Melancong Dengan Tenang – Dr Gunalan Palari Arumugam

Beberapa bulan lalu, saya menulis tentang Persatuan Aeroperubatan Malaysia (SAMM) dan menekankan beberapa aktiviti dan pengangkutan pesakit kritikal yang telah dibuat di Malaysia dan luar negara. Selepas penerbitan rencana tersebut, saya telah menerima banyak soalan tentang proses pemindahan perubatan atau repatriasi. Sebelum saya mengulas tentang perkara tersebut dalam rencana yang lain, berikut ialah beberapa perkara yang perlu difikirkan setiap kali sebelum melancong ke luar negara sama ada untuk berkerja atau bercuti.

 

Pertama dan paling penting – insurans kembara. Idea menghabiskan wang untuk sesuatu yang mungkin tidak akan digunakan menyebabkan ramai yang tidak mengendahkan perihal ini. Ramai lebih rela menghabiskan beratus ringgit membeli hadiah atau buah tangan. Walaupun kebanyakan syarikat penerbangan menyediakan pilihan insurans kembara semasa pembelian tiket, ianya tidak wajib. Para pelancong boleh memilih untuk tidak mendapatkan insurans dan meneruskan pembelian hidangan penerbangan.

 

Saya telah melihat ramai yang menyesali keputusan tersebut. Jangan buat kesilapan yang sama! Sekiranya anda tidak selesa dengan syarikat yang menyediakan polisi insurans tersebut, anda boleh membeli insurans kembara dari laman pelancongan bebas. Kebanyakan syarikat insurans ternama membolehkan insurans dibeli dan dicetak dengan mudah secara online.

 

Setelah anda dapatkan insurans kembara, pastikan teman perjalanan anda atau ahli keluarga mempunyai salinan polisi tersebut. Saya biasanya menghantar satu salinan kepada isteri saya melalui emel supaya mudah diakses. Tidak perlu lakukannya secara senyap; ketika anda mengalami kecederaan kepala dan tidak sedar diri, anda tidak boleh lakukan kertas kerja sendiri.

 

Laporkan sebarang kejadian kepada syarikat insurans serta merta supaya anda mendapat pertolongan segera. Dahulunya saya bekerja untuk sebuah syarikat insurans ternama dan kagum dengan mekanisma yang disediakan untuk membantu pelanggan polisi yang memerlukan. Terdapat kumpulan besar koordinator bantuan pelancongan yang berpengalaman serta fasih dalam beberapa bahasa dan juga ahli perubatan bertauliah yang membuatkan anda rasa terjamin dan selesa. Perkara ini sangan membantu apabila keseorangan di tempat asing, terutama sekali apabila menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan doktor atau autoriti tempatan. Percayalah apabila saya katakan anda tidak akan menyesali mendapatkan polisi insurans dari mula.

 

Adakah insurans kebara akan memberikan perlindungan penuh? Malangnya, tidak. Terdapat beberapa batas dan pengecualian dalam kebanyakan polisi insurans kembara. Contohnya, had umur untuk perlindungan biasanya tidak lebih dari 70 tahun. Hanya beberapa polisi insurans mempunyai had umur sehingga 79 tahun, baca cetakan halus untuk kepastian. Kebanyakan polisi juga tidak merangkumi perlindungan untuk wanita mengandung, penyakit yang berkait dengan kehamilan, kelahiran kecemasa bayi pramatang, kecederaan akibat alkohol atau penyalahgunaan dadah, dan juga kecederaan akibat aktiviti sukan berisiko tinggi seperti base jumping. Namun begitu, pelancong biasa tidak akan menghadapi sebarang isu perlindungan insurans sekiranya tuntutan tersebut bukan palsu.

