Mengapa BP Normal di Rumah Tetapi Tinggi di Klinik? – Dr Mohd Shaiful Ehsan

150122193907_1_900x600Itu adalah kemusykilan yang sering dinyatakan oleh para pesakit yang sering melakukan rawatan susulan darah tinggi di klinik-klinik kesihatan mahupun di klinik swasta. Namun, adakah ini benar-benar sesuatu yang normal? Perlukah rawatan diubah atau ditambah? Adakah pemantauan tekanan darah di rumah dianggap sama tepat berbanding di klinik?

Pemantauan tekanan darah di rumah adalah antara pemantauan alternatif yang memudahkan pihak pesakit dan klinik dalam memberi rawatan tekanan darah yang efektif. Ianya diiktiraf oleh persatuan perubatan sedunia dan tempatan, sebagaimana tertulis di dalam garis panduan klinikal terbaru iaitu “Malaysia Clinical Practice Guidelines for Hypertension 2014”.

Apakah alat bacaan tekanan darah yang boleh digunakan di rumah?

Antara alat bacaan tekanan darah yang boleh digunakan untuk pemantauan di rumah termasuklah mesin elektronik yang hanya menggunakan bateri dan aplikasi butang untuk memulakan pengepaman saluran darah arteri pada lengan dan memberi bacaan tekanan darah dalam bentuk digital (electronic devices) dan juga alat automatik yang senantiasa mengukur tekanan darah pada lengan mengikut tetapan waktu dalam sehari (automated ambulatory devices).

Adakah pemantauan di rumah sama tepat seperti di klinik oleh pengamal perubatan?

Alat terbaik berdasarkan piawaian yang tepat dalam mengukur bacaan tekanan darah adalah sphygmomanometer yang disukat oleh pengamal-pengamal perubatan di klinik dan hospital dengan menggunakan stethoscope dan melihat bacaan aras merkuri pada sphygmomanometer tersebut. Namun begitu, pemantauan di rumah masih boleh digunakan dengan alat-alat elektronik yang telah disebutkan di atas, terutama dalam pemantauan tekanan darah tinggi selepas disahkan oleh pihak doktor, sama ada dalam rawatan ubat atau tidak.

Terdapat ralat dalam paras tekanan darah sekiranya menggunakan alat-alat elektronik. Secara umumnya, bacaannya adalah lebih rendah berbanding bacaan tekanan darah klinikal yang menggunakan sphygmomanometer. Iaitu, tekanan darah sistolik (bacaan di atas) lebih rendah sebanyak 10-20mmHg manakala tekanan darah diastolik (bacaan di bawah) lebih rendah sebanyak 5-10mmHg. Justeru tidak mustahil sekiranya pesakit menyatakan tekanan darah mereka adalah lebih rendah atau normal ketika berada di rumah. Oleh itu, bacaan tekanan darah melebihi 135/85 mmHg perlulah dianggap tidak normal, manakala bacaan lebih rendah dari 130/80mmHg bolehlah dianggap sebagai normal.

Sekiranya pemantauan di rumah digunakan untuk mengenalpasti kewujudan penyakit darah tinggi pada pesakit, bacaan pada hari pertama hendaklah tidak diambil kira, manakala purata bacaan pada hari seterusnya diambil untuk memberi nilai bacaan yang sebenar.

Bagaimanakah alat tersebut dapat dikendalikan dan berapa kerapkah pemantauan harus dilakukan sekiranya diadakan di rumah?

Sepertimana pengunnaan sphygmomanometer di klinik, pesakit juga haruslah mengamalkan cara-cara yang betul termasuk posisi badan dan keadaan rehat sebelum memulakan pemeriksaan tekanan darah di rumah. Ini termasuklah:

  • Tidak merokok, tidak makan, tidak minum minuman yang mengandungi kaffein dan tidak melakukan aktiviti fizikal berat sekitar 30 minit sebelum pemeriksaan
  • Perlulah duduk sekurang-kuranya 5 minit sebelum pemeriksaan
  • Duduk dalam keadaan yang selesa dan tenang (tidak dalam keadaan bilik yang bising)
  • Bersandar, dan lengan diletakkan di atas meja (sejajar dengan paras dada)
  • Duduk dalam keadaan kaki tidak bersilang
  • Tidak bercakap ketika pemeriksaan
  • Ambil bacaan pada lengan yang menunjukkan bacaan yang lebih tinggi (samada lengan kiri atau kanan) sekiranya perbezaan di antara kedua-dua lengan melebihi 20mmHg untuk bacaan sistolik dan 10mmHg untuk bacaan diastolik.
  • Sekiranya perbezaannya adalah kecil, ambillah bacaan pada lengan yang tidak dominan

Untuk penggunaan mesin elektronik di rumah, bacaan sekurang-kurangnya selama 3 hari adalah digalakkan. Namun adalah lebih baik jika pesakit dapat melakukan pemantauan selama 7 hari. Sebaik-baiknya pemantauan dilakukan pada waktu yang sama setiap hari, iaitu pada waktu pagi (sebelum pengambilan ubat jika ada) dan petang (sebelum makan). Setiap pemantauan tekanan darah perlulah dilakukan sebanyak dua kali pada sesuatu masa dengan jarak 1 hingga 2 minit. Setiap bacaan perlulah direkodkan di dalam buku catatan pesakit, termasuk tarikh dan masa diambil, untuk memudahkan pihak pengamal perubatan melihat corak bacaan tekanan darah pesakit.

