Makanan Tambahan: Apa Yang Anda Perlu Tahu – Chong Fui Pin

Sumber: melanomainternational.org

Sumber: melanomainternational.org

Di abad ke-21, permintaan untuk makanan tambahan meningkat mendadak selaras dengan peningkatan taraf hidup di seluruh dunia. Ramai cuba memanjangkan jangka hayat dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik dengan penggunaan perubatan alternatif dan produk semula jadi seperti makanan tambahan. Makanan tambahan merupakan bahan gantian yang baik sekiranya terdapat sebarang kekurangan dalam pemakanan tetapi, ramai yang tidak sedar akan kesan mengambil lebih dari kadar pengambilan harian yang disyorkan serta pengambilan bersama ubat-ubat yang biasa diberi doktor.

Sekiranya seseorang itu mengamalkan pemakanan yang betul dan cukup, mereka tidak memerlukan makanan tambahan untuk keperluan nutrisi. Namun begitu, terdapat pengecualian seperti penyakit-penyakit yang makanan tambahan boleh membantu mengurangkan simptom atau merupakan penyembuh. Sehubungan dengan itu, seseorang yang sempurna kesihatan dan ingin mengambil makanan tambahan harus berhati-hati untuk tidak melebihi pengambilan harian yang disyorkan kerana ianya mungkin membawa kesan mudarat kepada kesihatan.

Salah satu contoh biasa adalah vitamin D yang boleh didapati daripada sinaran matahari. Vitamin D mempunyai pelbagai kebaikan, dari membantu penyerapan kalsium kepada melindungi daripada diabetes, barah, dan juga penyakit jantung seperti didakwa sesetengah penyelidik. Pengambilan harian vitamin D yang disyorkan ialah dalam kadar 600 International Units (IU) bagi orang-orang dewasa sehingga umur 70 tahun. Mereka yang berumur 71 tahun ke atas digalakkan mengambil dalam 800 IU. Institut Perubatan membataskan pengambilan vitamin D tidak melebihi 4,000 IU sehari kerana kadar vitamin D yang terlalu tinggi boleh membawa kepada kepekatan kalsium yang tinggi dalam saluran darah melebihi kebolehan jantung untuk mengatasinya, membawa kepada masalah jantung di masa hadapan. Mereka yang mengalami penyakit jantung atau mengambil ubat jantung seperti digoxin perlu berhati-hati kerana perkara ini boleh menyebabkan denyutan jantung yang tidak tetap.

Contoh seterusnya adalah selenium. Selenium merupakan unsur surih dan mudah didapati dalam pemakanan kita. Sumber utama selenium termasuklah roti, bijiran, daging, ikan, dan telur. Oleh demikian, sangat jarang untuk seseorang itu mengalami kekurangan selenium. Tetapi selenium mudah didapati sebagai makanan tambahan tersendiri atau dalam multivitamin. Walaupun selenium sangat penting bagi pembentukan DNA, reproduksi, hormon tiroid, metabolisma dan banyak lagi, keracunan selenium akut boleh membawa kepada kesan teruk gastrointestinal dan neurologikal, serangan jantung, kesukaran bernafas, tremor, pening-pening lalat, kegagalan buah pinggang, keguguran rambut, dan mungkin juga kematian. Antara tanda-tanda awal kadar selenium berlebihan ialah rasa logam dalam mulut atau nafas berbau bawang putih. Simptom-simptom lain termasuk keguguran rambut, kuku rapuh, cirit-birit, dan ruam kulit. Oleh demikian, kita semua perlu sedar akan perkara ini.

