Masalah Bayi yang Keliru Puting – Dr Nurjasmine Aida Jamani

Syasya baru sahaja melahirkan putera sulungnya. Semua orang ternanti-nanti akan kelahiran anaknya. Syasya dan suami begitu gembira sekali atas kelahiran ini. Syasya sudah berniat untuk menyusukan anaknya dengan susu ibu sedari mengetahui dirinya hamil.

Ketika menyusukan anaknya, susu ibu belum kelihatan di payudara tetapi Syasya pantas menyusukan anaknya. Anaknya menangis kelaparan dan ini merunsingkan Syasya dan orang sekelilingnya. Lalu, ibunya mencadangkan bayinya diberi susu formula melalui botol agar bayi kenyang dan berhenti menangis. Syasya terpaksa mengalah. Apabila diberikan susu melalui botol, anaknya tertidur kekenyangan. Semua orang dapat tidur dengan lena.

Tatkala susu ibu mulai hadir dan payudaranya mula penuh dengan susu, Syasya segera ingin menyusukan anaknya.  Namun hampa, anaknya tidak mahu melekap malahan menangis meronta-ronta seolah-olah protes dan tidak mahu melekap pada payudaranya. Syasya terpaksa memberi anaknya perahan susu ibu melalui botol. Barulah anaknya tidak menolak dan minum dengan kenyang. Syasya akur bahawa dirinya tidak ditakdirkan untuk menyusu secara terus kerana anaknya sudah mengalami ‘keliru puting’.

Benarkah bayi yang keliru puting tidak mampu menyusu kembali pada payudara si ibu?

Pernahkah anda mengalami situasi serupa ini?

 

Apakah keliru puting?

Keliru puting atau nipple confusion adalah satu keadaan di mana seorang bayi yang menyusu dengan ibunya  mempunyai kesukaran untuk melekap pada payudara ibu dan menyusu dengan baik setelah diperkenalkan kepada botol atau puting tiruan.

 

Kenapa keliru puting boleh berlaku?

Ia berlaku kerana bayi tidak berupaya menukar mekanisme hisapan di antara menyusu pada payudara ibu dan menghisap botol. Ini adalah kerana teknik hisapan susu antara keduanya adalah berbeza antara satu sama lain.

Sekiranya bayi menyusu pada payudara ibunya, dia terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan susu daripada payudara ibu dimana bayi harus menggunakan hampir 40 otot muka untuk menghisap susu dari payudara ibu. Berlainan dengan penggunaan botol susu, ia lebih memudahkan bayi di mana dengan hisapan yang sedikit, susu tetap akan mengalir dari puting botol tanpa menggunakan usaha yang berlebihan. Secara tidak langsung, bayi akan lebih menyukai menyusu melalui botol berbanding payudara ibunya.

 

Apakah tanda-tanda bayi yang keliru puting?

Ketika ibu cuba melekapkan bayinya pada payudara, bayi akan mula menunjukkan tanda-tanda yang tidak menyenangkan secara konsisten setiap kali ibu cuba menyusukannya. Antara tanda-tanda keliru puting adalah seperti berikut:

  • Menjadi cerewet apabila berdekatan payudara ibu
  • Menangis dengan kuat dan tanpa henti
  • Enggan melekap pada payudara
  • Sekiranya melekap, akan menyusu dengan tidak sempurna

 

Bolehkah bayi yang keliru puting menyusu semula pada payudara ibu?

Sekiranya bayi yang mengalami keliru puting adalah masih kecil dan ditangani dengan segera maka peluang untuk bayi menyusu semula pada payudara ibu adalah tinggi. Sekiranya ibu mendapatkan bantuan daripada kaunselor laktasi atau Perunding Laktasi, ibu diminta untuk melakukan seperti berikut:

  • Memperbanyakan sentuhan kulit ke kulit dengan bayi.
  • Ini akan membantu bayi lebih mengenali bau badan ibu dan payudara ibu bagi membantu proses lekapan.
  • Berhenti memberi susu melalui botol susu. Sebaliknya, bayi diberi susu melalui cara lain seperti menggunakan cawan, sudu dan picagari. Ini adalah untuk mengelakkan bayi terlalu bergantung kepada botol susu seterusnya menyukarkan proses untuk kembali menyusu di payudara ibu.
  • Memastikan posisi dan kedudukan ketika penyusuan adalah betul iaitu kedudukan bayi adalah selari, dan menghadap payudara ibu , rapat dengan badan ibu serta ibu mengampu bayi dengan baik. Selain itu, ibu disaran untuk menyusu secara posisi ‘laid back’ untuk memudahkan pengaliran susu.
  • Melakukan senaman ‘suck training’di mana beberapa latihan gerakan pada mulut bayi agar latihan ini dapat membantu bayi membuka mulut dengan luas dan menghisap dengan baik
  • Sebelum bayi melekap, ibu disaran untuk memerah sedikit susudari payudara sebagai usaha untuk menarik minat bayi melekap pada payudara dan seteruskan meneruskan hisapan

Ibu yang mempunyai bayi yang keliru puting disarankan untuk berjumpa dengan Kaunselor laktasi atau Perunding Laktasi untuk memastikan tiada masalah lain yang menyebabkan bayi keliru puting dan mendapat bimbingan sewajarnya.  Ibu juga disarankan untuk memerah susu secara berkala agar penghasilan susu dapat dikekalkan.

 

Bolehkah keadaan keliru puting ini dicegah daripada berlaku?

Sudah tentu keadaan ini boleh dicegah. Bagi menjayakan penyusuan susu ibu, bayi yang baru dilahirkan hanya perlu disusukan dengan susu ibu tanpa menggunakan botol atau memberi puting kosong. Sekiranya ibu mahu memberi puting kosong untuk dihisap oleh bayi bagi menenangkan bayi, ibu boleh berbuat demikian sekiranya penyusuan susu ibu sudah mantap dan berjalan lancar. Ini adalah kerana kebanyakan kajian yang dilakukan menunjukkan bayi yang keliru puting adalah akibat pemberian susu melalui botol susu.

 

Adakah masalah keliru puting sama dengan bayi yang ‘mogok menyusu’?

Kedua-dua perkara ini adalah berlainan. sama sekali ‘Mogok menyusu’ atau nursing strike adalah keadaan di mana bayi berhenti menyusu secara tiba-tiba setelah beberapa lama menyusu dengan ibunya. Penyebab kepada ‘mogok menyusu’ juga berlainan dengan keliru puting. Kebiasaan ‘mogok menyusu’ ini mungkin disebabkan oleh kesihatan bayi yang terjejas, perpisahan sementara yang lama antara ibu dan bayi atau bayi mulai diperkenalkan makanan pelengkap.

Kesimpulannya, bayi yang keliru puting boleh dibantu untuk menyusu semula pada payudara ibu dengan bantuan kaunselor laktasi atau Perunding Laktasi. Walaupun mungkin mengambil masa yang lama, ibu tidak harus berputus asa malah harus terus mencuba dan bersabar. Pemberian susu melalui botol susu dan pemberian puting ketika bayi baru dilahirkan boleh menyebabkan penyusuan susu ibu secara ekslusif tidak berjaya.

 

Oleh: Dr Nurjasmine Aida Jamani

Pakar Perubatan Keluarga/ Perunding Laktasi/ Pensyarah Perubatan

 

Rujukan:

Dowling, D. A., & Thanattherakul, W. (2001). Nipple confusion, alternative feeding methods, and breast-feeding supplementation: State of the science. Newborn and Infant Nursing Reviews,1(4), 217–223. https://doi.org/10.1053/nbin.2001.28100

Sanches, M. T. C. (2004). Clinical management of oral disorders in breastfeeding. Jornal de Pediatria, 80(5 SUPPL. 5), 155–162. https://doi.org/10.2223/jped.1249

Zimmerman, E., & Thompson, K. (2015). Clarifying nipple confusion. Journal of Perinatology, 35(11), 895–899. https://doi.org/10.1038/jp.2015.83

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box