Memahami Barah Usus – Dr Ruhi Fadzlyana

Barah atau kanser usus merupakan kanser kedua tertinggi di kalangan kaum lelaki di Malaysia. Kanser usus, jika dirawat pada peringkat awal, boleh meningkatkan kadar kemandirian hidup selama 5 tahun kepada 90% untuk tahap pertama. Malahan kanser usus adalah kanser yang mempunyai peluang untuk pulih meskipun berada pada tahap ke empat dengan menjalani rawatan yang disarankan. Secara amnya, kanser usus adalah kanser yang menyerang usus besar (kolon, recktum dan anus).

paxy-entero

Imej 1: Bahagian usus.

Apa itu usus besar?

Usus besar bermula dari bahagian kanan dinamakan ‘caecum’ sehingga ke rektum. Fungsi usus besar adalah untuk menyerap air supaya najis yang terbentuk tidak berair. Oleh yang demikian, manusia boleh hidup sempurna tanpa mempunyai usus besar berbanding dengan usus kecil yang fungsinya adalah untuk menyerap air, vitamin dan zat-zat makanan. Oleh yang demikian, manusia tidak boleh hidup tanpa kehadiran usus kecil. Malahan fungsi usus besar boleh diambil alih oleh usus kecil.

Apakah gejala barah usus?

Antara gejala barah usus adalah :

  • Berak berdarah – darah bercampur dengan najis, kadangkala najis bewarna hitam seperti kopi. Ini merupakan antara tanda-tanda awal barah usus.
  • Perubahan tabiat membuang air besar seperti sembelit. Tabiat membuang air besar bagi setiap individu adalah berlainan. Jika kekerapan membuang air besar menjadi terlalu lama, contohnya daripada tabiat hari- hari ke tandas menjadi berkurangan kepada setiap tiga atau empat hari sekali.
  • Cirit-birit – ini merupakan tanda-tanda barah usus di sebelah kiri.
  • Sembelit diselangi dengan cirit – barah usus yang hampir tersumbat akan menyebabkan najis keras tidak dapat melalui usus besar. Pesakit akan mengalami gejala sembelit pada ketika itu. Najis yang tersumbat ini mempunyai banyak bakteria dan akan ‘membusuk’ di dalam usus, menyebabkan air kembali diserap ke dalam usus. Ini menyebabkan najis menjadi lembik dan berair. Pada ketika ini, pesakit akan mengalami gejala cirit. Cirit yang dialami adalah lebih daripada lima kali sehinggakan sesetengah pesakit mengadu tidak dapat mengawal simptom cirit ini. Kitaran sembelit dan cirit akan berulang.
  • Tidak berak dan kentut serta muntah. Gejala ini akan berlaku apabila usus sudah tersumbat seratus peratus.
  • Hilang selera makan dan turun berat badan. Pesakit akan menjadi kurus serta hilang selera makan dalam jangka waktu yang singkat.
  • Sakit ‘perut’ – gejala yang sangat diambil mudah. Sakit pada bahagian abdomen bergantung kepada kedudukan barah usus.
  • Tabiat ke tandas, tetapi tiada najis – Pesakit merasakan seperti mahu membuang air besar, tetapi apabila ke tandas, tiada najis yang keluar. Ini adalah disebabkan oleh kanser yang terletak pada bahagian rektum. Apabila ketumbuhan sudah memenuhi rektum, ianya memberikan mesej yang salah kepada badan seolah-olah rektum sudah dipenuhi najis. Sedangkan tiada najis di dalam rektum, yang memenuhinya adalah sel-sel kanser sahaja.

Bagaimana kanser usus disaring?

Di Malaysia, pihak Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan kanser usus di Klinik-klinik Kesihatan. Ujian yang dilakukan adalah FOBT (Fecal Occult Blood Test). Ujian ini mengkehendaki pesakit untuk memberikan sampel najis untuk diuji kehadiran darah (secara mikroskopi). Jika ujian ini positif, maka pemeriksaan lanjut iaitu endoskopi akan dijalankan untuk menentukan punca kehadiran darah mikroscopi ini. Antara sebab-sebab lain FOBT menjadi positif adalah :

  • Polip usus – daging-daging kecil yang boleh menjadi punca barah usus atau disebabkan oleh keradangan.
  • Angiodysplasia – saluran darah kecil yang tidak normal yang boleh luka di dalam usus lalu menyebabkan pendarahan.
  • Diverticulum – poket di dalam usus disebabkan oleh otot usus yang lemah (faktor usia, sembelit)
  • Ulser perut – ini juga boleh menyebabkan kehadiran darah mikroskopi.

Hanya melalui ujian kolonoskopi, barah usus dapat disahkan. Kolonoskopi merupakan satu prosedur di mana tiub plastik yang berkamera dimasukkan melalui dubur pesakit untuk melihat di dalam usus besar. Prosedur ini membolehkan ruang usus dilihat secara visual dan membolehkan biopsi diambil sekiranya sebarang ketumbuhan dijumpai.

ENDOSCOPICHNA-KARTINA-RAKU

Imej 2: Kolonoskopi. Sumber: Sumber : http://hirurgia.in.ua

Jika biopsi menunjukkan kehadiran sel-sel kanser, pesakit akan memerlukan ujian lanjut seperti X-ray , Ultrasound, CT Scan atau MRI untuk mengetahui tahap kanser dan memastikan bahawa kanser tidak merebak ke organ-organ lain seperti hati, pundi kencing dan paru-paru.

Adakah semua kanser usus memerlukan beg najis (stoma) seumur hidup?

Rawatan definitif untuk kanser usus adalah pembedahan. Pembedahan yang dilakukan selalunya akan memotong bahagian usus yang berpenyakit dan menyambungkan semula usus yang telah dipotong atau bahagian usus akan dibawa keluar ke otot perut dan kulit sebagai beg najis (stoma). Namun demikian, tidak semua bahagian kanser usus memerlukan stoma seumur hidup. Hanya kanser usus yang terletak di pangkal rectum iaitu berdekatan dengan injap (otot) yang mengawal kentut dan pembuangan air besar memerlukan stoma seumur hidup. Kebanyakan stoma yang dipasang untuk rawatan pembedahan kanser usus adalah bersifat sementara, namun ini bergantung kepada tahap kanser dan status kesihatan pesakit.

Dengan kehadiran teknologi pembedahan, rawatan pembedahan kanser usus boleh dibuat secara ‘laparoscopic’ atau ’key-hole’ surgery (pembedahan lubang kunci). Luka pembedahan adalah kecil dan proses pemulihan pesakit lebih pantas.

Selain daripada rawatan pembedahan, sesetengah kanser usus memerlukan rawatan susulan seperti kimoterapi dan radioterapi. Ini adalah bergantung kepada tahap kanser semasa dikesan dan status kesihatan pesakit.

Dr. Ruhi Fadzlyana adalah seorang pakar bedah yang sedang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan pensyarah di universiti tempatan.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box