Pada masa ini, tiada bukti kukuh menunjukkan vitamin C mempunyai kesan sampingan yang teruk. Beberapa kesan sampingan biasa adalah gangguan gastrointestinal seperti cirit-birit dan kekejangan abdomen akibat kesan osmotik vitamin C yang tidak diserap. Tetapi, terdapat beberapa kajian mendakwa vitamin C boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serious daripada gangguan gastrointestinal. Kajian Kesihatan Wanita dari Iowa menunjukkan wanita-wanita postmenopausal yang mengalami diabetes dan mengambil makanan tambahan vitamin C sekurang-kurangnya 300mg/sehari mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi mortaliti penyakit kardiovaskular. Walaupun tiada kajian lain menyokong dakwaan ini, hasil kajian ini tidak harus diambil ringan. Tambahan pula, pengambilan kronik dos tinggi vitamin C boleh memburukkan beban lebih ferum dan mengakibatkan kerosakan tisu pada individu-individu yang menghidap hemokromatosis keturunan. Gangguan darah ini lebih umum dikalangan orang-orang Eropah, Australia, dan negara-negara barat lain.

Bagaimana pula dengan glukosamin dan kondroitin? Ramai tahu gabungan makanan tambahan ini membantu mereka yang menghidapi osteoatritis. Namun begitu, adakah mereka mengetahui kesan sampingan makanan tambahan ini? Kesan sampingan biasa glukosamin adalah cirit-birit, sembelit, dan pedih ulu hati. Kondroitin pula dilaporkan memberi kesan sampingan seperti kebengkakan kaki, keguguran rambut, bengkak mata, dan juga denyutan jantung tak tetap. Masih ramai yang tidak sedar akan kesan-kesan sampingan makanan tambahan yang diambil dan menyangka simptom-simptom ini disebabkan penyakit atau disfungsi badan.

Dengan kebimbangan yang semakin meningkat berkenaan penggunaan makanan tambahan dan peningkatan mendadak dalam pasaran hari ini, kita perlu berhati-hati untuk tidak menyalahgunakan atau terlebih guna makanan tambahan kerana ianya mungkin tidak begitu berfaedah untuk kesihatan diri. Selain mengetahui kelebihannya, kita perlu tahu kadar pengambilan harian yang disyorkan dan mengenalpasti tanda-tanda dan simptom-simptom terlebih dos. Jika berminat mendapatkan makanan tambahan, cuba tanyakan pendapat dan cadangan dari pakar penjagaan kesihataan untuk maklumat yang lebih tepat. Lebih penting, cuba elakkan dari membeli makanan tambahan atau ubat-ubatan atas talian kerana banyak yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan dan ubat-ubatan yang diharamkan mungkin mengandungi komponen tambahan yang bahaya untuk kesihatan.

Chong Fui Pin seorang ahli farmasi yang bertugas di sebuah Klinik Kesihatan di Melaka. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/supplements-what-you-need-to-know-chong-fui-pin/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan

  • Office of Dietary Supplements, (2014). Dietary Supplement Fact Sheet: Selenium — Health Professional Fact Sheet. [online] Available at: http://ods.od.nih.gov/factsheets/Selenium-HealthProfessional/ [Accessed 14 Nov. 2014].
  • WebMD.com, (2014). Vitamin D Slideshow: Deficiency Symptoms, Foods, Tests, Benefits, and More. [online] Available at: http://www.webmd.com/food-recipes/ss/slideshow-vitamin-d-overview [Accessed 14 Nov. 2014].
  • Office of Dietary Supplements, (2014). Vitamin C — Health Professional Fact Sheet. [online] Available at: http://ods.od.nih.gov/factsheets/VitaminC-HealthProfessional/ [Accessed 14 Nov. 2014].
  • National Librabry of Medicine – National Institutes for Health.nih.gov, (2014). Chondroitin sulfate: MedlinePlus Supplements. [online] Available at: http://www.nlm.nih.gov/medlineplus/druginfo/natural/744.html [Accessed 14 Nov. 2014].
  • Mayoclinic, (2014). Drugs and Supplements : Glucosamine. [online] Available at:http://www.mayoclinic.org/drugs-supplements/glucosamine/safety/hrb-20059572 [Accessed 14 Nov. 2014].

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box