Kudis buta (Scabies): Gatal yang menyeksakan! – Dr Mohammad Che’ Man

Kudis buta adalah disebabkan oleh parasit tungau yang bernama “Sarcoptes scabiei”. Parasit ini dilihat berwarna coklat keputihan dan mempunyai 8 kaki melalui mikroskop. Tungau betina akan membuat lubang untuk menanam 2 hingga 3 biji telur sehari setelah mengawan. Ianya sangat berjangkit melalui sentuhan secara langsung dan dijangkiti oleh pelbagai jenis umur terutamanya di kalangan ahli keluarga terdekat pesakit. Jangkitan boleh tersebar melalui pakaian, cadar dan objek-objek yang digunakan oleh pesakit. Ianya juga dikategorikan sebagai penyakit jangkitan kelamin dimana ianya boleh merebak melalui hubungan seksual.

Kebersihan yang tidak memuaskan dan kawasan yang sesak adalah antara faktor risiko penyumbang kepada jangkitan ini. Gejala utamanya adalah gatal yang teruk bersama-sama dengan ruam-ruam berbiji merah di kawasan celahan jari-jari tangan dan kaki, pergelangan tangan, ketiak (axilla), sekeliling pinggang, kawasan kemaluan dan juga sekeliling punggung (buttock).

Akibat jangkitan kudis buta, pesakit akan rasa tidak selesa kerana gatal yang keterlaluan dan kualiti hidup mereka akan menurun secara mendadak. Kesan yang biasa dihadapi yang juga merupakan penyebab jangkitan seperti jangkitan kuman bakteria sekunder staphylococcal atau streptococcal termasuk impetigo, ‘ecthyma’, ‘paronychia’ dan ‘furunculosis’.

Penyakit kudis buta kebiasaannya didiagnosa sebagai penyakit diagnosis klinikal melalui sejarah penyakit yang relevan dan pemeriksaan fizikal yang sempurna. Untuk mendiagnosa secara pengesahan, ianya melalui proses pengesanan parasit tungau scabies, telur-telur dan najisnya yang dipanggil ‘scybala’ melalui pemeriksaan alat mikroskop.

 

Rawatan ubat-ubatan berdasarkan kajian perubatan:

Rawatan barisan pertama:

  1. Topikal 5% permethrinadalah rawatan barisan yang pertama. Ianya sangat efektif melalui kajian percubaan klinikal sehingga 90%. Pesakit disarankan meletakkan krim/losyen pada waktu malam dengan sempurna di atas kulit dari leher sehingga ke hujung kaki termasuklah di celahan jari-jemari tangan dan kaki. Ianya perlu di bilas/ di basuh setelah 8 hingga 14 jam. Kesan sampingan yang utama adalah radang pada kulit. Pemakaian topikal permethrin untuk kali kedua untuk minggu kedua atau ke tiga bergantung kepada keadaan ruam kudis buta tersebut.
  2. Ubat oral ‘ivermectin’ iaitu anti-parasit adalah efektif sebanding topikal permethrin melalui kajian. Ianya boleh digunakan sekiranya terdapat wabak scabies di sesuatu institusi yang mana ubat topikal adalah tidak praktikal. Ubat oral ivermectin tidak disarankan sebagai rawatan barisan pertama untuk pesakit yang mengandung dan menyusu dan juga kepada kanak-kanak di bawah berat badan 15kg.

Rawatan barisan kedua/alternatif:

Agen-agen lain (tidak sehebat topikal permethrin) adalah seperti topikal benzoyl benzoate (emulsion benzoyl benzoate), topikal sulfur, topikal lindane, topikal crotamiton dan topikal malathion.

  1. Topikal benzoyl benzoate: Digunakan di negara-negara yang miskin kerana harganya yang jauh lebih murah. Pemakaiannya adalah waktu malam sekali sehari untuk dua hari berturut-turut dan perlu mengulangi rawatan selepas seminggu. Tidak digunakan di negara Amerika.
  2. Topikal sulfur: Secara relatifnya adalah lebih murah dan biasanya dikhaskan untuk bayi yang berumur kurang dari setahun dan juga ibu yang mengandung. Perlu di pakai pada waktu malam untuk 3 hari berturut-turut.
  3. Topikal 1% lindane (gamma benzene hexachloride): Kurang digunakan kerana risiko toksik seperti sawan dan risiko kematian. Dibenarkan untuk rawatan alternatif untuk pesakit yang gagal dalam rawatan barisan rawatan utama dan juga alah kepada rawatan sebelumnya. Perlu disapu nipis untuk semua kawasan dari leher ke bawah sampai ke kawasan kaki untuk 8 jam. Negara-negara Eropah dan Jepun tidak mengesyorkan pemakaiannya untuk rawatan kudis buta.
  4. Topikal crotamiton: Disapu untuk keseluruhan badan dari dagu sampai ke hujung kaki, disapukan semula untuk 24 jam kemudian dan dibasuh selepas 48 jam penggunaannya. Rawatan melalui sapuan crotamiton untuk 5 hari berturut-turut atau lebih dari 5 hari juga juga boleh diamalkan. Dalam kajian juga telah membuktikan bahawa crotamiton adalah tidak se-efektif permethrin.
  5. Topikal 0.05% malathion: Rawatan berdasarkan kajian ‘case series’ membuktikan keberkesanannya. Malathion disapu pada waktu malam untuk 8 hingga 12 jam. Kekangan adalah kerana harganya yang mahal dan mudah terbakar.

Rawatan bukan ubat:

  1. Menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan. Elakkan diri dari memindahkan parasit penyebab kudis buta kepada orang lain melalui sentuhan atau apa-apa objek berkaitan sekurang-kurangnya 8 jam selepas rawatan.
  2. Merawat semua yang telah terjangkit dan tidak boleh meninggalkan seorang pun yang terkena jangkitan dari mendapat rawatan secara sempurna.
  3. Semua barang-barang atau objek kepunyaan pesakit yang telah terjangkit perlu diletakkan didalam beg plastik sekurang-kurangnya 3 hari ataupun di basuh dengan air panas dan diseterikankan supaya telurnya yang tidak bersentuhan dengan kulit akan mati.
  4. Semua barang-barang peribadi yang digunakan setelah dijangkiti dibersihkan dengan sempurna.
  5. Jika terdapat jangkitan kuman bakteria sekunder, perlu memberikan rawatan untuk jangkitan kuman bakteria tersebut dahulu dan selepas itu barulah merawat kudis buta.
  6. Memberi kesedaran kepada pesakit bahawa sesetengah pesakit yang sudah selesai rawatan 2 hingga 4 minggu juga masih boleh mengalami kegatalan pada kulit yang berkemungkinan memerlukan rawatan topikal steroid.

Rujukan:

  1. Wolff K., Johnson R.A. (2013) Fitzpatrick’s Color Atlas & Synopsis of Clinical Dermatology;, 6th Edition, McGraw-Hill Education, U.S.
  2. Goldstein B.G., Goldstein A.O. Scabies: Management, internet access from https://www.uptodate.com/contents/scabies-management?topicRef=4038&source=see_link(July 2018)

ASST. PROF. DR. MOHAMMAD BIN HJ. CHE’ MAN

PENSYARAH PERUBATAN KLINIKAL/ PAKAR PERUBATAN KELUARGA

(MD. UKM, MMED.(FAMILY MEDICINE) USM)

SPECIAL INTEREST: MEN’S HEALTH, PRIMARY CARE DERMATOLOGY

DEPARTMENT OF FAMILY MEDICINE,

KULLIYYAH OF MEDICINE,

IIUM KUANTAN PAHANG.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box