Lipoma: Ketumbuhan Sel Lemak – Dr Ahmad Mahyuddin

Seorang wanita berusia 30-an datang ke klinik kami dengan benjolan pada bahagian punggung kiri beliau. Benjolan itu semakin membesar sejak setahun yang lalu dan menimbulkan kebimbangan kepada beliau.

Apa itu Lipoma?

Lipoma ialah ketumbuhan sel lemak atau sel ‘Adipose’. Ia terjadi dikalangan satu peratus manusia dan diklasifikasikan sebagai jenis ketumbuhan benign (bukan kanser). Namun, begitu ia mempunyai 1 peratus kebarangkalian untuk berubah menjadi Liposarcoma iaitu sejenis kanser. Ia boleh berlaku di bawah permukaan kulit, di dalam otot, atau di antara lapisan otot.

Lipoma boleh terjadi di mana-mana bahagian badan manusia. Ia biasanya bermula sebagai benjolan kecil, mempunyai bentuk bucu yang simetri, lembut seperti donut dan tidak sakit jika dipicit.

Walaupun ia tidak menyebabkan kesakitan, ia boleh membesar dengan perlahan sejajar dengan peredaran masa dan boleh menimbulkan ketidakselesaan. Jika kedudukannya berhampiran saraf, ia boleh menyebabkan kebas dan hilang kekuatan anggota badan akibat tekanan ke atas saraf tersebut. Lipoma yang membesar juga boleh mengganggu imej dan keyakinan diri individu.

Perlukan MRI dilakukan?

Magnetic Resonance Imaging atau MRI boleh dilakukan sekiranya Lipoma itu bersaiz besar dan dalam. Ia adalah bagi menentukan saiz, kedalaman dan juga struktur saraf dan salur darah di sekeliling Lipoma tersebut sekiranya pembedahan ingin dilakukan.

Rawatan

Sekiranya Lipoma itu tidak menimbulkan sebarang masalah seperti lemah atau kebas kepada pesakit dan tiada sebarang perubahan kepada tulang disekelilingnya, ia tidak perlu dibuang.

Anda harus berjumpa doktor sekiranya:

  1. Ia membesar dengan cepat
  2. Bentuknya berubah
  3. Ia menjadi keras
  4. Ia mengeluarkan nanah atau cecair
  5. Ia menyebabkan anda rasa kebas, sakit atau tidak selesa
  6. Rasa sakit apabila dipegang atau ditekan

Lipoma boleh dibuang dengan mudah secara pembedahan. Sekiranya kecil, hanya bius setempat diperlukan. Namun jika dibiarkan lama dan membesar, doktor mungkin perlu memberi bius penuh bagi membolehkan ia dibuang.

Sebelum dibuang, doktor biasanya akan melakukan ultrasound atau Magnetic Resonance Imaging (MRI) bagi melihat kedudukan dan saiz Lipoma dan struktur di sekelilingnya.

Jika anda mempunyai benjolan atau ketulan, segeralah berjumpa doktor bagi memastikan apakah ketumbuhan tersebut dan setersunya mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Rujukan

  1. Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller, page 505

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box