Memahami Cara Penggunaan Insulin untuk Kawalan Diabetes yang Optimum – Nurul Amira binti Hj. Zunaidi (Pegawai Farmasi)

Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series

 

Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk mengawal paras gula dalam darah supaya sentiasa berada pada paras normal. Suntikan insulin diperlukan sebagai pengganti insulin di dalam badan apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang secukupnya, seperti yang berlaku kepada pesakit diabetes.

Produk insulin di Malaysia tersedia dalam bentuk vial atau penfill. Sekiranya pesakit perlu menyuntik insulin sendiri di rumah, pesakit akan dibekalkan insulin dalam bentuk penfill. Penfill digunakan bersama-sama dengan alat berbentuk pen yang dipanggil pen insulin yang boleh dipakai berulang kali. Bukan itu sahaja, terdapat juga pen insulin dalam bentuk pakai buang yang telah sedia diisi dengan insulin di dalamnya.

 

Perkara yang harus diberi perhatian bagi suntikan insulin jenis penfill

Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian bagi suntikan insulin ialah tapak suntikan insulin. Pesakit digalakkan untuk menyuntik insulin pada bahagian perut kerana penyerapan insulin ke dalam badan adalah paling bagus di bahagian tersebut. Selain perut, bahagian badan lain yang sesuai untuk suntikan insulin ialah lengan, paha dan punggung.

Insulin perlu disuntik secara subkutaneus, iaitu ke dalam lapisan di bawah kulit. Oleh sebab itu, pesakit hendaklah menggunakan jarum suntikan dengan saiz yang bersesuaian. Pesakit disaran agar mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk memilih saiz jarum suntikan yang paling sesuai.

Insulin yang baru dikeluarkan daripada peti sejuk dan hendak dimasukkan ke dalam pen insulin haruslah digolekkan di antara kedua-dua tapak tangan, sekurang-kurangnya untuk 10 kali. Langkah ini perlu untuk menaikkan suhu insulin tersebut dan mengelakkan rasa sakit sekiranya menyuntik insulin yang masih dingin.

Seterusnya, pesakit turut digalakkan menggoncang pen insulin yang telah berisi insulin secara perlahan-lahan sebanyak 10 kali bagi memastikan kandungan insulin di dalam penfill bercampur secara seragam. Langkah ini penting untuk memastikan dos insulin yang disuntik adalah tepat dan dapat memberi kesan yang sepatutnya.

Seperkara lagi yang penting dilakukan khususnya bagi insulin penfill yang baru dimasukkan ke dalam pen insulin ialah priming. Langkah ini dilakukan dengan menetapkan dos (sekurang-kurangnya dua dos) dan kemudian menekan tombol pen insulin secara perlahan-lahan hingga terdapat titis insulin yang keluar daripada jarum. Priming penting untuk mengeluarkan gelembung udara yang terperangkap dalam jarum ataupenfill serta memastikan pen insulin berfungsi dengan baik.

Pesakit dinasihatkan agar tidak menyuntik insulin pada satu bahagian yang sama setiap kali suntikan. Tindakan menyuntik insulin pada satu tempat yang sama dapat menyebabkan lipodystrophy iaitu pembentukan benjolan kecil yang terbentuk pada kulit. Keadaan ini harus dielakkan kerana lipodystrophymengurangkan penyerapan insulin ke dalam badan.

Bukan itu sahaja, pesakit juga disaran agar menggunakan jarum yang baharu bagi setiap kali suntikan. Penggunaan jarum berulang-ulang kali menjadikan jarum tersebut tumpul dan menyebabkan kesakitan semasa suntikan. Terdapat juga risiko insulin mengeras di dalam jarum akibat cara penyimpanan yang salah hingga menyebabkan jarum tersumbat. Penggunaan jarum baharu dapat mengelakkan situasi ini dan seterusnya memastikan insulin dapat disuntik mengikut dos yang sepatutnya.

Selepas selesai melakukan suntikan, jarum hendaklah ditanggalkan daripada pen insulin. Pesakit haruslah sentiasa melakukan langkah ini untuk menghindarkan udara dan bahan cemar lain daripada masuk ke dalam penfill. Langkah ini juga amat penting bagi mengelakkan kebocoran insulin daripada penfill.

 

Cara penyimpanan insulin

Pesakit hendaklah menyimpan insulin yang belum digunakan di bahagian rak tengah peti sejuk padasuhu 2-8oC secara mendatar. Insulin tidak sepatutnya disimpan di dalam ruang sejuk beku (freezer) atau di bahagian pintu peti sejuk. Perbuatan membuka dan menutup peti sejuk menyebabkan suhu di bahagian pintu menjadi tidak stabil. Pesakit disaran untuk menyimpan insulin di dalam pek pembungkusan asal yang telah disertakan dengan maklumat dos pada label.

Insulin yang sedang digunakan pula harus disimpan di tempat yang selamat pada suhu bilik. Selain itu, insulin juga hendaklah dijauhkan daripada cahaya matahari dan capaian kanak-kanak.

Sekiranya perlu melakukan perjalanan jauh, pesakit harus membawa insulin di dalam beg sejuk (cooler bag) yang mengandungi pek ais. Insulin tidak boleh ditinggalkan di dalam kenderaan. Bekalan insulin yang belum digunakan perlu dipindahkan ke dalam peti sejuk sebaik sahaja tiba ke destinasi yang dituju.

 

Cara pelupusan jarum suntikan insulin

Jarum suntikan insulin perlu dilupuskan dengan cara yang selamat. Pesakit boleh menggunakan bekas yang berpenutup untuk membuang jarum yang telah digunakan. Bekas yang digunakan hendaklah sentiasa ditutup rapat sebelum dibuang ke dalam tong sampah. Jika boleh, pesakit digalakkan meletakkan label amaran pada bekas tersebut, contohnya seperti “Tajam” atau “Pegang dengan Berhati-hati”. Jarum suntikan tidak seharusnya dibuang terus bersama-sama sampah yang lain. Sikap bertanggungjawab pesakit dapat melindungi ahli keluarga atau pekerja pembersihan daripada risiko cedera akibat tertusuk jarum yang telah digunakan.

 

Kepentingan pengurusan dan penggunaan insulin yang betul

Pengurusan dan penggunaan insulin dengan cara yang betul adalah amat penting bagi kawalan paras gula dalam darah yang optimum. Hal ini dapat membantu pesakit mengurangkan risiko komplikasi diabetes seperti buta, kerosakan saraf dan kegagalan fungsi buah pinggang serta menambah baik kualiti hidup. Pesakit boleh mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi jika masih keliru berkaitan cara pengurusan dan penggunaan insulin.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

 

Artikel ini ditulis oleh Pn. Nurul Amira binti Hj. Zunaidi (Pegawai Farmasi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

Rujukan:

  1. Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (2017). Forum for Injection Technique Malaysia FITMY. Retrieved May 5, 2021, from moh.gov.my.
  2. Ministry of Health (2015). CPG Management of Type 2 Diabetes Mellitus 5th Retrieved May 5, 2021,from www.moh.gov.my
  3. Bayu Galih Permana (2021). Mengenal 6 Jenis Insulin untuk Penderita Diabetes, Mulai dari Efek Samping dan Cara Penggunaannya. Retrieved May 5, 2021, from sehatq.com
  4. Nana Muhammad (2018). Perlu Lakukan Suntikan Insulin Sendiri Di Rumah? Ini Teknik & Cara Tepat Nak Buat. Retrieved May 5, 2021, from hellodoktor.com
  5. Pusat Rujukan Persuratan Melayu. dbp.gov.my

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box