Linkin Park, Kemurungan dan Keimanan ? – Dr Zul Azlin Razali

Crawling in my skin, this wound will not heal. Fear is how I fall, confusing what is real.

Meremang dan merinding bila mendengar. Ritma bait-bait persis pantun disenandungkan dalam irama yang teradun baik not-notnya di atas suara vokal tenor berskala G#5 atau D5 penuh emosi. Jeritan lebih tepat sebenarnya untuk telinga-telinga amatur seperti penulis ini. Bukan jeritan yang menjengkelkan seperti sesetengah genre rock atau metal. Seni yang menusuk adalah seni yang datang dari hati yang ikhlas, hati yang benar-benar mengalami. Barangkali itulah sebabnya mendiang Chester bisa menyentuh dan mengesan jiwa-jiwa pencinta muzik.

Ramai menulis tentang kemurungan dan tindakan membunuh diri rentetan kejadian tragik orang terkenal ini. Artikel ini tidak terkecuali. Cuma sahaja penulis ini cuba membawa fokus kepada soal keimanan dalam menentukan seseorang itu mengalami penyakit mental dan seterusnya bertindak mencederakan diri. Argumentasi penulis; melaungkan slogan “kurang iman punca murung dan sakit mental”, walaupun tampak Islamiknya, boleh jadi memudaratkan pada hakikatnya.

Sudah maklum, hukum membunuh diri dalam Islam adalah haram. Maksudknya, si pembuat akan menerima hukuman dari Allah. Dalam kes membunuh diri, hukumannya agak spesifik seperti tiada syurga untuk si pembunuh diri (Hadith Bukhari, lihat www.sunnah.com/bukhari/23/117), dan tidak disolatkan solat jenazah (Hadith Muslim, lihat www.sunnah.com/bulugh/3/22). Walau bagaimanapun, hukum tidak dibolehkan solat jenazah pada mangsa bunuh diri tidak sepakat di antara sarjana. Ulama besar seperti Abu Hanifah dan Imam Syafi’e rahimahumullah berpendapat sebaliknya (lihat www.islamqa.info/en/70363) .

Membunuh diri itu haram. Akan tetapi, bagaimana pula jika mangsa yang membunuh diri itu hilang daya fungsi kognitifnya? Realiti, fantasi dan delusi berbaur tanpa kefahaman yang pasti. Yang hitam tidak lagi hitam, yang putih pun tidak lagi jernih. Kabut menyelimuti rasional yang kian susut. Jiwa jadi kusut. Dalam erti kata lain, pesakit sudah jatuh taklifnya. Dia tidak mukalaf lagi. Dia tidak dibebankan lagi oleh hukum-hukum agama.

Dalam masyarakat setempat, kematian yang disebabkan membunuh diri jarang dilaporkan sedemikian atas faktor stigma. Jika dilakukan psychological dissection pada si mati, iaitu penyiasatan psiko-sosial menyeluruh ke atas kehidupan dan persekitaran si mati, mungkin sahaja didapati bahawa si mati memang mengalami penyakit kemurungan yang tidak didiagnos. Penyakit kemurungan yang teruk boleh menjerumuskan pesakit pada tahap tidak rasional, tidak mukalaf.

Usaha menakut-nakutkan orang yang berpenyakit mental dengan menggunakan hukum agama adalah tindakan terlalu simplistik dan menyedihkan. Niat yang baik ini harus disertakan dengan kefahaman yang jitu. Melaungkan bahawa ‘sakit mental puncanya kurang iman’ adalah punca stigma paling bahaya.

Ketidakstabilan emosi ada banyak peringkat. Sesiapa sahaja yang bergelar insan pasti sahaja akan rasa sedih. Namun kesedihan yang berpanjangan disertakan dengan simtom-simtom yang lain (rujuk artikel tentang kemurungan di portal ini) dan keruduman kefungsian, ia sudah menjadi satu penyakit. Penyakit yang ada ubat dan kepakarannya. Bukan semudah itu untuk mencampakkan ketentuan secara langsung antara ‘kurang agama dan penyakit mental’.

Yang menjadi persoalan, siapa kita di kalangan manusia-manusia mortal ini ada wewenang untuk menetapkan tahap keimanan seseorang itu? Inilah bahayanya bila bercakap tentang penyakit mental berpaksikan semata-mata pada skala agama dan spiritual.

Mana-mana doktor beragama pasti sedikit-sebanyak menyentuh unsur spiritual ketika sesi terapi bersama pesakit psikiatri (pesakit penyakit fizikal juga harus ada komponen spiritual dalam perawatan). Doktor muslim contohnya akan menyentuh tentang kekuatan iman melalui amalan ritual tertentu untuk memperkasakan lagi pesakit keluar dari kemelut penyakit. Namun begitu, perkara ini tidak sama dengan mengatakan kekosongan iman dan kekurangan iman menjadi faktor penyakit mental.

Perkaitan unsur bio-psiko-sosio-spiritual dalam pembentukan penyakit mental harus difahami oleh semua pemimpin, penggerak masyarakat, pahlawan papan kekunci yang ribuan ‘followers’nya dan penceramah-penceramah bebas. Agama yang benar adalah agama yang rasional. Isu membunuh diri harus diwacanakan bersama sarjana usul (Usul fiqh, Usul hadith, Usul Quran) supaya masyarakat tidak lagi stigma pada pesakit mental. Tanya sahaja muhaddith dan mufassir, walaupun hadith harus dibaca dan diambil iktibar, namun ia perlu difahami dengan konteks dan dengan interaksi hadith-hadith lain berkaitan. Pengambilan hadith secara literal menjadikan polemik berantakan.

Semoga keluarga Chester Bennington tabah menghadapi ujian ini dan semoga tindakan membunuh diri tidak menjadi jawapan mutlak peminat-peminat tegarnya yang menghadapi kekusutan mental di luar sana. Di samping menemukan matlamat spiritualiti (agama) yang benar, carilah doktor-doktor atau ahli-ahli psikologis yang bertauliah untuk bantuan perawatan.

Dr. Zul Azlin Razali adalah Pakar Psikiatri di Klinik Pakar Kesihatan USIM Nilai. (06-8504921).

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box