Masalah Ejakulasi Pramatang (Pancut Awal) di kalangan Lelaki – Dr Mohammad Che’ Man, Dr Shahidah Che Alhadi & Dr Yashdev Atri A/L Roop Kishore

Definisi

Ejakulasi pramatang (pancut awal) adalah merujuk kepada kecenderungan seseorang lelaki itu untuk mengalami ejakulasi dengan terlalu cepat atau dengan rangsangan seksual yang sedikit lazimnya apabila  proses hubungan seks itu baru sahaja bermula. Ini akan mengakibatkan keresahan dan ketidakpuasan kepada kedua-dua pasangan atau salah seorang dari mereka dalam melakukan hubungan kelamin. Purata normal jangka masa penetrasi hingga mencapai ejakulasi adalah antara 2 hingga 6 minit (Waldinger MD, Quinn P, Dilleen M, et al:2005).

 

Siapakah yang sering mengalami masalah pancut awal?

Penyakit ini lebih terjadi di kalangan lelaki asia berbanding negara lain. Ini mungkin dipengaruhi oleh adat resam dan budaya di negara asia yang boleh meningkatkan keadaan tekanan akibat ejakulasi awal ini. Ianya juga sering diadu oleh mereka yang lebih muda berbanding individu yang lebih berusia.

 

Apakah peratusan kadar pancut awal di Malaysia?

Prevalens Ejakulasi Pramatang di kalangan lelaki di Malaysia adalah sebanyak  31.7% (Hassan et al.,2017). Di antara jumlah tersebut, ianya dapat dibahagikan kepada golongan berbangsa Melayu (31.6%), India (50%), Cina (23.8%) dan bangsa-bangsa lain (22.2%).

 

Apakah jenis ejakulasi pramatang?

Terdapat 2 jenis ejakulasi pramatang, iaitu ‘lifelong’ (seumur hidup) dan ‘acquired’ (diperoleh).

Ejakulasi pramatang ‘lifelong’ berlaku pada kali pertama melakukan seks dan setiap kali aktiviti seks dilakukan. Ejakulasi pramatang ‘acquired’ pula berlaku pada lelaki yang pada awalnya mempunyai jangkamasa ejakulasi yang normal tetapi kemudiannya mendapat masalah ejakulasi pramatang. Ini kebiasaannya disebabkan kebimbangan prestasi dan mati pucuk. Terdapat 30-50% lelaki yang mengalami masalah mati pucuk juga mengalami masalah ejakulasi pramatang khususnya dikawasan populasi Asia Pasifik dimana kemungkinan untuk pesakit yang mempunyai masalah mati pucuk adalah 6.9 kali ganda berisiko untuk mendapat ejakulasi pramatang berbanding lelaki yang tidak mempunyai masalah mati pucuk.

 

Apakah faktor-faktor risiko ejakulasi pramatang?

Tidak seperti penyakit mati pucuk yang mana punca-puncanya lebih jelas, masalah ejakulasi pramatang secara umumnya tidak mempunyai faktor yang jelas yang boleh mengakibatkan masalah ejakulasi awal. Namun ianya lebih dikaitkan dengan faktor psikologi yang meningkatkan tekanan seseorang seperti kerisauan yang melampau dan kemurungan, rasa rendah diri yang keterlaluan mahupun kesan daripada memori pahit ketika zaman kanak-kanak seperti sejarah serangan seksual dan penderaan. Ianya juga boleh diakibatkan oleh faktor dari pihak pasangan seperti pasangan berasa takut atau sakit ketika melakukan hubungan seks. Ini juga boleh diakibatkan oleh pengalaman hubungan kelamin yang menyakitkan dengan pasangan terdahulu atau akibat pernah mengalami gangguan seksual. Manakala keadaan ejakulasi awal sejak dari usia yang sangat muda boleh dikaitkan dengan faktor keturunan. Ianya juga dikaitkan dengan keadaan zakar yang terlalu sensitif pada sentuhan ketika dalam melakukan hubungan kelamin.

 

Apakah kesan-kesan buruk ejakulasi pramatang?

Ejakulasi pramatang boleh menyumbang kepada masalah ketidaksuburan akibat air mani tidak dapat memasuki faraj secara optimum dan mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat. Ianya juga sekiranya secara berterusan akan menambahkan lagi rasa bersalah dan rendah diri pesakit yang boleh menjadikan keadaan berterusan menjadi teruk dan menyebabkan masalah tekanan hidup, kebimbangan, rasa malu dan kemurungan yang terus berlaku tanpa penyelesaian yang terbaik. Ia juga boleh menyebabkan kurangnya kekerapan hubungan seksual dan boleh menganggu keharmonian rumah tangga seseorang.

 

Kesedaran untuk mendapatkan rawatan mengikut pemantauan.

Kajian Global Sikap dan Tingkah Laku Seksual (GSSAB) mendapati 78% lelaki yang melaporkan masalah seksual tidak meminta bantuan atau nasihat profesional. Mengikut kajian dari  kajian “The Premature Ejaculation Prevalence and Attitudes (PEPA)” mendapati hanya 9% sahaja golongan lelaki yang mengalami ejakulasi pramatang mendapatkan rawatan atau khidmat konsultasi nasihat dari doktor.

 

Bagaimana mendiagnos ejakulasi pramatang?

Diagnosis ejakulasi pramatang adalah berdasarkan kepada sejarah seksual pesakit. Sejarah seksual secara terperinci akan diperoleh dari semua pesakit dengan masalah ejakulasi. Seterusnya doktor akan membuat penilaian dengan menggunakan “Premature Ejaculation Diagnostid Tool” bagi mengklasifikasikan keterukan masalah pesakit berdasarkan saringan ini.