Jadi apakah pilihan yang ada bagi pelancong selain insurans kembara? Berikut ialah beberapa tip praktikal:

  • Paling penting untuk dipertimbangkan ialah sama ada keadaan anda sesuai untuk perjalanan. Anda mungkin mempunyai senarai tempat untuk dilawati tetapi anda juga perlu realistik. Adalah terbaik untuk bertanyakan kepada seseorang yang dalam lingkungan umur atau tahap kesihatan yang sama yang pernah ke tempat yang anda ingin lawati dan belajar dari pengalaman mereka. Dapatkan nasihat doktor sebelum perjalanan anda jika perlu.
  • Bersedia menghadapi kemungkinan berlaku kecemasan dan sentiasa ada rancangan untuk senario kes terburuk. Anda tidak perlu menghabiskan berjam-jam memikirkan rancangan kecemasan – perkara ini lebih baik dikendalikan oleh pakar – tetapi pastikan anda tahu langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya sesuatu diluar jangkaan berlaku.
  • Pastikan masa perjalanan mencukupi. Ramai merancang untuk melawat beberapa bandar dalam masa beberapa hari, perjalanan jarak jauh tanpa cukup masa rehat. Ini tidak disarankan jika anda mempunyai masalah kesihatan.
  • Pastikan anda sedar akan cabaran fizikal yang bakal dihadapi. Saya telah mengendalikan banyak kes dimana pelancong melawati kawasan-kawasan beraltitud tinggi di China, Tibel, Nepal, dan Peru tanpa memberi cukup masa untuk menyesuaikan diri kepada perbezaan altitude. Mereka akhirnya mengalami mabuk altitud dan memerlukan pemindahan kecemasan ke kawasan yang lebih rendah.
  • Pastikan anda tahu kawasan yang hendak dilawati kerana hospital-hospital besar mungkin terletak beratus-ratus kilometer jauhnya. Rupa bumi yang berceranggah dan cuaca buruk boleh melewatkan ketibaan pertolongan kecemasan.

 

Secara ringkasnya – rancang, rancang, rancang! Galakkan teman perjalanan anda untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi diri mereka.

Apa perlu dilakukan jika sesuatu berlaku dan anda tidak mempunyai insurans? Pertama, anda boleh berdoa sekiranya anda cenderung kepada agama.  Kedua, panggil pertolongan. Anda tidak keseorangan dan ramai yang akan membantu anda dapatkan pertolongan. Perbelanjaan perubatan dan pemindahan kecemasan akan menjadi cabaran. Mulakan kempen derma dikalangan keluarga dan sahabat anda, sediakan laman “crowdfunding”, cairkan aset, mohon pinjaman peribadi, dan sebagainya. Rakyat Malaysia secara am sangat suka mebantu dan akan memberi pertolongan kepada rakyat Malaysia lain yang memerlukan. Pegawai kerajaan boleh membantu dalam kapasiti terhad, tetapi pertolongan kewangan bukanlah proses yang jelas dan mudah dan mungkin tidak berlangsung seperti yang dijangka.

 

Fikiran negatif dan kenyataan seperti “Mengapa mereka melancong apabila sedang hamil/sakit/tua?” tidak membantu dalam situasi begini. Tiada siapa merancang pelancongan hanya untuk tercedera, sakit, atau terlantar di katil hospital di negara asing ketika bercuti. Sekurang-kurangnya berikan sedikit doa atau kata-kata semangat kepada para pelancong dan keluarga mereka.

 

Akhirnya, soalan emas masih belum terjawab : Apakah cara paling mudah untuk pemindahan kecemasan rakyat Malaysia yang tersadai di luar negara tanpa perlu membebankan kewangan keluarga mereka? SAMM telah menawarkan perkhidmatan dan bantuan kepada pihak berkuasa. Namun begitu, sehingga pihak-pihak relevan menerima cadangan kami, malangnya para pelancong dan keluarga mereka akan perlu menampung kos tersebut.

 

Dr Gunalan ialah Naib Presiden SAMM dan Perundng Anestesiologis dan Pakar Perubatan Jagaan Kritikal.

 

Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/travelling-with-peace-of-mind-dr-gunalan-palari-arumugam/ oleh Nur Nadhirah.

 

[Rencana ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang penerbitan semula (online atau offline) tanpa kebenaran bertulis daripada The Malaysian Medical Gazette adalah dilarang.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box