakit kudis buta tersebut, menyebabkan serangan bakteria selepas kawasan gatal itu digaru.

Kudis buta ini bukan satu penyakit keturunan, tetapi berkait rapat dengan sikap serta tabiat dalam menguruskan tempat tinggal mereka.

Kudis buta adalah sejenis jangkitan kulit yang boleh berjangkit disebabkan oleh sejenis hama (Sarcoptes scabiei). Ia seperti serangga yang akan membentuk laluan atau terowong di bawah lapisan luar kulit setelah hinggap padanya. Ia tidak boleh hidup lebih dari 48 jam hingga 72 jam tanpa sentuhan dari manusia. Tetapi ia mampu hidup sehingga lebih dari sebulan jika berjaya memasuki kulit manusia.

Bayangkan bila dah selesa tinggal di bawah kulit, hama itu akan membiak dengan bertelur, makan dan minum kemudian berak di bawah kulit kita. Hasil dari najis hama serta tindak balas kulit itu telah menyebabkan kesan rasa gatal yang teramat timbul.

Hama mendapat sumber makanan dari darah yang dihisap dari mangsanya. Dah serupa zombie dah hama ni.

Saya menerangkan kepada ibu saudara saya bahawa beberapa perkara perlu dilakukan bagi meminimakan kadar jangkitan kepada anak-anak ;

  1. Cuci pakaian dan cadar yang telah digunakan oleh orang yang dijangkiti dengan air panas.
  2. Masukkan perkara yang tidak boleh dicuci ke dalam beg plastik yang tertutup dan simpan selama sekurang-kurangnya tujuh hari untuk membolehkan hama dan telurnya mati.
  3. Perabut dan tempat tidur perlu dibersihkan dengan vacuum.
  4. Orang yang bergaul rapat dan tinggal bersama orang yang telah dijangkiti kudis buta juga harus dirawat pada masa yang sama.
  5. Pastikan pencahayaan yang cukup diberikan di dalam rumah supaya kelembapan yang menjadi punca pembiakan hama akan dapat dielakkan.
  6. Pastikan anak-anak yang telah terkena jangkitan kudis buta ini tidak berkongsi tuala mandi dengan anak-anak yang tidak mendapat jangkitan.
  7. Potong kuku anak-anak supaya kuku yang panjang tidak mengakibatkan jangkitan bakteria susulan apabila mereka menggaru.

Losyen Permethrin, Krim Gamma Benzene Hexachloride, Losyen Benzyl Benzoate, Losyen Malathion, Losyen atau krim Crotamiton akan diberikan kepada pesakit.

Jika 1 ahli keluarga yang mengalami penyakit ini, seluruh ahli keluarga juga perlu menyapu ubat sekaligus. Jika ahli keluarga lain tidak turut sama menyapu ubat tersebut, maka penyakit ini akan menjangkiti mereka yang tidak terkena lagi jangkitan ini. Pesakit kanak-kanak yang dijangkiti sepatutnya dikecualikan dari ke sekolah/ke rumah pengasuh sehingga selesai rawatan bagi mengelakkan potensi penyakit ini merebak.

Kudis buta boleh berjangkit semula, jadi adalah sangat penting untuk mengikut segala arahan rawatan dan membersihkan bahan yang tercemar dengan penyakit tersebut. Kudis buta boleh dirawat dengan syarat anda patuh kepada perawatan dan keluarga anda juga memberikan kerjasama.

Nur Nabiila Masfuzah Binti Abdullah seorang Jururawat Terlatih Dewan Bedah, Hospital Banting. Beliau sedang menyambung pengajian keperingkat sarjana dalam kejururawatan. Beliau juga seorang ahli Medical Mythbusters Malaysia. Artikel asal boleh didapati di sini.

https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1142641115826385

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box