Apakah rawatan ejakulasi pramatang?

Oleh kerana antara punca utama yang dikaitkan dengan ejakulasi pramatang adalah masalah psikologi dan tekanan, ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan kemurungan dan kerisauan terbukti mampu untuk membantu pesakit-pesakit ini. Kaunseling untuk mengawal emosi dan tekanan juga mampu mengurangkan gejala ejakulasi awal ini. Rawatan seperti sapuan ubatan bius setempat juga ada menunjukkan keberkesanan bagi pesakit ini.

Namun, apa yang lebih penting adalah kesefahaman di kalangan pasangan agar mampu membantu pesakit untuk meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan hubungan kelamin.

Untuk mereka yang mengalami masalah ejakulasi pramatang berserta dengan mati pucuk, rawatan terhadap mati pucuk haruslah diberikan terlebih dahulu.

 

Perlukah rawatan psikoterapi?

Lelaki yang menghidap ejakulasi pramatang atas sebab-sebab psikologi perlu dipertimbangkan untuk rawatan terapi tingkah laku.

Anda juga mungkin tidak perlu terlalu fokus pada hubungan seks sahaja, sebaliknya, cuba rangsangan seksual yang lain, berikan diri anda masa untuk mengatasi kegelisahan atau rasa gementar akan prestasi seksual anda.

Ada beberapa kaedah atau cara bagi membantu mengatasi masalah pancut awal:

  • Kaedah berhenti dan mula. Apabila seorang lelaki itu rasa terangsang dan seakan hampir klimaks, cuba untuk kurangkan rangsangan. Ini mungkin membabitkan mengeluarkan zakar atau berdiam diri seketika tanpa pergerakan tambahan. Apabila rasa ingin pancut itu telah hilang, anda boleh mulakan semula tusukan zakar ketika melakukan hubungan seks.
  • Teknik kemutan. Apabila suami ingin mencapai klimaks, isteri kemutkan sekuat mungkin kemaluannya dan arahkan si lelaki berhenti untuk tusukan zakar. Kemutan ini akan mengelakkan ejakulasi dan perlu untuk ulang semula perkara ini secara berkala. Selepas rasa ingin mencapai klimaks itu terhenti, boleh menyambung semula hubungan kelamin.
  • Gunakan kondom. Kondom akan mengurangkan stimulasi ke atas zakar lelaki yang membolehkan mereka tahan lebih lama.
  • Penggunaan pelincir kebas (desensitising lubricant). Ini adalah pelincir yang mengandungi ubat anestetik ringan yang akan mengebaskan kulit zakar buat seketika.

Rawatan ubatan

Bagi ‘lifelong’ ejakulasi pramatang sepanjang hayat, rawatan memerlukan ubatan sebagai rawatan barisan pertama dan dibantu dengan rawatan psikoterapi. Bagi ‘acquired’ ejakulasi pramatang, rawatan psikoterapi adalah sebagai rawatan barisan pertama dan sekira ianya tidak membantu, pesakit memerlukan rawatan ubat-ubatan. Ubat untuk masalah ini sebaiknya diambil 1-3 jam sebelum melakukan hubungan seksual dan diambil jika perlu sahaja. Untuk mereka yang mengalami masalah ejakulasi pramatang berserta dengan mati pucuk, rawatan terhadap mati pucuk haruslah diberikan perhatian terlebih dahulu. Antara jenis-jenis ubat-ubatan yang sering digunakan adalah dari kumpulan ubat ‘Selective serotonin reuptake inhibitors (SSRIs)’ dan ubat yang paling terkenal dan mempunyai bukti saintifik yang kukuh adalah ubat tindakan jangka pendek Dapoxetine (Priligy ®).


Kesimpulan

Pesakit boleh berjumpa dengan doktor di klinik-klinik kesihatan dan klinik swasta yang berdekatan sekiranya mengalami masalah ini. Rawatan kesihatan lelaki sememangnya terdapat di klinik tanpa pesakit perlu berasa khuatir untuk mendapatkan bantuan.

Secara kesimpulannya, penyakit ejakulasi pramatang adalah antara penyakit yang umum di kalangan lelaki namun jarang diperkatakan kerana faktor ianya sungguh memalukan untuk para lelaki mendapatkan rawatan. Pesakit yang mengalami masalah ini harus berfikiran terbuka dan dating untuk mendapatkan konsultasi dan rawatan yang tepat. Rawatan ejakulasi pramatang tidak hanya bergantung pada ubat-ubatan, tetapi juga pada komunikasi yang baik dan berkesan sesama pasangan itu sendiri.

 

Artikel ini ditulis sempena Minggu Kesihatan Lelaki, Klinik Kesihatan Keluarga IIUM 2023):18 hingga 22 September 2023 untuk rujukan lelaki yang sudah berkahwin. 

Rujukan

  1. Premature ejaculation- American Urology Association, 2020
  2. International Society for Sexual Medicine’s guidelines for the diagnosis and treatment of premature ejaculation, 2010

Ditulis oleh,

1.Asst. Prof. Dr Mohammad Bin Che’ Man

Pensyarah Perubatan/Pakar Perubatan Keluarga

MD.UKM, MMED.USM

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

2.Asst. Prof. Dr Shahidah Binti Che Alhadi

Pensyarah Perubatan/Pakar Bedah

MBBS. IIUM , MMED.USM

Department of Surgery,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

3.Dr. Yashdev Atri A/L Roop Kishore

  1. Universitas Sumatra Utara, Medan

Post- graduate master of medicine (Family Medicine)

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box