Ramai mempersoalkan mengapa jahitan episiotomi dilakukan tanpa bius dengan erti kata lain, ibu akan merasakan seolah mereka dijahit hidup-hidup.
Ada juga mempersoalkan keperluan episiotomi itu sendiri dilakukan semasa proses “labour” atau bersalin.
Ada juga yang tidak pernah mendengar tentang episiotomi.
Bukan sedikit kisah kembali semula ke wad semasa dalam pantang kerana “wound breakdown”. Akibat menyapu minyak gamat, manjakani serta kurang menjaga kebersihan yang satu itu. Akibatnya, dua kali merasa sakit dan ia mempengaruhi emosi si ibu sendiri kan.
Episiotomi adalah satu prosedur yang dilakukan jika perlu semasa bersalin, perineum ibu akan digunting sedikit bagi memudahkan laluan bayi. Guntingan akan dilakukan apabila kepala bayi telah sampai ke mulut faraj.
*Selepas proses kelahiran selesai, luka akan dijahit dengan benang yang akan larut / hancur sendiri dalam beberapa hari.
Tidak semua ibu-ibu memerlukan episitomi kerana ia bukan prosedur yang mesti bagi setiap kelahiran kecuali:
1) Kandungan sulung walau bagaimanapun, ia bukan rutin untuk semua ibu-ibu kehamilan pertama yang mahu beranak secara biasa. Penilaian diberi oleh pegawai perubatan serta bidan yang mengendalikan proses kelahiran.
2) Kejadian yang memerlukan bayi dilahirkan segera sebelum kelahiran dibantu oleh forceps atau vacuum.
3) Untuk kelahiran bayi sonsang
4) Kepala bayi berada dalam posisi abnormal.
5) Bayi besar atau kejadian bahu sangkut – supaya “internal manoeuvre” dapat diakukan untuk selamatkan bayi.
5) Bayi didalm keadaan stress/tekanan (fetal distress) – membantu ibu memudahkan kelahiran bayi.
* Episiotomi turut akan dilakukan jika penyambut kelahiran merasakan koyakan faraj teruk akan terjadi.
** Proses kelahiran terlalu lama ATAU ibu keletihan bukan indikasi episiotomi.
Jenis koyakan semasa melahirkan
First Degree Tear; satu koyakan kecil pada kulit yang lazimnya pulih sendiri dan tidak memerlukan jahitan.
Second Degree Tear; koyakan yang lebih mendalam yang melibatkan otot-otot dan kulit – memerlukan jahitan
Third Degree Tear ; koyakan mendalam yang melibatkan kulit dan otot-otot perineum. Koyakan itu juga melibatkan otot-otot yang mengelilingi anus – memerlukan jahitan.
Fourth Degree Tear ; koyakan parah yang melebihi paras otot-otot anus anda. Koyakan mungkin sejauh bahagian usus yang terletak selepas anus, – memerlukan jahitan.
Kebiasaannya, wanita yang pernah mengalami episiotomi cukup faham tentang ‘peritnya’ kawasan jahitan itu. Bagi mengelakkan luka episiotomi mengalami jangkitan/terbuka, ibu-ibu dinasihatkan untuk ;
1) Memastikan kawasan perineum bersih kerana darah nifas serta air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka. Pastikan luka dibersihkan sama ada dengan air suam, atau dengan ubat sapu yang telah dibekalkan oleh pihak hospital.
* Elakkan menyapu benda lain seperti serbuk manjakani atau minyak gamat yang kita tak tahu tahap kebersihannya di kawasan perineum.
2) Elakkan dari sembelit kerana sembelit akan memberikan tekanan di bahagian perineum semasa meneran dan ini akan menyebabkan luka terlerai sedikit atau mungkin terus. Minum banyak air dan makan banyak sayuran serta buah-buahan bagi membantu pelancaran proses pembuangan najis.
** Mitos berkaitan minum air yang banyak akan menyebabkan perineum ataupun peranakan berair selain makan sayur akan menyebabkan angin tidak benar sama sekali. Minum air yang kurang juga akan menyebabkan gangguan pada penghasilan susu badan. Kekurangan air juga akan menyebabkan luka episiotomi lambat sembuh.
3) Senaman lantai pelvic ataupun juga dikenali sebagai senaman kemutan (‘Kegel Exercise) boleh dilakukan secara rutin. Ia akan membantu dalam pelancaran darah di vagina selain akan membantu dalam proses penyembuhan luka.
4) Perhatikan tentang tanda-tanda jangkitan kuman, seperti;
~ Kemerahan
~ Bengkak di luka episiotomi
~ Sakit yang teramat di kawasan luka terutama semasa bergesel sewaktu berjalan.
~ Pengeluaran discaj berbau
~ Demam.
Segeralah ke hospital/maklumkan kepada jururawat yang melawat di rumah.
- Luka boleh diperiksa dengan menggunakan cermin. Minta kerjasama suami untuk melakukan pemerhatian.
5) Jika kesakitan terhadap luka episitomi tidak dapat dikawal, pengambilan paracetamol serta ponstan boleh diambil (atas arahan doktor).
6) Pakai seluar dalam dari jenis kapas yang boleh menyerap peluh bagi mengelakkan kelembapan di perineum.
7) Tukar pad dengan kerap dan lap kering perineum setelah ke tandas bagi mengelakkan potensi jangkitan kuman.
8) Cuci perineum DARI DEPAN KE BELAKANG (perineum ke anus) bagi mengelakkan flora (bakteria) pada anus menjangkiti luka episiotomi.
9) Elakkan dari mencangkung. Seeloknya gunakan tandas duduk bagi mengelakkan regangan pada luka episiotomi.
Ada yang mengeluh, apabila baru melahirkan, disuruh berjalan pula. Letih meneran tak habis lagi. Belum 3- 4 jam sudah disuruh berjalan.
Sebenarnya, ambulasi (berjalan) awal adalah penting bagi mengelakkan pengumpulan darah beku di perineum. Pengaliran darah yang sempurna membantu dalam penyembuhan luka episiotomi.
** Buat suami-suami di luar sana, bawa-bawalah bersabar dari menyetubuhi isteri anda. Pastikan lukanya benar-benar sembuh. Takkan lari gunung dikejar derr.. Berpuasa sekarang lagi bagus dari terpaksa ‘berpuasa’ selama-lama.
Notakaki:
Kebiasaannya, semasa jahitan episiotomi dilakukan, bius setempat akan diberikan; cuma pemberian bius yang terlalu banyak akan menyebabkan bengkak di kawasan perineum dan apabila bengkak surut, dikhuatiri akan menganggu kesan jahitan itu. Kawasan kulit di perineum mempunyai saraf yang sensitif, walaupun telah diberikan bius, sakit dan pedih tetap akan terasa. Tanggapan bahawa tiada pemberian bius semasa menjahit luka episiotomi adalah salah.
Nur Nabiila Masfuzah Abdullah sedang menyambung pegajian ke peringkat Ijazah dalam kejururawatan dan Jururawat Terlatih Dewan Bedah, Hospital Banting. Beliau juga ahli Medical Mythbusters Malaysia https://www.facebook.com/belnawhen artikel ini pernah diterbitkan di https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1142630112494152 pada 15 Oktober 2016.
[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]