Untuk penggunaan “ambulatory devices”, bacaan selalunya diambil selama 24 jam, dengan kekerapan setiap 15 hingga 30 minit.

Apakah kelebihan dan kebaikan mengamalkan pemantauan tekanan darah di rumah?

Antara kebaikannya termasuklah:

  • Sebagai cara alternatif untuk menilai bacaan tekanan darah, terutama setelah mendapat tahu ada bacaan tekanan darah yang tinggi ketika berjumpa doktor.
  • Untuk kewujudan “isolated office / white coat hypertension” iaitu keadaan di mana bacaan tekanan darah adalah melebihi paras normal ketika di klinik, tetapi dalam paras normal ketika di luar klinik atau rumah.
  • Untuk mengenalpasti kewujudan “masked hypertension” iaitu keadaan di mana bacaan tekanan darah senantiasa tinggi di rumah, tetapi normal ketika di klinik.
  • Untuk membantu dalam pemantauan bacaan selepas rawatan ubat mahupun setelah mengubah cara hidup yang lebih sihat.Untuk meningkatkan motivasi pesakit dalam mengawal bacaan tekanan darah. Ini kerana pesakit dapat melihat sendiri corak bacaan tekanan darah mereka setelah menerima rawatan dan setelah mereka mengubah cara hidup mereka.
  • Untuk mengesan kewujudan “resistant hypertension” atau rintangan darah tinggi, iaitu keadaan di mana darah tinggi tidak dapat dikawal kepada paras normal sesuai dengan ciri-ciri pesakit, setelah menggunakan tiga jenis ubat darah tinggi termasuk kumpulan “diuretic” (seperti ubat thiazde)
  • Untuk menilai kesan sampingan ubat seperti tekanan darah menjadi rendah terutama pada pesakit yang sudah berumur.

Apakah faktor yang boleh menyebabkan tekanan darah hanya tinggi di klinik, tetapi sebaliknya normal di rumah?

Antara faktornya termasuklah sekiranya pesakit tersebut dalam keadaan cemas dan bergegas ketika hadir ke klinik. Tidak dinafikan ramai di antara pesakit akan bergegas untuk mendapatkan tempat letak kereta, nombor giliran yang awal dan juga tempat duduk di fasiliti kesihatan kerajaan. Ini secara tidak langsung boleh meningkatkan aktiviti fizikal pesakit sejurus sebelum bacaan tekanan darah diambil.

Ada juga di antara pesakit yang mungkin hadir ke klinik seusai sarapan yang berat atau seusai merokok yang mana mampu memberi bacaan yang lebih tinggi. Emosi pesakit juga boleh terganggu sekiranya menuggu lama mahupun bersesak di fasiliti kesihatan yang ada. Tidak kurang juga ada di antara pesakit yang megalami perasaan gemuruh dan berdebar sekiranya ingin berjumpa dengan pengamal perubatan di klinik atau berasa tidak selesa ketika berada di klinik. Ini boleh menyumbang kepada fenomena “white coat hypertension” seperti yang dijelaskan di atas.

Perlukah ubat ditambah sekiranya tekanan darah di rumah adalah normal, tetapi hanya tinggi ketika pemantauan dilakukan di klinik?

Dalam keadaan ini, purata bacaan secara menyeluruh perlulah dilihat sebelum tindakan drastik diambil oleh pengamal perubatan. Bacaan tekanan darah yang telah diambil sejurus pesakit tiba perlulah diulang semula oleh pengamal perubatan di dalam bilik rawatan sekiranya bacaan darah yang pertama adalah agak tinggi dari biasa.

Langkah bijak dengan memberi peluang kepada pesakit untuk memantau bacaan tekanan darah di rumah dan merekodkan di dalam buku sebagai bukti bahawa bacaan tekanan darah mereka adalah benar-benar normal di rumah mampu megelakkan rawatan berlebihan diberikan kepada pesakit. Tanda-tanda kerosakan pada organ dalaman badan dan juga gejala-gejala darah tinggi perlulah dinilai oleh pengamal perubatan setiap kali pesakit hadir dalam temujanji di klinik untuk mengenalpasti kebarangkalian bacaan tekanan darah yang tinggi biarpun pesakit menyatakan tekanan darah adalah normal di rumah. Kebarangkalian pesakit tidak mengambil ubat-ubatan yang telah diberikan sebelum ini juga perlulah di nilai oleh pengamal perubatan sekiranya pesakit hadir ke klinik dengan bacaan yang tidak normal sebelum sebarang ubat ditambah kepada pesakit.

Justeru, jawapan yang tepat kepada pernyataan di atas “Mengapa tekanan darah saya di rumah normal tetapi di klinik menjadi tinggi?” Ianya bergantung kepada cara pengukuran tekanan darah yang betul, termasuk pada posisi badan yang sesuai, masa rehat yang cukup, keadaan pesakit sama ada cukup rehat atau tidak sejurus sebelum pengambilan tekanan darah, status merokok dan perasaan debaran pesakit ketika itu. Rawatan dan pemantauan susulan amatlah perlu daripada bergantung hanya kepada satu bacaan klinik sahaja.

Mari amalkan pemantauan berkala tekanan darah, biarpun anda sihat, biar di mana anda berada! Selamat hari tekanan darah tinggi sedunia.

 

Artikel ini ditulis oleh Dr Shaiful Ehsan.

Dr Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

  • Clinical Practice Guidelines Hypertension 2014
  • JNC 8 Guidelines for Management of Hypertension in Adults
  • Hypertension NICE Guidelines 2011
  • ESH/ESC Guidelines Hypertension 2013

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box