Penyakit Kusta, jarang diperkatakan, namun masih terjadi tanpa kita sedari sehingga ke hari ini. Kusta atau leprosy adalah antara penyakit tertua pernah dihidapi dalam sejarah manusia. Ianya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria Mycobacterium leprae yang boleh merosakkan kulit, sistem saraf, pernafasan dan penglihatan. Sekiranya tidak dikesan awal dan dirawat, ianya boleh menyebabkan kecatatan pada kaki dan tangan, kebutaan dan akhirnya memudaratkan kualiti kehidupan si penghidap, sama ada dari segi fizikal mahupun emosi oleh kerana pandangan negatif dan stigma daripada masyarakat. Walaubagaimanapun, komplikasi ini boleh dicegah melalui pengesanan awal dan rawatan yang terbukti berkesan.
Namun adakah kita sedar, penyakit ini boleh menyamar?
Kusta secara umumnya sukar untuk dikenalpasti terutamanya pada peringkat awal jangkitan kuman tersebut. Ini kerana, ianya boleh hadir dengan pelbagai gejala pada kulit dan saraf yang juga boleh ditunjukkan oleh penyakit-penyakit lain yang jauh lebih kerap terjadi berbanding kusta:
- Kusta boleh hadir dengan kulit sopak atau kemerahan yang boleh disalah anggap sebagai tanda lahir, kesan parut akibat luka atau geselan atau lecur, jangkitan kuman pada kulit seperti kulat, penyakit radang kulit seperti vitiligodan psoriasis, penyakit alahan dan kegatalan seperti ekzema dan juga kulit kekeringan akibat cuaca panas.
- Kusta juga boleh menyebabkan kekebasan pada kawasan kulit tertentu, yang mana boleh disalah ertikan akibat komplikasi penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol mahupun angin ahmar atau
- Ianya juga boleh disalah anggap sebagai masalah otot dan saraf setempat terutamanya jika kekebasan itu ada kaitan dengan faktor pekerjaan, mengangkat barang berat atau kesan trauma.
- Kusta juga boleh menyebabkan luka-luka pada kaki dan tangan yang jauh lebih mudah dikaitkan dengan penyakit kencing manis berbanding penyakit kusta itu sendiri.
- Adakalanya kusta menyebabkan ketebalan saraf dan pembengkakkan pada kulit yang boleh disalah kaitkan dengan radang kulit psoriasis.
Semua ini menyebabkan kusta kebiasaannya tidak dapat dikenalpasti pada lawatan pertama pesakit kepada pihak doktor. Mereka ini selalunya akan datang semula kerana keadaan kulit mereka tidak bertambah baik dengan rawatan pertama.
Justeru, bagaimana kusta dapat dikesan lebih awal? Apakah ciri-ciri yang lebih khusus yang dapat meningkatkan lagi tahap pengecaman kusta oleh pihak doktor dan pesakit? Ya, berikut adalah panduan (tips) yang boleh diambil kira untuk mengesyaki kusta bagi mereka yang hadir dengan masalah kulit:
- Sekiranya pesakit juga pernah bersama dengan mana-mana pesakit yang pernah dihidapi kusta atau bersama mereka yang mempunyai masalah kulit yang hampir sama atau berlarutan tanpa rawatan. Ini kerana ianya boleh merebak melalui luka pada kulit dan juga pernafasan sekiranya terdedah kepada lendiran pesakit kusta yang tidak mendapatkan rawatan.
- Sekiranya pesakit terdiri daripada golongan warga emas – ini kerana penyakit ini lebih mudah terjadi kepada mereka yang lebih berumur.
- Sekiranya pesakit dalam keadaan kekurangan keupayaan melawan penyakit – seperti dalam rawatan kemoterapi (chemotherapy) atau juga menghidapi penyakit HIV.
- Sekiranya pesakit hadir bukan sahaja dengan kulit sopak atau ketebalan kulit atau kemerahan, tetapi juga disertai dengan rasa kebas setempat. Sesetengah pesakit juga boleh mengalami kelemahan otot.
Apa-apa pun, kusta tidak boleh disahkan secara melihat dan memeriksa kulit luaran pesakit semata-mata. Ianya memerlukan pemeriksaan lanjut iaitu pengambilan lendir daripada kulit dan pengambilan sampel kulit untuk mengenalpasti kuman tersebut yang kebiasaannya dilakukan oleh pihak klinik pakar kulit. Justeru, segeralah mendapatkan pemeriksaan oleh pihak doktor di mana-mana klinik terdekat anda agar anda dapat dirujuk awal ke klinik kulit untuk pengesahan dan rawatan. Rawatan awal boleh menyelamatkan anda dari kecacatan.
Dr. Shaiful Ehsan merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Klinik Kesihatan di Kuantan. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau. Artikel ini ditulis sempena Hari Kusta Sedunia pada 27 Januari.
Rujukan:
“Kusta”: Is It A Curse? – Dr Mohd Shaiful Ehsan, The Malaysian Medical Gazette accessed at https://www.mmgazette.com/kusta-is-it-a-curse-dr-mohd-shaiful-ehsan/.(date accessed 19/1/2019)
Uptodate – Epidemiology, microbiology, clinical manifestations and diagnosis of Leprosy accessed at https://www.uptodate.com/contents/leprosy-epidemiology-microbiology-clinical-manifestations-and-diagnosis.(date accessed …)
Kumar, P. & Clark, M. (eds) (2012) Kumar and Clark’s Clinical Medicine (Eighth Edition). Saunders Ltd.
Leprosy elimination – World Health Organization (WHO) Multidrug Therapy (MDT) accessed at https://www.who.int/lep/mdt/en/on 19/1/2019.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]