Mendapatkan Bantuan Psikiatri – Dr Eugene Koh

Sumber: higherperspective.com

Sumber: higherperspective.com

Encik John Doe kehilangan sumber pendapatan pada umur 45 apabila dia diberhentikan kerja di syarikatnya. Hal ini menjadikannya murung memandangkan dia sudah bekerja di situ buat sekian lama. Dia juga menghadapi kesukaran mencari pekerjaan baru lalu menyebabkannya menghadapi masalah kewangan. Encik John mula mengasingkan diri dan enggan keluar dari rumah. Hari-harinya dihabiskan dengan menangis dan termenung. Dia juga kehilangan minat dalam melakukan aktiviti harian. Selera makannya berkurangan dan dia diselubungi dengan rasa putus asa.

Perkataan ‘psikiatri’, atau dalam bahasa inggerisnya ‘psychiatry’, berasal daripada perkataan Greek ‘psych’ (jiwa) dan ‘-iatry’ (rawatan); justeru, ‘psikiatri’ membawa makna ‘rawatan jiwa’. Ia adalah cabang perubatan yang mengkaji dan merawat penyakit mental. Apabila seseorang menghadapi penyakit mental, kerapkali kualiti hidup mereka merosot. Pakar psikiatri mampu membantu dengan memberikan rawatan yang sewajarnya.

Keadaan Encik Doe berterusan selama 3 minggu, bahkan semakin melarat. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke klinik kesihatan apabila dia menghadapi masalah untuk tidur selama seminggu. Dia ingin mendapatkan ubat tidur daripada doktor. Kes Encik John kemudiannya dirujuk ke klinik psikiatri di hospital berdekatan. Tarikh temujanji ditetapkan dan diberi maklum.

Perkhidmatan rawatan psikiatri bawah agensi kerajaan boleh diperolehi dengan mendapatkan surat rujukan daripada doktor di klinik kesihatan, klinik swasta atau mana-mana perkhidmatan penjagaan kesihatan primer. Awalnya, doktor akan menjalankan pemeriksaan untuk memastikan masalah yang dihadapi pesakit bukan daripada sebab organik/ fizikal. Sebagai misalan, ‘hypothyroidism’ (masalah kurang hormon tiroid) boleh menyebabkan simptom kemurungan dan depresi. Jika pesakit tersebut boleh dibantu dengan khidmat rawatan psikiatri, maka surat rujukan akan dikeluarkan dan temujanji akan diberi pada tarikh yang kemudian. Dalam kes-kes kecemasan psikiatri pula, rawatan akan diberi pada kadar segera.

Di klinik psikiatri, Encik John telah bertemu dengan seorang pegawai perubatan (medical officer). Sejarah kesihatan Encik John telah diperoleh dan dicatat secara terperinci. Kes Encik John juga dibincangkan dengan doktor pakar psikiatri di klinik. Seterusnya, Encik John didiagnos dengan penyakit ‘Major Depressive Disorder’. Encik John mula menerima rawatan sejak daripada itu.

Di klinik psikiatri, doktor pakar akan memeriksa dan menganalisa kesihatan individu yang ingin mendapatkan rawatan. Ini juga boleh dilakukan oleh pegawai perubatan yang akan membincangkan kes tersebut dengan doktor pakar. Analisa yang dijalankan termasuklah sejarah kesihatan pesakit dan perincian berkenaan simptom yang dihadapi, pemeriksaan fisikal, pemeriksaan darah, dan jika perlu, pemeriksaan psikologi. Setelah diagnosis dicapai, pelan rawatan akan dibentang dan dibincangkan dengan pesakit. Oleh kerana penyakit psikiatri boleh dimanifestasi dalam rencam cara, simptom dan punca sesuatu penyakit psikiatri selalunya berbeza untuk setiap individu. Maka, pelan rawatan selalunya dibuat berdasarkan individual supaya bersesuaian dengan pesakit. Khidmat rawatan merangkumi dan tidak terhad kepada ubat-ubatan, kaunseling, terapi psikologi dan lain-lain rawatan sokongan. Tidak seperti bidang perubatan lain, jarang sekali pesakit akan sembuh dengan serta-merta. Sebaliknya, perubahan cuma dapat dilihat dalam masa beberapa hari malahan kadang-kala, berminggu-minggu selepas rawatan diberikan.

Satu minggu selepas Encik John mula mengambil ubat, dia dijumpai dalam keadaan tidak sedar di dalam biliknya. Paket ubat yang telah kosong dijumpai di sisinya. Encik John telah mengambil ubat tidurnya secara berlebihan (overdose). Dia segera dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad psikiatri. Walaubagaimapun, kesihatan mentalnya semakin merosot. Oleh itu, rawatan elektrokonvulsif, atau ‘electroconvulsive treament (ECT)’, dimulakan untuk Encik John.

Kebanyakan rundingan psikiatri dan kaunseling dijalankan di klinik. Namun, dalam sesetengah keadaan, pesakit perlu dimasukkan ke hospital. Ini adalah apabila pesakit mempunyai risiko untuk membahayakan diri (seperti cubaan membunuh diri) dan orang lain (seperti bertindak agresif terhadap ahli keluarga). Di dalam wad, pesakit akan dipantau rapat untuk mengurangkan risiko tersebut. Ubat penenang akan diberi jika perlu. Ubat-ubatan pesakit juga akan dilaras mengikut kesesuaian. Pada kebiasaanya, pesakit perlu tinggal di wad selama satu hingga dua minggu. Meskipun begitu, dalam sesetengah kes, risiko bahaya bagi pesakit sangat tinggi dan ubat-ubatan tidak dapat membaik pulih keadaan pesakit. Justeru, terapi elektrokonvulsif akan dipertimbangkan untuk membantu pesakit. Terapi elektrokonvuksif bukanlah seperti yang dipertontonkan di kaca televisyen dan filem. Ia sebenarnya rawatan yang sangat selamat dan efektif. Prosedurnya akan dibincangkan dengan pesakit, dan jika sulit, dengan waris pesakit sebelum rawatan dimulakan.

Encik John beransur pulih selepas 2 minggu di hospital. Dia meneruskan pengambilan ubat dan mula berjumpa dengan ahli psikologi untuk terapi.

Sifat penyakit dan rawatan psikiatri menuntut supaya pesakit hadir untuk temujanji susulan (follow-up) selepas keluar dari hospital. Sewaktu temujanji susulan, keadaan pesakit akan dipantau dan rawatan akan diubah suai sewajarnya. Umumnya, apabila pesakit bertambah baik dan stabil, kekerapan temujanji akan berkurangan sehingga satu kali selang enam bulan. Jika pesakit kekal dalam keadaan baik untuk tempoh secukupnya, doktor boleh memberhentikan rawatan dan temujanji.

Encik John pulih daripada depresi dan rawatannya diberhentikan.

Untuk maklumat lanjut, lawat The Malaysian Psychiatric Association di http://www.psychiatry-malaysia.org/listcat.php?cid=11&all=Y

Dr Eugene Koh (MB BCh BAO, Penang Medical College) ialah pensyarah pelatih dalam bidang psikiatri di universiti tempatan.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box