Mati Pucuk (erectile dysfunction): Apa perkara penting yang anda perlu tahu! – Dr Mohammad Che’ Man, Dr Shahidah Che Alhadi & Dr Yuhin Asadulhaq Yusoff

Seringkali kita mendengar istilah ‘Mati Pucuk’. Dianggarkan 1.7 juta lelaki berumur 40 tahun dan ke atas di Malaysia mengalami masalah mati pucuk. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, mati pucuk bermaksud “tidak ada lagi tenaga kelaki-lakian atau lemah zakar”. Dari segi perubatan pula, mati pucuk atau ‘erectile dysfunction’ merupakan masalah kesihatan seksual di mana seseorang lelaki tidak berupaya untuk memperoleh dan mengekalkan ketegangan zakar yang mencukupi untuk melakukan tusukan (penetrasi) zakar ke dalam faraj.

 

Proses ereksi atau ketegangan secara normal bagi lelaki yang sihat zakarnya berlaku apabila terdapatnya rangsangan seksual yang diperoleh samada melalui rangsangan visual atau sentuhan. Isyarat kemudiannya akan dihantar ke otak sebelum diproses menjadi isyarat saraf ke zakar. Pertambahan aliran darah berlaku kepada otot zakar yang pada akhirnya akan menghasilkan ketegangan ataupun ereksi kepada zakar.  Namun, bagi pesakit yang menghidapi masalah mati pucuk, proses ini terganggu sama ada pada peringkat otak, saraf, ataupun aliran darah kepada zakar.

 

Punca utama mati pucuk terbahagi kepada tiga iaitu gangguan kepada aliran darah, kecederaan saraf dan juga akibat masalah psikologi. Masalah perubatan seperti kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi serta merokok boleh menyempitkan saluran darah pada badan termasuklah saluran darah pada zakar. Selain daripada itu, masalah hormon seperti paras hormon kelelakian yang dipanggil hormon ‘testosterone’ yang rendah, penyakit saraf seperti Parkinson, strok atau kecederaan pada otak dan saraf tunjang menjadi faktor penyumbang kenapa mati pucuk ini berlaku. Di samping itu juga, kegagalan hati dan buah pinggang, serta penyakit mental seperti kemurungan (depression) dan kebimbangan yang melampau (anxiety disorder) juga menjadi penyebab kepada masalah mati pucuk. Komplikasi pembedahan pada kelenjar prostat atau pundi kencing juga mampu merosakkan saraf dan saluran darah pada zakar. Akhir sekali, kesan sampingan ubat-ubatan yang biasa digunakan seperti ubat darah tinggi dan ubat psikitatri seperti anti-psikotik juga boleh mengakibatkan masalah mati pucuk.

 

Menurut Pakar Urologi Pusat Pakar UM(UMSC), Professor Madya Dr Ong Teng Aik, mati pucuk boleh menjadi petanda ataupun indikasi awal kepada penyakit jantung. Untuk membolehkan seseorang lelaki mengalami ketegangan zakar yang normal, darah perlu mengalir ke zakar dengan sempurna. Jika seseorang mempunyai masalah mati pucuk, kebarangkalian penghidap penyakit mati pucuk ini untuk turut mempunyai masalah aliran darah ke organ-organ vital penting seperti jantung dan otak juga tinggi yang menyumbang kepada risiko penyakit seperti penyakit jantung koronari dan juga angin ahmar. Oleh kerana itu, amat penting bagi kaum lelaki yang menghidap mati pucuk untuk berjumpa doktor dengan kadar segera bagi melakukan saringan penilaian kesihatan dan mendapatkan rawatan awal seterusnya dapat mengelakkan daripada berlakunya komplikasi-komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

 

Antara gejala-gejala mati pucuk ialah ketidakupayaan untuk memperoleh dan mengekalkan ketegangan zakarnya, ketegangan zakarnya tidak mencukupi untuk melakukan tusukan di dalam hubungan seks dan juga ketidakupayaan zakar dalam mengekalkan ketegangan selepas tusukan untuk mencapai kepuasan hubungan seks bersama pasangannya. Oleh itu, penting untuk kaum lelaki mengenal pasti gejala-gejala berkaitan yang mungkin mereka alami serta tidak malu untuk mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.

 

Apabila seseorang itu mengalami mati pucuk, individu tersebut berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi seperti kemurungan (depression) disebabkan prestasi seksual yang rendah. Kebimbangan (anxiety) juga boleh berlaku terutamanya sewaktu mengadakan hubungan seksual. Masalah seperti  kemurungan(depression)  dan kebimbangan ( anxiety) ini sendiri merupakan penyebab kepada mati pucuk. Selain itu , ia akan akan menyumbang kepada berlakunya masalah di dalam perkahwinan terutamanya apabila seseorang lelaki yang menghidap mati pucuk merasakan dirinya gagal untuk memberi kepuasan seksual kepada pasangan dan pasangannya sendiri tidak mencapai kepuasan seksual apabila bersama. Akhirnya, keadaan ini akan mewujudkan perasaan rendah diri pada lelaki yang menghidapinya dan akhirnya hubungan menjadi renggang dalam menghasilkan kualiti hidup yang terbaik.

