Menenangkan Jiwa Murung: Panggilan ke Talian Krisis – Victor Tan

Sumber: brainblogger.com

Sumber: brainblogger.com

Pada awal suatu pagi Ahad yang hening, deringan telefon menyentak Darren daripada tidurnya yang lena di bilik panggilan Befrienders KL. Sejurus mengangkat gagang, dia mula bicara dengan skrip yang telah lama dia hafal: “Hello, ini Befrienders. Boleh saya bantu anda?”. Sunyi sepi di hujung talian, diselangi dengan esak tangisan. Akhirnya, ada suara menjawab. Suara tersedu-sedu membisik: “Tolong saya, saya dah mati akal. Saya tak percaya akhirnya dia tinggalkan saya kerana perempuan lain”. Dalam nada paling empati, Darren membalas, “Tentunya cik sedih atas apa yang terjadi. Boleh cik beritahu lagi?”. Bisikan hiba tadi bertukar menjadi terang dan jelas. “Suamiku. Selepas 20 tahun hidup bersama, dia bangun dan lari kekasih sulitnya. Sanggup dia buat begitu?”.

Darren bertindak balas dengan menyelami emosi yang bergelora dalam suara pemanggil itu dan menyatakan: “Cik ini rasa kecewa dan dikhianati oleh tindakan melulu dan pentingkan diri suami cik”. Wanita itu membalas: “Ya, saya rasa saya tak nak teruskan hidup lagi”. Darren tegakkan postur di kerusi, lantas mengenali potensi akibat ayat tadi berdasarkan latihan sebelum ini. Dengan suara yang tenang dan berhati-hati, beliau bertanya: “Semasa cik kata ‘tak nak teruskan hidup’, adakah cik rasa nak menghabiskan nyawa cik?”. Lama senyap menyusul; dan sebaik sahaja Darren hendak mengulang soalannya, cik itu menjawab dengan nada lemah: “Saya nak terjun bangunan kondo ini esok pagi”.

Terbuntang mata Darren, adrenalin mengalir menghapuskan saki-baki kantuknya. Dia terbayang-bayang jasad terkulai layu akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di dada tabloid baru-baru ini. Dia berusaha mengawal dirinya supaya tetap tenang. Azam yang kuat berbaur di dalam dadanya, lahir dari minat dan tujuannya mula-mula menyertai sukarelawan Befrienders. Darren membulatkan hati dan kembali memfokus kepada panggilan tadi; bersedia untuk sama-sama mengharung dukacita si pemanggil.

Selama dua jam berikutnya, kehadiran Darren dan suara tenangnya memberi sokongan kepada si pemanggil agar meluahkan emosi yang lama terpendam. Beban yang tak tertanggung tadi sekarang lebih ringan, sekurang-kurangnya untuk hari ini. Maut bukan lagi menjadi pilihan dan cahaya mula kelihatan di hujung jalan. Darren pulang ke rumah lewat pagi itu dengan doa di dalam hatinya agar cik pemanggil dapat mencari bantuan dan sokongan profesional dalam mencari kepulihan. Darren juga telah merasa suatu perubahan yang tak terceritakan, melalui pengalaman memimpin seseorang yang dihimpit kesakitan. Begitulah cerita yang sungguh dramatik, namun banyak dihadapi oleh seorang sukarelawan talian krisis.

Victor Tan ialah pengarah tugas harian di Befrienders KL. Beliau terlibat dalam mengelola dan mengendalikan panggilan krisis dan juga melatih sukarelawan-sukarelawan baharu.

Befrienders KL memberikan sokongan kepada mereka yang murung dan rasa ingin membunuh diri. Sila hubungi 03-7956 8145 (24 jam) atau emel sam@befrienders.org.my jika anda perlukan rakan untuk mencurahkan isi hati anda. Artikel ini diterjemahkan dari https://www.mmgazette.com/befriending-the-suicidal-a-call-on-a-crisis-hotline-victor-tan/ oleh Azizul Ismie Mohd Puad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box