Meliodosis: Pembunuh Senyap – Dr Chiam Keng Hoong

map3-12-endemicity-melioidosis-infection-large

Pengenalan

Apakah itu meliodosis? Dari segi istilah – secara harafiahnya ia bermaksud ‘keadaan yang menyerupai penyakit kuda’. Jadi, tidak hairanlah jika ia pernah dipanggil ‘penyakit kelenjar’, atau ‘glanders’ dalam bahasa Inggeris, pada suatu masa dahulu. Istilah ini masih digunakan dalam bidang veterinari. Antara gejalanya adalah pembengkakan kelenjar di bawah rahang dan discaj lendiran pekat dari rongga hidung. Jangkitan ini disebabkan oleh kuman yang mirip dengan kuman punca meliodosis.

Terdapat tiga cara jangkitan yang diketahui iaitu melalui pemakanan, pernafasan dan inokulasi (melalui bahagian luka). Jangkitan dengan cara inokulasi merupakan kes yang paling lazim dalam kalangan pesakit-pesakit kita.

Punca & Cara Penyebaran Penyakit

Meliodosis berpunca daripada bakteria yang bernama Burkholderia pseudomallei. Nama lamanya, yang masih digunakan di sesetengah tempat, ialah Pseudomonas pseudomallei.

Asal Usul & Ekologi

Pseudomallei hidup sebagai hidupan saprofitik – ia mendapatkan nutrien daripada benda organik yang mati dan reput. Manusia dan binatang juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kepada kuman yang terkenal dengan ancaman mautnya.

Oleh kerana ia hidup dalam persekitaran bertanah, ia boleh dijumpai di mana-mana walaupun secara geografiknya, ia hanya berleluasa di beberapa negara Asia Tenggara. Ini merangkumi Malaysia, Thailand dan beberapa tempat di Australia. Kebanyakan bahan bacaan yang dijadikan sumber rujukan didapati daripada penulis dari negara-negara ini.

Tidak banyak yang boleh kita lakukan untuk menghapuskan bakteria saprofitik ini. Pertamanya, bakteria ini gemarkan apa-apa sahaja yang melibatkan tanah menyebabkannya wujud di mana-mana sahaja. Benda-benda reput yang melata di muka bumi memberikan ia peluang untuk meneruskan kehidupan dengan memakan apa sahaja cicipan yang dapat dijumpai. Apabila ia berada di bawah tanah, ia bukanlah sebuah ancaman. Akan tetapi, apabila keadaan ini bergabung dengan hujan lebat dan musim monsun di sesetengah tempat, kuman ini naik ke permukaan tanah dan membawa ancaman bahaya bersamanya.

Melalui ini, kita tahu bahawa selain daripada tanah, kuman ini juga menyukai persekitaran yang lembap.

Ciri-ciri

Sekarang, pasti anda tertanya-tanya tentang risiko anda terkena jangkitan ini. Dengan kemungkinan yang ia berada dimana-mana di permukaan tanah, serta insidennya meningkat di masa musim tengkujuh, adakah anda berisiko dijangkiti meliodosis?

Secara umumnya, walaupun ia terkenal dengan ancamannya, B. Pseudomallei merupakan jangkitan oportunistik. Oleh itu, jika anda seorang yang sihat tanpa apa-apa penyakit yang melemahkan sistem imun seperti diabetes mellitus, anda tidak perlu risau mengenai jangkitan meliodosis. Untuk lebih jelas lagi, ia pembuli besar bagi sistem imun yang lemah, tetapi jika ada pencabar yang lebih kuat, ia akan segera berundur dan cabut lari. Walau bagaimanapun, terdapat kes-kes di mana jangkitan ini berlaku dalam individu-individu yang mempunyai sistem imun yang normal – para pengkaji percaya bahawa pesakit-pesakit ini diinokulasi dengan jumlah bakteria yang lebih banyak daripada biasa.

Siapakah golongan yang berisiko tinggi?

Pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit yang menghidap:-

  • Diabetes Mellitus
  • HIV/AIDS
  • Kerosakan buah pinggang/ batu buah pinggang
  • Pesakit yang mengambil ubat steroid untuk jangka masa panjang
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan secara kronik/ ketagihan alkohol
  • Trauma
  • Pekerjaan yang mendedahkan pesakit kepada risiko jangkitan – petani, penoreh getah
  • Bencana alam – banjir

Gejala Penyakit

Gejalanya samar-samar dan tidak tipikal. Bergantung kepada organ yang dijangkiti, gejala penyakit hanya akan tertumpu kepada kawasan tersebut dan selalunya, pesakit akan mengadu akan demam berpanjangan yang tidak sembuh-sembuh. Pesakit-pesakit ini juga selalunya termasuk dalam kalangan yang berisiko seperti yang telah dihuraikan. Bila penyakit ini disenarai pendek sebagai diagnosis, doktor akan menanyakan secara terperinci sama ada anda pernah mengalami kecederaan yang menyebabkan luka (yang mungkin telah sembuh, namun bakteria ini mengambil masa sebelum ia menampakkan diri sebagai jangkitan meliodosis) dan tentang pekerjaan anda.

Walaupun gejalanya tidak ketara, kemuncak jangkitan meliodosis adalah apabila terjadinya abses, atau bengkak bernanah, yang boleh berada di mana-mana organ di dalam tubuh. Paru-paru adalah organ yang sering terjejas namun hati, buah pingang, limpa, otak dan kelenjar prostat juga tidak terlepas daripada dijangkiti kuman ini.

Diagnosis & Rawatan

Indeks kecurigaan yang tinggi menjadi asas dalam proses mendiagnos meliodosis diikuti oleh ujian darah (kultur darah/ ‘blood culture’ dan pemeriksaan radiografik (jika perlu) untuk menyiasat jika adanya komplikasi seperti pembentukan abses. Walaupun mempunyai komplikasi yang serius, meliodosis boleh dirawat dengan antibiotik yang sedia ada. Jangka masa pengambilan antibiotik adalah bergantung kepada keadaan pesakit dan sifat jangkitan individu yang berbeza-beza; boleh jadi antara dua minggu ke 4-6 minggu jika perlu. Pesakit selalunya dimasukkan ke wad untuk beberapa lama sebelum diberi antibiotik oral untuk diambil selama 3-6 bulan.

Penutup

Walau dengan dos ubat yang banyak dan waktu rawatan yang panjang, kuman meliodosis tetap berada dalam tubuh pesakit, menanti masa yang sesuai untuk muncul semula membalas dendam. Tentunya kenyataan ini melahirkan kebimbangan namun, pesakit tidak semestinya tewas kepada jangkitan meliodosis yang berulang. Risiko-risiko pesakit yang mendedahkan mereka kepada jangkitan haruslah diselidik dan ditangani sewajarnya. Pesakit yang mempunyai pekerjaan berisiko perlu dinasihatkan supaya memakai peralatan perlindungan seperti sarung tangan getah dan but getah sebagai usaha untuk menghindari penyakit berbahaya ini.

Kini, meliodosis merupakan penyakit yang wajib dilaporkan di Malaysia dan juga Singapura. Apabila keputusan kultur darah didapati positif, pihak berkuasa tempatan harus dimaklumkan dalam masa 24 jam.

Dr Chiam Keng Hoong ialah doktor perubatan dalaman dan pemegang sijil MRCP. Beliau kini bekerja di Sabah. Artikel ini diterjemahkan oleh Dr Maimun Abdullah Hadi.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box