 

Terdapat beberapa rawatan yang ada untuk masalah mati pucuk ini. Rawatan mati pucuk terbahagi kepada rawatan bukan perubatan dan rawatan perubatan. Antara rawatan bukan perubatan ialah mengamalkan cara pemakanan dan hidup yang sihat, yang telah terbukti boleh membantu sesetengah lelaki yang mengalami mati pucuk. Contohnya seperti makan makanan yang seimbang, bersenam secara berkala, mengurangkan berat badan, berhenti merokok dan minuman berakohol, serta mengendalikan stress dengan  baik. Senaman spesifik bagi otot lantai pelvis seperti senaman Kegel bagi kaum lelaki juga boleh membantu untuk menguatkan kembali otot pinggul seterusnya meningkatkan tahap ketegangan zakar.

 

Bagi mereka yang menghidap penyakit kronik, seperti kencing manis, dan darah tinggi, pengawalan penyakit-penyakit ini amat penting untuk mengelakkan dan mengurangkan kesan keatas mati pucuk. Selain daripada itu, antara rawatan utama sekiranya mati pucuk itu disebabkan oleh masalah kesihatan mental adalah dengan membuat pengurusan ‘stress’ dan mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

 

Terdapat pelbagai rawatan perubatan khusus untuk penyakit mati pucuk. Antara rawatan yang terkenal dalam kalangan masyarakat adalah ubat sildenafil atau lebih dikenali sebagai Viagra dan ubat-ubat yang dipanggil agen ‘erektogenik’. Untuk mendapatkan rawatan ini, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk menjalani saringan kesihatan untuk memastikan kesesuaian ubat. Sekiranya rawatan ubat-ubatan makan mengalami kegagalan, langkah seterusnya adalah doktor yang merawat akan merujuk mereka yang menghidap mati pucuk kepada pakar urologi yang akan menawarkan rawatan pilihan lebih lanjut contohnya seperti suntikan ubat terus kepada otot zakar, ubat ke dalam saluran kencing atau penggunaan alat vakum khas untuk mendapatkan ereksi zakar. Sekiranya semua rawatan ini masih juga gagal, pembedahan implan juga boleh dilakukan untuk merawatinya.

 

Kesimpulannya, kaum lelaki yang merasakan diri mereka mempunyai gejala-gejala mati pucuk disarankan untuk segera mendapatkan nasihat dan rawatan doktor. Walaupun mati pucuk dianggap ‘taboo’ atau pantang larang yang memalukan mereka dan kebanyakan mereka yang mempunyai gejala malu untuk mengakuinya, persepsi ini haruslah diubah dengan segera. Ini kerana mati pucuk adalah suatu penyakit yang boleh dirawat terutamanya pada peringkat awal. Selain dari itu, mencegah penyakit itu lebih baik daripada merawatnya. Hentikan amalan merokok dan pengambilan alkohol, mengawal penyakit darah tinggi serta kencing manis dan mengamalkan cara hidup yang lebih sihat, serta mengendalikan stres secara positif dari sekarang akan mampu untuk mengurangkan risiko mendapat masalah mati pucuk.

 

Artikel ditulis sempena Sempena Minggu Kesihatan Lelaki Klinik Kesihatan Keluarga IIUM 2023 (September 2023) dan Movember.

 

Rujukan

  1. Che Yusof, M. D., & Bachik, N. (2019, August 23). Mati Pucuk. MyHealth. http://www.myhealth.gov.my/mati-pucuk/
  2. (2023, July 28). Erectile dysfunction (impotence). https://www.nhs.uk/conditions/erection-problems-erectile-dysfunction/
  3. Erectile dysfunction, American Urological Association (AUA), 2018
  4. European Association of Urology Guidelines on Sexual and Reproductive Health, 2021 Update: Male sexual dysfunction.

 

Ditulis oleh,

 

Ditulis oleh,

1.Asst. Prof. Dr Mohammad Bin Che’ Man

Pensyarah perubatan/Pakar Perubatan Keluarga

MD.UKM, MMED.USM

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

2.Asst. Prof. Dr Shahidah Binti Che Alhadi

Pensyarah perubatan/Pakar Bedah

MBBS. IIUM , MMED.USM

Department of Surgery,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

 

3.Dr. Yuhin Asadulhaq Bin Yusoff

MD. University of Western Sydney,

Post- graduate master of medicine (Family Medicine)

Department of Family Medicine,

Kulliyyah of Medicine, IIUM Kuantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box